Kembara Ilmu anjuran ISMA-Australia (Victoria) bermula
Melbourne, 27 Mac – Melbourne University Musolla di Pelham Street meneruskan lagi tradisi sebagai tempat menimba ilmu dengan terlaksananya Program Kembara Ilmu Siri 1 anjuran Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA-Australia) cawangan Victoria.
Program ini yang pertama kalinya diadakan di Melbourne membuka tirai dengan pembentangan dari seorang tokoh yang tidak asing lagi di Australia iaitu Dr Mohd Zaki Ibrahim, Pengerusi ISMA-Australia. Beliau yang kini merupakan Consultant in Family Medicine di Adelaide adalah merupakan bekas pelajar perubatan di Adelaide University pada tahun 1996-2001 dan bekas pemimpin pelajar di Adelaide.
Pengalaman yang dilalui beliau sebagai pelajar dan doktor di Australia dan pengamatannya pada isu-isu pelajar disampaikan melalui ceramah yang bertemakan Kecemerlangan Diri yang bertajuk “Antara Aku dan Dia” ini telah berjaya menarik minat seramai hampir 100 orang pelajar di sekitar Melbourne yang hadir.
Dr Mohd Zaki Ibrahim menekankan bahawa setiap pelajar mesti mempunyai matlamat yang jelas dalam hidup, mempunyai perancangan kehidupan yang rapi dan tekad berusaha sehingga mencapai kecemerlangan dalam hidupnya.
Antara Aku dan Dia merupakan sebuah analogi seorang ‘Aku’ iaitu diri pelajar pada masa kini dan ‘Dia’ iaitu diri pelajar pada masa akan datang. ‘Aku’ hendaklah menetapkan matlamat yang jelas siapakah dirinya iaitu ‘Dia’ di masa hadapan. Dengan itu, ‘Aku’ akan berusaha bersungguh-sungguh merealisasikan matlamat tersebut dan menjadi ‘Dia’ yang cemerlang.
Tanpa mengira apa pun matlamat yang ingin dicapai dalam hidup, selagimana ianya halal dan baik di sisi Islam hendaklah diusahakan yang terbaik. Sebagai umat Islam, pelajar Islam perlu berfikir di luar kotak, melihat sesuatu perkara dari sudut pandang yang berbeza agar ia mampu membentuk akal yang sihat dan cerdas lalu menilai sesuatu perkara berdasarkan Al-Quran dan Sunnah.
Sumber: Laman Web ISMA Australia



