Serangan pemikiran dan gejala sosial
Saban hari kita membaca laporan-laporan kes jenayah dan salah laku yang kebanyakannya dilakukan oleh golongan remaja dan belia. Kes pembuangan bayi, seks bebas, kehamilan remaja, meragut, merempit dan banyak lagi. Kes-kes jenayah bekaitan remaja ini bukan sekadar melanda di kota-kota atau bandar-bandar sahaja malah telah merebak sehingga di desa-desa, tanah-tanah rancangan bahkan kawasan pendalaman. Institusi pendidikan tidak kira, sekolah, kolej, univesiti, pusat latihan yang merupakan tempat bernaungnya para ilmuan dan remaja yang menuntut ilmu juga tidak kebal dari ditembusi gejala sosial ini.
Kisah-kisah jenayah remaja bukan sekadar di dada-dada media cetak mahupun elektronik sahaja, bahkan kes-kes jenayah itu telah berlaku di depan mata kita, di sekeliling yang tidak jauh dari kita dan barangkali telah berlaku di dalam rumah kita sendiri. Kepantasan penularan gejala sosial ini sama pantas seperti pantasnya dengan perkembangan teknologi maklumat.
Remaja adalah suatu peringkat perkembangan kehidupan yang kritikal. Pada peringkat ini, individu akan mengalami perubahan yang ketara dari segi psikologi, fizikal, intelektual, moral dan emosi. Seorang sarjana Islam, Muhammad Al-Hilali (2001) menyatakan fasa remaja mempunyai keinginan yang kuat, semangat yang tinggi, cita-cita yang besar, kesanggupan mencurahkan khidmat bakti dan pengorbanan, mudah mempelajari sesuatu yang baru, mudah dipengaruhi walaupun sering dan mudah menurut perasaan.
Justeru itu fasa remaja merupakan masa yang kritikal untuk menentukan samada ia bakal menjadi khazanah negara atau menjadi racun bangsa. Remaja memerlukan seseorang sebagai qudwah (model) contoh ikutan untuk membantu membentuk karektor dirinya. Remaja memerlukan persekitaran yang baik (biah solehah) bagi merangsang perkembangan sahsiah yang baik.
Cabaran yang kita hadapi adalah di setiap pelosok negara Islam dan tanahair kita telah diserang dengan aliran pemikiran barat yang merosakkan. Serangan pemikiran (Guzwatul Fikri) merupakan agenda barat dalam usaha melumpuhkan kekuatan sendi Islam dalam bentuk penjajahan moden. Barat telah belajar dalam sejarah panjang bahawa umat Islam tidak akan dikalahkan melalui peperangan fizikal kerana Islam memiliki roh jihad di kalangan umatnya. Namun melalui serangan pemikiran ini, barat berjaya mengalahkan umat Islam, sehingga umat Islam merubah cara berfikir, berubah tingkah lakunya seperti personaliti, gaya hidup, cara berpakaian, pergaulan dan sebagainya. Dengan keadaan ini, maka umat Islam hanya tinggal status sahaja.
Muslim tetapi tidak mengamalkan Islam bahkan menyerang Islam pula dengan pemikirannya yang jahil itu. Muslim tetapi dalam masa yang sama membuka pintu kemaksiatan seluas-luasnya untuk umatnya. Justeru itu kita melihat remaja dan belia melayu Islam tidak lagi mempunyai identiti Islam, sudah lenyap akhlaknya, telah layu adab sopannya, telah luntur budayanya. Kini di hadapan kita, remaja dan belia Melayu Islam yang berpakaian ketat, menampakkan pusat mereka, bergaul bebas tanpa segan silu, membuang masa dengan kegiatan tiada manfaat dan mengutamakan keseronokan semata-mata. Keadaan ini bertambah parah apabila ‘segelintir’ yang membuka pintu dan menganjurkan pelbagai pesta untuk remaja dan belia ini mengecapi keseronokan dunia.
Antara pemikiran yang dieksport ke negara-negara Islam termasuk ke negara kita adalah pemikiran humanisme. Pemikiran humanisme meletakkan kehendak manusia sebagai matlamat dan pusat kehidupan. Sebagai contohnya pemikiran ini mengganggap seks adalah keperluan manusia yang boleh dipenuhi dengan apa cara pun. Perkahwinan antara jantina yang sama dihalalkan kerana ia diterima masyarakat dan juga memenuhi keperluan seks luar tabii mereka. Kedai-kedai ‘Adult Shop’ di celah-celah kota diterima oleh masyarakat barat untuk membekalkan keperluan. Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan adalah norma dalam masyarakat mereka. Rumah-rumah pelacuran diliktiraf sebagai satu perkhidmatan untuk memenuhi keperluan seks mereka. Di samping itu pemikiran materialisme, sekularisme, komunisme, sosialisme, kapitalisme, liberalisme dan lain-lain lagi adalah lahir dari pemikiran humanisme. Kelihatannya berbeza tetapi semuanya mempunyai persamaan di satu noktah.
