Perkhemahan Wanita ISMA Zon Selatan mantapkan ukhuwwah
Rembau, 27-28 Mac – “Inni uhibbuki fillah”, saya sayangkan kamu kerana Allah. Demikianlah motto Perkhemahan Wanita ISMA Zon Selatan 2010 yang bertemakan ukhuwwah dengan objektif untuk merapatkan hubungan sesama ahli wanita ISMA yang terdiri dari negeri Johor, Melaka dan Negeri Sembilan. Negeri Sembilan yang mengambil tanggungjawab selaku tuan rumah pada tahun ini memilih Taman Rekreasi Gunung Datuk di daerah Rembau sebagai lokasi perkhemahan. Kaki Gunung Datuk telah mematerikan memori ukhuwwah fillah antara peserta yang hadir yang mencecah bilangan 80 orang.
Perkhemahan dimulakan dengan ketibaan para peserta dan pendaftaran seawal jam 7.45 pagi pada 27 Mac. Pembukaan program disempurnakan pada jam 8.45 pagi dengan bacaan al-Quran serta ucapan alu-aluan dan taklimat daripada barisan urusetia. Untuk lebih menghayati dan memahami objektif perkhemahan, para peserta dihidangkan dahulu dengan slot Bicara Rindu: Ukhuwwah Fillah oleh Ustazah Hayati dengan harapan agar perkhemahan yang bakal dilalui selama dua hari satu malam itu akan memberi input positif kepada semua yang hadir.
Acara awal yang amat mengujakan peserta pada kali ini ialah aktiviti “Semulus Jemari Setulus Ukhuwwah” yang menguji kewanitaan dan bakat terpendam mereka. Peserta dikehendaki menyiapkan gubahan buahan-buahan, menghias kek, menjahit sehelai saprah dan membuat getah pengikat rambut dalam masa satu jam setengah dalam kumpulan masing-masing. Hasil yang diperolehi akan mendapat markah yang akan dikumpulkan bersama markah-markah lain sepanjang perkhemahan. Di samping mencurahkan idea kreatif, para peserta dapat menjalin ukhuwwah dan kerjasama melalui aktiviti ini.
Seusai makan tengahari peserta dipanggil untuk berkawad dan memulakan satu aktiviti outdoor yang dinamakan “Derap Langkahku”. Meredah belukar, menuruni cerun bukit, berjalan kaki sambil menjawab soalan atau memenuhi kehendak “surat” yang mereka terima. Mereka dikehendaki menghafaz hadith dan membuat panji-panji kumpulan sebelum bergerak. Salah satu checkpoint yang mengujakan peserta ialah mereka dikehendaki meletakkan sehelai kain di tempat yang paling tinggi di sebuah ladang getah. Ada peserta yang membalingnya ke arah ranting yang tinggi dan yang sanggup memanjat pokok getah agar dapat diikat di dahan yang tinggi.
Penat lelah di waktu petang direhatkan dengan “Malam Simfoni Cinta”, setelah selesai solat maghrib dan isyak serta wirid al-ma’thurat. Kalau siang tadi peserta menyerlahkan bakat seni tangan, di malam ini pula mereka berentap di pentas seni nasyid. Majlis juga diserikan dengan edaran peti beracun. Aktiviti lain yang turut diadakan ialah “Dairi Cinta”, di mana coretan ukhuwwah dibacakan yang sedikit sebanyak menyentuh perasaan para pendengar. Sebelum merebahkan badan di perbaringan, peserta diajak sama-sama bermuhasabah diri, melihat kelemahan masing-masing di samping memasang azam dan tekad untuk meneruskan kehidupan sebagai hamba Allah dalam keadaan lebih baik.
Acara kemuncak pada pagi Ahad ialah aktiviti “sukan_santai@ukhuwwah.com”. Bunyinya agak lembut tetapi sebenarnya aktiviti ini memerlukan peserta berlari ke sana ke mari untuk mengejar musuh dan menyelamatkan diri. Mereka berada dalam kumpulan masing-masing dan berusaha membaling peluru ke arah musuh, merempuh kem pertahanan musuh dan mendapatkan panji-panji milik musuh. Segmen ini memerlukan kekuatan fizikal dan mental. Namun kehebatan peserta-peserta veteran yang kelihatan jauh lebih kuat dan bersemangat menimbulkan kekaguman peserta-peserta belia. Syabas!
Perkhemahan Wanita ISMA Zon Selatan 2010 ditutup dengan rasminya pada jam 11.30 pagi dengan sedikit sesi penutup dan muhasabah. Diakhiri dengan doa dan peserta saling bertukar-tukar hadiah sebagai tanda ukhuwwah di samping hadiah yang disediakan oleh pihak urusetia perkhemahan. Juga sesi bersalam-salaman dan saling pesan-memesan sesama peserta yag mengakhiri perkhemahan kali ini secara keseluruhannya. Semoga bertemu lagi di tahun hadapan dengan aktiviti-aktiviti lain yang lebih mencabar serta meneguhkan lagi ikatan ukhuwwah.
Sumber: Blog ISMA Negeri Sembilan


