SEKTAR kongsi pengalaman bersama bakal mahasiswa perubatan
Shah Alam, 14 April – Program “Challenges in Ireland” berjaya dianjurkan oleh pihak Sekretariat Luar Negara ISMA (SEKTAR) di Masjid Hidayah, Seksyen 18, Shah Alam. Sesi perkongsian oleh Dr Zainur Rashid Zainuddin, Naib YDP ISMA Seremban yang juga AJK SEKTAR, bersama lebih kurang 50 orang pelajar perubatan telah berlangsung selama 2 jam bermula pukul 8.00 malam.
Dr Zainur Rashid, selaku bekas pelajar negara hijau tersebut (sekarang Timbalan Dekan International Medical University, Seremban) menjelaskan beberapa aspek perubatan di Ireland serta menunjukkan gambar-gambar kenangan beliau di sana. Program ini juga mendapat sambutan para pelajar yang akan ke negara lain dan mereka turut sama mendapat perkongsian yang bermanfaat daripada Dr Zainur Rashid.
Soalan bertalu-talu ditujukan kepada Dr Zainur Rashid setelah akhir pembentangan. Ini menunjukkan para pelajar amat berminat dan bersungguh untuk mengetahui lebih lanjut tentang dunia perubatan.
Di akhir program, saudara Mohd Khousaini Mohd Naim iaitu Setiausaha SEKTAR, menerangkan serba sedikit tentang SEKTAR dan objektif penubuhannya. Menurut beliau, ahli-ahli ISMA kini bertaburan serata dunia di lebih 20 buah negara.
Pihak SEKTAR berazam untuk menjadikan program tersebut sebagai program tahunan mereka. Tambahan pula, program seperti ini juga akan diluaskan skopnya bukan pada Ireland sahaja, akan tetapi kepada semua bakal pelajar perubatan.
Selamat berjuang diucapkan kepada semua pelajar perubatan, dan kami berharap program ini bermanfaat buat anda semua.