Nah, inilah bentuk pemikiran yang telah menyelinap masuk ke dalam pemikiran umat Islam dan anak-anak remaja Melayu kita. Bermula dengan kejahilan terhadap agama dan ketandusan iman, pemikiran mereka begitu mudah diterobos oleh pemikiran barat itu. Justeru itu titik noktah kepada gejala sosial adalah mencapai keseronokan tanpa batasan dalam kehidupan remaja.
Apakah cara bagi kita yang sedar ini, untuk menentang pemikiran ini? Tidak ada cara lain melainkan dengan membetulkan semula pemikiran dan membangunkan semula jiwa mereka melalui tarbiyah dan pendidikan secara menyeluruh yang berterusan. Inilah metodologi yang telah dilakukan oleh Rasulullah ketika permulaan dakwah Islam di Mekah. Rasulullah telah membina generasi awal yang akhirnya menjadi tulang belakang dakwah dan Jil Taa’sis (generasi pengasas). Firman Allah SWT:
إِنَّ اللهَ لاَ يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُ مَا بِأَنْفُسِهِمْ
“Sesungguhnya Allah tidak merubah suatu kaum melainkan mereka merubah apa yang ada di dalam diri mereka sendiri.” (Surah Ar-Ra’d: 11)
Usaha ini memerlukan penglibatan secara menyeluruh dan bersepadu yang melibatkan ibu bapa, masyarakat, pihak sekolah, pihak NGO, pihak swasta dan kerajaan. Pendidikan oleh ibu bapa di rumah merupakan asas kepada usaha yang bersepadu ini. Dalam konteks pembangunan jiwa remaja dan belia, keadaan persekitaran iaitu rakan-rakan, komuniti masyarakat, media dan suasana sekeliling amat besar mempengaruhi dan membentuk jiwa dan pemikiran mereka.
Imam Hasan Al-Banna telah berjaya menggali dari intipati agama Islam dan mengeluarkan satu formula bagi mengembalikan kehidupan kepada jasad umat yang lumpuh ini. Imam Hasan Al-Banna berkata:
“Sesungguhnya perkara pertama yang ditujui Ikhwan Muslimin ialah mentarbiyah jiwa, memperbaharui ruh, memperkuatkan akhlaq, membangunkan al-rujulah yang betul pada diri umat. Mereka menganggap ia adalah asas pertama kepada kebangkitan mana-mana umat dan bangsa. Mereka (Ikhwan) telah membentangkan semua wasilah dan jalan untuk sampai kepadanya, mereka tidak temui jalan yang paling hampir dan berkesan selain dari fikrah agama dan berpegang dengan perca-percanya”.
Justeru itu beliau telah telah mengariskan 10 sifat peribadi muslim yang perlu dibina pada individu-individu muslim yang bertindak sebagai batu-bata asas dalam pembinaan sebuah tamadun bangsa yang mampu menangkis serangan pemikiran barat dan sekaligus membangunkan tamadun Islam iaitu;
- Aqidah yang sejahtera
- Ibadah yang solehah
- Ahklaq yang mantap
- Berpengetahuan luas
- Memiliki tubuh badan yang sihat
- Bermujahadah melawan nafsu
- Berdikari
- Tersusun dalam urusan
- Menepati masa
- Bermanfaat
Secara sedar atau tidak, kita masih belum merdeka dalam erti kata yang sebenar selagi jiwanya lemah dan pemikiran berkiblatkan barat. Usaha membangunkan sebuah bangsa dan tamadun berasaskan penyediaan individu yang memiliki sifat-sifat peribadi muslim adalah cara terampuh dalam menghadapi serangan pemikiran dan ia umpama batu-bata merah yang saling menguat dalam pembinaan sebuah bangunan.
Rujukan:
- Salehan B Ayub. 2003. Himpunan Risalah Imam Hasan al-Banna. Kuala Lumpur. Pustaka Salam.
- Mizan Adiliah Ahmad Ibrahim. 2004. Menangani gejala sosial menggunakan pendekatan kaunseling. Kertas kerja yang dibentangkan di Seminar Kaunseling: Isu Perpaduan dan Gejala Sosial peringkat negeri Selangor pada 7-8 Ogos 2004 UiTM Shah Alam.
- Muhammad Hilali. 2004. Kewajipan Remaja Muslim (Menyempurnakan Dua Kewajipan). Kuala Lumpur. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
Zakri bin Md Zain,
AJK Biro Pembangunan Sumber Manuasia (HRD),
ISMA Cawangan Seremban
Sumber: Blog ISMA Negeri Sembilan
* Beliau juga merupakan Pengarah Akademik merangkap Ketua Program Diploma Pendidikan Prasekolah di Kolej UNITI Port Dickson, Negeri Sembilan.



