Mesyuarat Khas Perwakilan luluskan usul penubuhan Majlis Syura ISMA
Petaling Jaya, 24 April – Perwakilan-perwakilan dari semua cawangan ISMA seluruh negara telah sebulat suara meluluskan usul penubuhan Majlis Syura ISMA pada satu Mesyuarat Khas Perwakilan yang diadakan di Dewan Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya hari ini. Keputusan dibuat setelah berlangsung perbahasan selama hampir dua jam. Seramai 100 orang perwakilan dari 13 cawangan ISMA telah menghadiri mesyuarat tersebut.
Menurut Setiausaha Agung ISMA En. Aminuddin Yahaya, penubuhan Majlis Syura ISMA akan memantapkan setiap keputusan yang dibuat dan mengambil kira pandangan daripada akar umbi. Selain itu dengan kelulusan usul ini juga akan memudah dan mempercepatkan proses melestarikan pengalaman dan kepimpinan ISMA.
“Penubuhan Majlis Syura juga akan menambahkan keyakinan pihak luar dan masyarakat terhadap ISMA,” tambahnya lagi.
Menurut perwakilan dari ISMA cawangan Ipoh, Ustaz Razmi berpandangan penubuhan Majlis Syura ISMA akan memastikan keutuhan dan keaslian perjuangan dakwah yang dibawa.
“Langkah menubuhkan Majlis Syura ini juga dilihat dapat memperkukuhkan lagi ISMA” tambah beliau lagi.
Selain usul penubuhan Majlis Syura ISMA, mesyuarat ini turut meluluskan 4 lagi usul yang lain. Mesyuarat Khas Perwakilan ISMA yang berlangsung sehari suntuk ini telah dirasmikan oleh Presiden ISMA, Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman dan turut disertai oleh 30 orang pemerhati dari kalangan ahli-ahli ISMA.
Oleh: Mohd Azizuddin Sahiddin
Wartawan/Jurufoto
Media ISMA


