Gerakan berfasa adalah sunnatullah
Tanggungjawab umat Islam adalah mengubah kemungkaran (taghyir). Perubahan bermaksud menggantikan kemungkaran dengan kebenaran, bukan menghapuskan kemungkaran dan menggantikannya dengan kemungkaran yang lain. Malah kita dilarang mengubah sesuatu kemungkaran jika boleh menyebabkan wujudnya kemungkaran lain lebih besar. Allah melarang umat Islam mengutuk berhala kerana akan menyebabkan orang kafir mengutuk Allah s.w.t.
Allah s.w.t telah menunjukkan bagaimana cara merubah tamaddun jahiliyyah kepada Islam melalui penurunan wahyu secara beransur-ansur kepada Rasulullah s.aw. Allah mentaklifkan manusia untuk menegakkan Islam, Allah juga telah meletakkan sunnah kepada perubahan manusia yag berubah secara beransur-ansur. Maka proses merubah tamaddun manusia juga perlu dilakukan secara beransur-ansur atau berfasa.
Allah mengubah manusia bermula dengan mengubah minda, aqidah, kepercayaan, keyakinan atau keimanan kemudian mengubah perasaan takut hanya kepada Allah, neraka dan azabNya dan mengubah perasaan cinta hanya kepada Allah dan keredhaanNya. Kefahaman yang jelas, perasaan takut dan cinta hanya kepada Allah telah merubah sikap, amalan dan tindakan sahabat daripada jahiliyyah kepada Islam.
Namun tarbiyyah dan proses perubahan itu tidak berlaku sekaligus tetapi bertahap dan beransur-ansur sesuai dengan kemampuan manusia untuk memikulnya. Kewajiban-kewajiban Islam seperti solat, puasa, zakat dan haji disyariatkan kebanyakannya setelah dakwah berpindah ke Madinah dan tarbiyyah berlalu lebih 10 tahun. Begitu juga mengenai fasa-fasa jihad Nabi s.a.w. dan polisi hubungan luarnya.
Polisi hubungan luar antara Islam dan jahiliyyah di fasa Makkiah adalah dakwah dan menyampaikan Islam. Mula-mula Nabi hanya menyampaikan Islam secara terpilih dan berahsia, kemudian Allah memerintahkan Nabi mengiklankannya kepada kaum kerabatnya, kemudian kepada seluruh qabilah Arab.
Ketika Nabi mengiklankan dakwah, golongan yang tertutup hati mereka dan berkepentingan mula menentang Nabi; dengan kata-kata, mengganggu dakwah Nabi dengan program-program syair, ceramah-ceramah memburuk-burukkan Nabi, menghasut orang ramai, mengugut orang miskin dan hamba, menabur duri dan najis-najis unta di jalan-jalan Nabi dan di badan Nabi s.a.w., menyiksa golongan hamba yang beriman, mebuat tawaran-tawaran duniawi kepada Nabi, akhirnya membuat pakatan memulau Nabi s.a.w. dan usaha membunuhnya.
Semua tekanan ini berlaku dan Allah hanya memerintahkan Nabi agar berdiam, tidak menjawab dan tidak bertindak balas secara kekerasan. Hanya Allah yang menurunkan wahyu bagi menjawab segala tindakan golongan kuffar sebagai tarbiyyah kepada umat Islam dan ancaman kepada golongan kuffar, Allah mengancam dan mengugut golongan kuffar dengan wahyu-wahyuNya.
Sunnatullah demikian rupa kerana Allah ingin menguji manusia dan mewajibkan umat Islam berusaha menggunakan dan meraikan sebab musabab yang telah ditetapkan menjadi sistem hidup di dunia ini dan dalam setiap pergerakan mereka.
Polisi Nabi s.a.w. di fasa selepas peperangan al-Ahzab adalah dakwah memeluk Islam dan kaum kafir diperintahkan sama ada menjadi Islam dan selamat, menerima zimmah dan membayar jizyah atau perang.
Begitu juga Jahiliyyah kurun ke-20 tidak berlaku secara tiba-tiba dan kebetulan. Masyarakat Islam berubah daripada identiti unggul zaman salaf sehingga kini juga berlaku secara beransur-ansur.
Yahudi berusaha untuk memadamkan cahaya Iman dan Islam sejak zaman Nabi s.a.w. lagi. Mereka tidak pernah berputus asa. Yahudi dan musuh-musuh Islamlah yang cuba memporak perandakan kerajaan Islam zaman Abu Bakar al-Siddiq. Lahirnya fikrah tidak wajib mengeluarkan zakat dan fikrah ini berkembang menjadi satu puak dan menentang khalifah, lahirnya golongan yang murtad, lahir nabi-nabi palsu dan didokong oleh pengikut-pengikutnya di samping kerajaan Romawi yang menentang Islam. Segala penentangan terhadap Islam tidak berlaku secara spontan tetapi dibelakangnya ada penggeraknya, pengaturnya, perencananya dan mereka juga berstrategi.
Kemunculan fahaman penentangan khalifah di zaman Uthman al-Affan yang membawa kesyahidannya juga kemunculan yang terencana yang digerakkan oleh Abdullah bin Saba yang melahirkan golongan Khawarij dan Zindiq seterusnya melahirkan golongan Rafidi dan berkembang menjadi Syiah Imamiyyah.
