Hari Kemerdekaan vs ANZAC Day
Berapa ramaikah di kalangan kita yang tahu tentang ANZAC Day? Tahukah kita kepentingannya kepada rakyat Australia? Bukankah ia sambutan hari kebangsaan bagi rakyat Australia? Apakah bezanya dengan sambutan kemerdekaan atau hari kebangsaan kita dengan ANZAC Day?
Setiap negara pasti akan ada sambutan hari kebangsaan masing-masing terutamanya bagi negara yang pernah dijajah British, Perancis, Belanda ataupun Amerika. Kesemuanya akan berkumpul pada hari tersebut mengadakan perarakan dan perayaan bagi mengenang sejarah perjuangan pemimpin mereka mendapatkan kemerdekaan.
Bagi rakyat Malaysia, kita akan menyambutnya setiap 31 Ogos sejak 1957 lagi, bermakna sudah 53 tahun negara kita merdeka!! Tapi pernahkah kita terfikir bermaknakah sambutan itu, apakah kesannya, dan adakah kita menghayatinya, atau kita sekadar mengikut adat nenek moyang kita.
Bagaimana pula di Australia? Mereka tidak pernah dijajah? Atau sebenarnya dari sudut lain, British menjajah Aborigine dan negara Australia yang dulunya dikenali sebagai New South Wales atau tempat buangan pesalah-pesalah British. Maka mereka tidak pernah merdeka, mereka masih tunduk kepada British malah menggunakan bendera British. Jadi apakah sambutan hari kebangsaan mereka?
Rakyat Australia telah mengambil tarikh 25 April 1915 sebagai tarikh keramat mereka lalu menyambutnya pada setiap tahun. Bukannya kerana mereka merdeka tetapi kerana mereka terlibat dalam Perang Dunia Pertama yang meletus pada 1914!
Pada tahun itu, ANZAC atau singkatan kepada Australian and New Zealand Army Corps telah terlibat secara langsung dengan British dalam peperangan di Gallipoli Peninsula, tanah jajahan Khalifah Uthmaniyah pada masa itu.
Apakah matlamat mereka? Pada mereka, ia adalah sebagai membantu Allied Forces menawan Istanbul di Turki sebagai rangka mereka mengalahkan Kerajaan Islam Turki Uthmaniyyah yang merupakan sekutu kepada Jerman pada perang tersebut.
Namun, perancangan mereka gagal! Kenapa gagal? Masakan tidak, mereka telah dicatur supaya mendarat di tempat yang paling kurang strategik di Gallipoli yang bertebing batu, berombak kuat dan terbuka kepada serangan musuh iaitu tentera Turki Uthmaniyyah yang berada di atas tebing batu tersebut. Ia sangat pelik kerana mustahil mereka tidak tahu akan situasi yang mengundang kematian beramai-ramai tentera ANZAC itu.
Namun ianya tidak pelik bagi kita kerana tentera ANZAC ini dipergunakan oleh Brtish dan sekutunya untuk mencapai maksud politik mereka yang tertinggi, iaitu menjatuhkan sistem Khilafah Islamiyyah yang terakhir. Maka segala-galanya boleh dilakukan semata-mata mencapai maksud tersebut biarpun mengorbankan nyawa tentera-tentera ANZAC yang setia yang datang dari jauh, dari Australasia!! Bukankah mereka berpegang pada prinsip MATLAMAT MENGHALALKAN CARA!!
Menjatuhkan Kerajaan Islam Turki Uthmaniyyah ini tidak hanya akan berjaya melalui peperangan. Malah sejarah membuktikan, umat Islam tidak pernah dikalahkan secara total melalui peperangan fizikal, tetapi kita dikalahkan oleh peperangan ideologi.
Pada masa Perang Dunia Pertama ini telah pun berlaku gerakan nasionalisme dan sekularisme dalam kerajaan Turki Uthmaniyyah hasil perancangan halus dan didikan Zionis dan British. Antara pemimpinnya ialah Kamal Atartuk. Dalam usaha menaikkan Kamal Atartuk inilah, maka British mengaturkan tragedi Gallipoli tersebut.
Ya, Kamal Atartuk adalah pemimpin tentera Turki yang menentang ANZAC di Gallipoli, maka kemenangan Turki di situ adalah sebagai usaha menaikkan imej dan pengaruh Kamal Atartuk dalam menentang Khalifah terakhir iaitu Sultan Abdul Hamid Kedua.
Nampak seolah-olah British dan sekutunya kalah tetapi sebenarnya mereka menang dari sudut ideologi dan pengaruh. Kamal Atartuk berjaya menggunakan modal kemenangan itu untuk mengukuhkan kedudukannya dan menuntut supaya The Ailing Turkishman, Sultan Abdul Hamid kedua untuk mengundurkan diri kerana kelemahannya dalam mengatur peperangan. Pengaruhnya yang besar menguasai rakyat yang menjadi mangsa keadaan lalu menyingkirkan Sultan Abdul Hamid yang seterusnya dibuang ke luar negara bersama keluarganya dan diganti saudaranya yang lebih lemah.
Seterusnya kita dapat lihat bagaimana Turki Uthmaniyyah yang mewarisi kepimpinan dari umat Islam terdahulu bermula dari Nabi Muhammad saw dimusnahkan pada tahun 1924, dengan sekularisasi Turki dan penjajahan negara-negara umat Islam termasuk Tanah Melayu di bawah kuasa-kuasa Barat.
Begitulah sedikit rentetan kisah sebenar dari ANZAC Day untuk makluman kita semua, agar kita mengambil pelajaran. Dalam setiap kisah sejarah pasti ada sudut pandangan lain terutamanya sudut pandangan kita sebagai orang Islam.
Mengetahui sejarah Islam adalah kewajipan setiap dari kita agar kita tahu asal-usul dan tahu asal segala permasalahan yang berlaku pada hari ini. Bertitik tolak dari itu, kita berusaha membaiki punca masalah bukannya membetulkan hanya pada cabang-cabang masalah yang seterusnya akan membuatkan kita berputar di ruang yang sama, masuk ke dalam lubang yang sama dan masalah yang sama.
Jadi, apakah kaitannya dengan Hari Kemerdekaan/Kebangsaan kita? Sama-sama kita fikirkan.
Wallahua’lam.
Dr Ihsanuddin Abbas
Ketua ISMA Australia Cawangan Victoria
Sumber: Laman Web ISMA Australia


