ISMA-Mesir (Mansurah) suntik motivasi sempena peperiksaan
Mansurah, 8 April – Unit Akademik ISMA-Mesir Cawangan Mansurah telah menganjurkan program motivasi sempena musim peperiksaan yang bakal menjelang. Program ini bertujuan untuk membina semangat dalam diri mahasiswa sebagai persediaan menghadapi saat getir ini.
Program ini telah diadakan di Villa Kita dan dihadiri oleh lebih kurang 30 orang mahasiswa yang menuntut di bumi Mansurah. Program bermula pada pukul 7.20 malam dan dipengerusikan oleh saudara Muhammad Bin Ali.
Penceramah untuk program ini ialah saudara Ahmad Rusydi Jamaludin yang telah dijemput khas daripada Tanta. Beliau ialah pelajar perubatan tahun empat di Universiti Tanta, menjawat jawatan sebagai Bendahari PERUBATAN Cawangan Tanta, serta Ketua Unit Akademik dan Thaqafah ISMA-Mesir (Tanta).
Beliau telah menyatakan bahawa rangsangan motivasi dapat disuntik dengan dua perkara iaitu sedar akan tujuan belajar dan memiliki ‘role model’.
Beliau menyarankan agar mahasiswa menggariskan syurga dan kepentingan umat Islam sejagat sebagai tujuan utama yang menolak semangat untuk bersungguh-sungguh dalam pengajian.
Selain itu, beliau turut mencadangkan agar mahasiswa menjadikan Rasulullah SAW sebagai ‘role model’ iaitu qudwah atau idola pembakar semangat.
Program tamat kira-kira pada pukul 9.00 malam dan diakhiri dengan sesi bergambar.


