ISMA-NSW erat ukhuwwah melalui Wildlife Tour
Sydney, 20 Mac – ISMA-Australia cawangan New South Wales telah berjaya menganjurkan program ISMA Wildlife Tour khusus untuk siswa yang bertemakan ‘Animals are part of us’ di Featherdale Wildlife Park, Blacktown, NSW. Program yang disertai seramai 36 orang peserta yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar tahun pertama University of New South Wales dan University of Sydney termasuk 9 orang wakil ISMA NSW itu bermula seawal jam 7.30 pagi. Program dimulakan dengan ketibaan para peserta di tempat menunggu yang telah ditetapkan lebih awal, Redfern.
Kesemua 36 orang peserta selamat tiba pada jam 8.30 pagi. Setelah taklimat ringkas mengenai perjalanan oleh Saudara Mohd Fauzi Bashir, kami mula mengorak langkah menuju ke Stesen Redfern. Perjalanan menaiki keretapi yang memakan masa hampir 1 jam itu langsung tidak terasa melelahkan bahkan suasana yang meriah dengan gelak tawa para peserta menghiasi perjalanan. Ada peserta yang mengambil peluang untuk beramah mesra sesama mereka semasa di dalam perjalanan. Ada yang bercerita pengalaman mereka ketika di zaman persekolahan, ada yang berkongsi mengenai pelajaran dan akademi di university dan tidak ketinggalan juga para senior yang acapkali berjenaka, menambah lagi ceria suasana perjalanan.
Tepat jam 10 pagi, para peserta tiba di Stesen Blacktown sebelum menaiki bas untuk ke Featherdale Wildlife Park seperti yang telah dijadualkan. Setibanya di destinasi yang dituju, para peserta pun turun dari bas dan berkumpul untuk menjamu sedikit snek ringan sebagai alas perut. Setelah mengalas perut, para peserta yang kelihatannya tidak mampu lagi menahan sabar untuk melihat binatang-binatang eksotik yang menghuni bumi Down Under ini mula mengatur langkah untuk membeli tiket masuk ke taman tersebut. Setelah memperolehi tiket masing-masing, maka kami pun memulakan aktiviti meneroka dan bermesra dengan binatang-binatang maskot Australia seperti Wallabies, Kangaroo, Koala, Tasmanian Devil, dan Emu.
Tidak puas dengan hanya berlari mengejar Wallabies, para peserta juga turut mengambil peluang untuk merakam kenangan di dalam kamera masing-masing bersama dengan haiwan-haiwan itu tadi. Terdapat pelbagai ragam peserta yang dapat disaksikan di mana hampir kesemuanya seperti tidak percaya bahawa mereka sebenarnya telah pun menyentuh maskot Australia yakni kangaroo dan koala dengan tangan mereka sendiri! Telatah Tasmanian devil yang berlari tanpa henti turut menggamit rasa lucu dan kagum di kalangan para peserta. Keletah si ‘Little Penguin’ turut menghangatkan lagi suasana. Aksi mendebarkan oleh Emu yang cuba mematuk kon yang berisi makanan haiwan tersebut menambah rasa cemas di kalangan para peserta yang cuba memberi makan kepadanya.
Selain daripada itu, para peserta dapat berkenalan dengan pelbagai jenis haiwan dari Australia yang tidak begitu terkenal seperti echidna, wombat, dingo, possum, Quokka, Australian Pelican, pademelon, Spotted Tail Quoll, Bilby dan banyak lagi. Kebanyakan haiwan ini dibiarkan bebas berkeliaran dan menjadikan tempat ini kelihatan begitu menarik dan mesra alam. Aktiviti menjelajah alam itu berakhir kira-kira jam 12 tgh hari di mana para peserta berkumpul di kawasan rekreasi yang disediakan oleh pihak Featherdale Wlidlife Park itu sendiri. Setelah melepas penat dan lelah di situ, para peserta mula mengeluarkan makanan tengah hari yang telah disediakan sebelum bertolak lagi. Setelah itu, para peserta singgah ke kedai cenderahati dan membeli sedikit oleh-oleh buat kenangan sepanjang berada di situ. Seusai urusan membelek dan membeli oleh-oleh tersebut, kami berkumpul di hadapan pintu masuk Featherdale Wildlife Park untuk sesi bergambar beramai-ramai.
Sekitar jam 1 tengah hari dan seusai sahaja sesi penggambaran, para peserta menunggu bas untuk ke Stesen Blacktown sebelum berangkat pulang ke bandar Sydney menaiki keretapi. Dalam perjalanan, kebanyakan peserta tertidur dek kepenatan seharian berjalan, ada juga yang giat bersembang dan menyatakan betapa gembira dan tidak ternilainya pengalaman yang dapat mereka kutip dari program rehlah tersebut. Ada juga dikalangan mereka yang menyatakan keinginan mereka untuk turut sama dalam semua program yang dianjurkan oleh pihak ISMA-NSW pada masa akan datang.
Pihak ISMA-NSW berasa berpuas hati kerana telah berjaya mencapai objektif program walaupun terdapat kekurangan dan akan cuba untuk memperbaiki atur cara program agar ianya lebih baik dan menarik pada masa akan datang. Semoga berjumpa lagi di program-program anjuran ISMA-NSW pada masa akan datang. Nantikan!
Sumber: Laman Web ISMA Australia






