ISMA Seremban ajak masyarakat hayati sejarah Natrah
Sikamat, 10 April – Kesatuan umat Islam di tanahair dalam memperjuangkan isu Natrah yang berlaku 60 tahun dahulu sewajarnya dihayati dan dijadikan iktibar oleh masyarakat pada hari ini. Meskipun berbeza kelompok, mereka tetap bersatu demi mempertahankan martabat Islam dan membela akidah saudara seagama. Inilah intipati utama yang cuba disampaikan oleh Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Seremban melalui penganjuran Seminar 60 Tahun Pasca Tragedi Natrah: Menghayati Perjuangan Bangsa dan Agama di Sebalik Kisah.
Setiausaha ISMA Seremban, Haji Omar bin Kassim berkata, ISMA mengambil inisiatif untuk membawakan semula isu penting ini kepada masyarakat kerana tragedi Natrah merupakan sebuah kisah sejarah yang perlu diketahui dan diambil pengajaran oleh umat Islam, ditambah pula dengan perkembangan semasa di tanahair pada hari ini. Sekalipun kisahnya berlaku hampir 60 tahun dulu, namun pengajaran dan iktibar yang boleh diambil sebagai sebuah ummah terus kekal.
“Dalam sejarah tanahair, hanya beberapa peristiwa yang kita lihat berjaya menggabungkan umat Islam dalam satu barisan demi mempertahankan kedaulatan agama dan bangsa. Peristiwa Natrah adalah salah satu daripadanya. Perpaduan seperti itu amat penting bagi mempertahankan kebenaran dan kesucian Islam daripada dipandang rendah oleh mana-mana pihak. Justeru kehadiran buku terbaru tulisan Datin Fatini Yaacob bertajuk Natrah: Cinta, Rusuhan, Air Mata adalah sangat kena pada tempatnya dan perlu disebarluaskan dalam masyarakat Islam.”
Penyampaian oleh Datin Fatini
Program anjuran ISMA Seremban dengan kerjasama Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan Masjid Kariah Sikamat itu dihadiri oleh kira-kira 500 orang terdiri daripada masyarakat umum, penuntut IPT dan pelajar sekolah. Seminar ini telah dirasmkikan oleh Ustaz Selamat bin Paigo, KPP Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau JHEAINS. Dua orang penceramah yang telah diundang khas ialah Datin Fatini Yaacob sendiri dan Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni, Naib Presiden II ISMA.
Menurut Ustaz Fauzi, peristiwa Natrah ini boleh dijadikan panduan untuk membantu orang Melayu dan umat Islam pada hari ini menilai suasana semasa berdasarkan neraca Islam demi kepentingan ummah dan agama. Sememangnya menjadi hasrat ISMA untuk melihat umat Islam di negara ini khususnya bangsa Melayu bersatu di atas agenda sendiri, bukannya berpecah dengan melaksanakan agenda orang lain. Hanya dengan menjadi bangsa yang bersatu dan kuat barulah Melayu mampu memimpin dan menerajui risalah Islam di negara dan rantau ini.
Sumber: Blog ISMA Negeri Sembilan



