|

Pendekar Mustar johan keseluruhan Melbond Games 2010

Melbourne, 6 April – Melbond Games 2010 telah berjaya dianjurkan oleh Biro Sukan, Rekreasi dan Kebudayaan (SURIA) ISMA Australia cawangan Victoria bertempat di South Yarra Sports Center bertemakan “Play as a Muslim”.

Ianya dianjurkan dengan harapan dapat merapatkan lagi hubungan antara para pelajar di Victoria khususnya di sekitar Melbourne.  Selain itu, Melbond ini juga dianjurkan untuk menonjolkan kecemerlangan dan kesempurnaan Islam itu merangkumi semua aspek termasuk juga aktiviti sukan. Sesuai dengan tema “Play as a Muslim”, akhlak seorang muslim juga harus dipraktiskan dan membawa kepada suasana yang harmoni ketika bersukan.

Melbond edisi kedua ini telah menganjurkan sukan bola tampar, bola keranjang dan juga mini futsal.  Sebanyak 10 kontinjen mendaftar pada tahun ini, dan ia merangkumi sejumlah 97 orang peserta.

Melbond Games ini dimulakan dengan pusingan kelayakan untuk bola tampar diikuti oleh bola keranjang dan akhir sekali mini futsal.  Di sebelah petang, pusingan akhir dijalankan untuk setiap sukan dimulai oleh bola keranjang, mini futsal dan akhir sekali bola tampar.

Pasukan Pendekar Mustar berjaya menjadi juara keseluruhan untuk edisi kali ini dengan memenangi mini futsal dan bola keranjang. Manakala kontijen Myteam muncul sebagai naib juara selepas menang dalam sukan bola tampar. Tempat ketiga keseluruhan jatuh kepada Melbourne United.

Berikut adalah keputusan akhir untuk setiap acara;

Mini futsal: Pendekar Mustar (1) lwn Myteam (1)

*Pendekar Mustar menang penalti 4-3.

Bola keranjang: Pendekar Mustar (8) lwn Melbourne United (3)

Bola tampar: Myteam (28) lwn Melbourne United (21)

Rata-rata para peserta begitu gembira dan berpuas hati dengan penganjuran kali ini. Bagaimanapun, pihak penganjur berharap dapat mengatasi beberapa kelemahan yang telah dikenal pasti.  Diharapkan agar semangat dan ukhuwah yang terjalin dapat diteruskan selepas kejohanan berakhir.

Sumber: Laman Web ISMA Australia