|

Kembali hayati sirah perjuangan Nabi Muhammad – Ustaz Halim

Iskandariah, 6 April – ISMA-Mesir Cawangan Iskandariah telah menganjurkan majlis ramah mesra bersama Naib Presiden 1 Ikatan Muslimin Malaysia, Ustaz Abdul Halim bin Abdullah.

Majlis yang dipengerusikan oleh Ustaz Suhail Sufian selaku Ketua Perhubungan ISMA-Mesir Cawangan Iskandariah ini telah dihadiri oleh lebih kurang 70 orang mahasiswa yang majoritinya mahasiswa perubatan dari Universiti Iskandariah. Turut hadir dalam majlis tersebut islah Timbalan Pengerusi ISMA-Mesir, Ustaz Salman Al Farisi Selamat, JKP ISMA-Mesir dan mahasiswa-mahasiswa dari muhafazah lain.

Majlis dimulakan dengan bacaan Al-Fatihah dan pengenalan ringkas biografi Ustaz Abdul Halim. Kemudian, majlis diteruskan dengan ucapan beliau. Dalam ucapan beliau, Ustaz Abdul Halim menekankan kepentingan umat Islam untuk kembali menghayati sirah junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. dan juga para sahabat baginda. Rata-rata keruntuhan akhlak umat Islam di masa kini adalah kerana terlampau mengejar kepentingan dan keseronokan duniawi. Artis-artis yang mempunyai nilai akhlak yang rendah terlalu diagung-agungkan tetapi sirah para sahabat yang pernah meninggikan Islam di muka bumi ini dipinggirkan.

Beliau yang merupakan lulusan Universiti Al-Azhar turut memberikan motivasi kepada semua mahasiswa agar mempelajari sebanyak mungkin ilmu dari bumi anbiya ini untuk berhadapan dengan umat Islam yang dalam keadaan parah tanpa bimbingan dan sokongan dakwah dan tarbiyah.

Selain itu, beliau juga menasihatkan agar semua mahasiswa agar bijak merancang masa. Kelemahan dalam merancang dan membahagikan masa dilihat menjadi salah satu faktor kelemahan dalam dakwah dan tarbiyah. Sekiranya setiap orang menjadikan kesibukan sebagai sebab untuk tidak menghadiri program, maka siapakah yang akan menggerakkan dakwah dan tarbiyah?

Menjawab persoalan yang dikemukakan oleh seorang mahasiswa tentang penyelesaian kepada isu pergolakan di tanah air, beliau berpendapat bahawa tiada penyelesaian lain selain daripada umat Islam itu sendiri bersatu dan tarbiyah di kalangan umat Islam ditekankan.

Majlis diakhiri dengan bacaan tasbih kafarah dan Surah Al-‘Asr dan diikuti dengan sesi bergambar.

Sumber: Laman Web ISMA-Mesir Cawangan Iskandariah