|

Para pelajar Ireland gali khazanah pemikiran Hasan Al-Banna

Dublin, 10 April ISMA Ireland telah menganjurkan Seminar Pemikiran Hasan al-Banna. Seminar yang julung-julung kalinya diadakan di Dublin ini telah disampaikan oleh Sdr. Muhammad Arif Hamzah, salah seorang daripada ahli jawatankuasa Sekretariat ISMA Antarabangsa. Seminar ini mengambil tempat di RCSI dan berlangsung kira-kira 2 jam setengah. Alhamdulillah, walaupun promosi yang agak terlewat, seminar ini telah berjaya dihadiri seramai 35 orang pelajar, rata-ratanya terdiri daripada pelajar perubatan dari Dublin, Galway dan Belfast.

Seperti yang dijadualkan,seminar bermula jam 10.30 pagi dengan tayangan video perasmian Kobanna. Program diteruskan dengan ulasan Sdr. Arif tentang ucaptama Ustaz Abdullah Zaik dan pembentangan kertas kerja yang pertama. Pembentangan dimulakan dengan penerangan tentang naluri setiap insan yang  cenderung kepada bangsanya dan contoh-contoh yang relevan dengan situasi pelajar di luar negara.

Seterusnya, pembentangan menjurus kepada perbandingan situasi masyarakat Mesir pada zaman al-Banna  dengan keadaan masyarakat Melayu Malaysia. Apabila isu Melayu & Islam mula dikupas, timbul  beberapa soalan daripada peserta yang kurang bersetuju & kurang jelas dengan isu tersebut. Alhamdulillah,dengan analogi-analogi  yang menarik dan relevan dengan keadaan semasa pelajar, penerangan Sdr. Arif menjadi lebih jelas & praktikal untuk difahami semua.

Pembentangan tamat sekitar jam 12 tengah hari dan program diteruskan dengan sesi soal jawab. Antara yang banyak menjadi persoalan dalam kalangan peserta yang hadir adalah mengenai isu “racist” dan beratnya untuk golongan nasionalis & islamis untuk bersatu dalam perjuangan menguatkan bangsa Melayu dan menyemai kesyumulan Islam dalam diri masyarakat Melayu secara keseluruhannya. Alhamdulillah,sesi soal jawab  selama 40 minit ini berlangsung dalam keadaan tenang,  minat & kefahaman para peserta dapat dilihat dengan jelas dalam setiap soalan yang diajukan.

Secara keseluruhannya, para peserta dilihat sangat berpuas hati dengan pendirian ISMA dalam isu ketuanan Melayu Islam dan perjuangan bangsa. Pada kesempatan ini juga, jutaan terima kasih diucapkan kepada semua peserta kerana berkat kesungguhan dan komitmen yang ditunjukkan, seminar ini berjaya berlangsung dengan jayanya. Semoga fikrah & impian yang dikongsikan  para peserta sepulangnya mereka dari seminar ini dapat direalisasikan dan dibuktikan dengan amalan… we share a dream.

Sumber: Laman Web ISMA Eropah