Karya: Fiqh Nisbah
Lalu, Maryam difirmankan supaya menggoncang pohon kurma,
Betapa satu manusia melawan ketegapan satu pohon,
Lagi seorang wanita dan sedang mengandung.
Lalu, Utsman Affan membeli telaga,
Betapa skala ekonomi sezaman,
Juga nilai 20,000 dinar 1330 tahun lalu,
Diwakafkan sahaja telaga itu.
Suhaib meninggalkan hartanya demi hijrah,
Betapa nila si kaya yang asalnya abdi,
Belum dikira tekad dan resolusi muhajirin untuk berpisah,
Belum dikira ekonomi Ansar yang perlu dibelah bagi.
Sirah jadi saham dakwah ke akhir zaman.
Lalu, yang dianggap kecil dan mudah,
Ibu-ibu masih senyum menghidang,
Betapa berpenat-penat memasak.
Ditakdirkan,
Kita hanya boleh bernafaskan udara yang dibalangkan di pusat rawatan,
Betapa harganya udara ketika itu.
Betapa degupan jantung masih percuma tanpa bil oleh kerajaan Allah.
Betapa, betapa dan betapa yang masih menunggu untuk dikutip.
En Razak bin Omar,
Naib YDP ISMA Shah Alam & Klang
Sumber: Laman Web ISMA Shah Alam & Klang

