Perkongsian pengalaman suntik semangat para pelajar INTI ke luar negara
Bandar Baru Nilai, 3 April – Biro Belia ISMA Cawangan Seremban dengan kerjasama Sekretariat Luar Negara ISMA (SEKTAR) dan Malay Cultural Society (MCS) INTI University College buat julung-julung kalinya telah berjaya melaksanakan program “Gateway to US and Australia” khusus untuk pelajar-pelajar INTI yang akan melanjutkan pengajian ke US dan Australia. Program yang berbentuk perkongsian pengalaman ini menampilkan teknokrat-teknokrat ISMA yang juga merupakan bekas pelajar-pelajar US dan Australia.
Program “Gateway to US and Australia” ini dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada wakil SEKTAR iaitu Sdr. Mohd Khoushaini M Naim. Beliau telah memberi penerangan tentang peranan SEKTAR dalam membantu para pelajar Malaysia di luar negara melalui cawangan-cawangan ISMA yang semakin berkembang di banyak negara. Turut dipromosikan ialah program-program persediaan ke luar negara yang dianjurkan oleh SEKTAR seperti Semai Mesra, Jalinan, Tautan, Summer Retreat in Malaysia dan Selangkah ke Bumi Anbiya’.
Seterusnya para hadirin disajikan pula dengan forum bertajuk “Sharing is Caring” yang menampilkan barisan panelis yang berpengalaman iaitu Sdr. Nazif Emran bin Farid (ex-Uni of Adelaide & Uni of California), Sdr. Wan Mohamed Ibrahim Hassan (ex-Uni of Minnesota) dan Puan Nor Hasimah Ibrahim (Western Michigan Uni). Melalui pengalaman peribadi masing-masing sewaktu menuntut di US dan Australia, mereka berkongsikan pelbagai petua dan nasihat untuk mengharungi kehidupan di luar negara serta meraih kecemerlangan di sana.
Beberapa persembahan video turut diselitkan yang menguatkan lagi semangat pelajar-pelajar INTI untuk ke luar negara. Sebelum bersurai, satu sesi bengkel diadakan bagi memberi peluang kepada mereka menyuarakan sebarang kemusykilan berhubung persediaan untuk ke US dan Australia. Semoga mutiara-mutiara perkongsian yang telah diperolehi sepanjang program “Gateway to US and Australia” ini dapat membantu para peserta bagi menempuhi cabaran di luar negara dan seterusnya kembali ke tanahair berbakti kepada agama, bangsa dan negara.
Sumber: Blog ISMA Negeri Sembilan




