|

Naib Presiden I ISMA beramah mesra dengan mahasiswa mahasiswi Mesir

Kaherah, 7 AprilISMA-Mesir telah menganjurkan majlis ramah mesra bersama Naib Presiden 1 Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdul Halim bin Abdullah. Majlis yang mengupas isu survival umat Islam di Malaysia ini berlangsung di Dewan Malaysia Abbasiah, Kaherah.

Majlis yang dipengerusikan oleh saudara Syed Isra’ ini telah dihadiri oleh lebih kurang 108 orang mahasiswa dan 97 orang mahasiswi dari pelbagai muhafazah dan bidang pengajian. Turut hadir dalam majlis tersebut Pengerusi ISMA-Mesir, Ustaz Suhaib Arrumy, JKP ISMA-Mesir, Ketua Perhubungan ISMA-Mesir Cawangan dan wakil dari persatuan-persatuan pelajar di sini.

Majlis dimulakan dengan bacaan Al-Fatihah dan alunan ayat-ayat suci Al-Quran daripada saudara Ammar, juga pengenalan ringkas biografi Ustaz Abdul Halim. Kemudian, majlis disusuli dengan pembentangan beliau. Dalam pembentangannya, beliau menyentuh aspek peranan kita di Malaysia dalam menangani isu umat sekarang. Realitinya, tidak ramai yang sanggup berjuang bersama-sama Islam setelah balik bersama segulung ijazah, dalam keadaan umat Islam tenat dan memerlukan kepada Islam.

Dalam mencari penyelesaian kepada masalah ini, Ustaz Abdul Halim menggunakan kaedah merawat punca untuk mengdiagnos isu umat sekarang, yang mana puncanya ialah umat tidak memahami Islam dengan sebenarnya. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menerangkan Islam kepada masyarakat bagaimanakah Islam yang seharusnya kita semua imani. Kita hendaklah bersatu untuk membangkitkan Islam dalam diri masyarakat yang daripadanya lahir pemimpin-pemimpin yang soleh yang akan membimbing umat ke arah hidup yang berlandaskan Islam.

Ustaz Abdul Halim mengajak kita untuk sama-sama mendidik diri kita, disusuli dengan membina keluarga muslim yang seterusnya akan membentuk masyarakat yang muslim. Kita mesti bersatu dan berdakwah bersama-sama tanpa kekangan logo, demi mencapai tujuan yang sama.

Penceramah graduan Universiti Azhar ini juga menyedarkan kita tentang pentingnya persiapan diri, lebih-lebih lagi apabila kita menyedari betapa besar dan sukarnya tanggungjawab ini. Setelah hampir tiga jam berlalu, sesi terakhir seminar diisi dengan sesi soal jawab yang mendapat respon yang pebagai dari pihak hadirin. Oleh kerana kekangan masa, hanya 17 soalan sahaja yang sempat dikupas oleh beliau.

Di samping ceramah, turut diselitkan tayangan video dan persembahan nasyid dari kumpulan Fetya yang telah menghiburkan para hadirin. Majlis bersurai dengan bacaan tasbih kafarah dan Surah Al-’Asr.

Sumber: Laman Web ISMA Mesir