Berlakunya peperangan Salib ke atas kerajaan Uthmaniyyah kemudian bertukar kepada serangan melalui dalam secara mengahwinkan wanita Yahudi dengan pimpinan kerajaan Turki, kerjasama Barat dan kerajaan Turki Uthmaniyyah, perang dunia pertama sehingga lahir golongan pemberontak yang mengguling Sultan Abdul Hamid dan menamatkan sistem Khalifah. Kesemua ini adalah siri-siri strategi musuh Islam dalam usaha menjatuhkan Islam.
Iblis telah berjaji tidak akan berhenti berjuang sehingga hari kiamat dan sudah pasti wujud di kalangan bani Insan yang akan menjadi tunggangan Iblis sejak kisah Qabil dan Habil.
Kedatangan Portugis, Belanda dan Inggeris ke Tanah Melayu; pembukaan negeri-negeri selat, perjanjian-perjanjian dengan Sultan Melayu, Perjanjian Pangkor, penubuhan sekolah-sekolah dakyah Kristian, penubuhan maktab-maktab perguruan, memblokkan negeri-negeri kepada negeri bersekutu dan tak bersekutu, pewujudan sistem Residen, mengambil orang-orang Melayu yang berpendidikan Inggeris atau Melayu sebagai pegawai kerajaan Inggeris, melaksanakan sistem cukai, sistem kehakiman, sistem pemerintahan secara Inggeris, memilih anak-anak bangsawan untuk bersekolah di Penang Free School, mengambil anak-anak bangsawan untuk belajar di Cambridge, menggubal silibus pendidikan di sekolah-sekolah Inggeris dan Melayu termasuk silibus pengajian agama Islam, sejarah Islam dan sebagainya.
Semua ini bukankah satu perancangan yang berperingkat-peringkat dan berfasa-fasa untuk mencetak pemikiran umat Islam dengan neraca barat, cara berfikir barat, logik barat, adat resam barat, akhlak dan budaya barat.
Malah sejak kemerdekaan sehingga hari ini, apakah isu-isu dasar yang telah berubah dalam sistem pemerintahan negara?? Kenapa tidak berubah??
Sebab majoriti masyarakat Melayu masih terikat dengan sistem barat termasuk terikat dengan satu cara untuk menegakkan Islam iaitu melalui pilihanraya! Sedangkan ini bukan cara Islam ditegakkan di zaman Nabi s.a.w.
Jika gerakan Islam hanya menjadikan pilihanraya sebagai manhaj perubahan akan menjadikan umat Islam akan berjuang 4 tahun sekali secara berkempen… dan merayu undi!!!
Sejak merdeka sehingga hari ini, identiti umat Islam semakin terhakis termasuk anak-anak pejuang-pejuang Islam dan pendokong perjuangan Islam. Tanpa kembali kepada manhaj nabawi, umat Islam tidak mungkin dikembalikan kepada kedudukan sebenar sebagai khalifah.
Sepatutnya setiap umat Islam mempelajari al-Quran dan tafsirnya, hadis dan maknanya serta menghayatinya dalam kehidupannya dan rumahtangganya. Kenapa ini tidak berlaku?? Sebab kita tidak mahu ini berlaku atau kita tidak diajak melakukannya?? Kalau gerakan Islam mahukan perkara ini berlaku mereka akan memberi fokus jutaan ringgit yang dibelanjakan untuk pilihanraya kepada melahirkan ribuan Murabbi yang faham lagi mursyid.
Oleh kerana kerajaan kita mewarisi perlembagan Lord Reid maka umat Islam tidak boleh mengharapkan sesiapa sahaja yang memerintah untuk melaksanakan Islam seperti dalam al-Quran sehingga perlembagaan dipinda. Sebelum usia kita tamat menunggu Islam menang melalui pilihanraya umat Islam perlu melakukan sendiri segala tuntutan syarak ke atas dirinya sendiri dan bersama-sama jamaah Islam yang dianggotainya setakat kemampuan mereka.
Islam hanya akan tertegak dalam kehidupan ini sekadar apa yang kita amalkannya. Kita tidak akan mengamalkannya sehingga kita mahu dan berkehendak untuk mengamalkannya. Kemahuan akan timbul apabila kita faham dan takutkan Allah dan harapkan keampunanNya. Jalan pintas untuk faham dan ada kemahuan hanya dengan kembali meneliti ajaran al-Quran dan menyerah diri untuk dididik oleh al-Quran.
Sesiapa yang tidak menjadikan al-Quran sebagai bacaan dan sumber kefahaman dan amalan hidupnya hanya berbohong kepada Allah dalam Syahadah yang diucapkannya setiap kali solat.
Pimpinan gerakan Islam yang membiarkan pengikutnya yang memberi masa, wang ringgit, tenaga dan berkorban apa sahaja untuk perjuangannya tetapi tidak mengambil berat urusan agamanya, kefahamannya, ketakwaannya dan kehidupannya dibimbangi tidak akan dimasukkan ke syurga bersama mereka.
Setiap gerakan Islam perlu bermuhasabah dan melihat apakah yang telah disumbangkan kepada perubahan identiti ummah, apakah hendak dibiarkan sahaja mereka dididik oleh sistem yang gerakan Islam hendak tumbangkan itu. Sejak merdeka sehingga hari ini apakah hasil perjuangan melalui manhaj sedia ada? Adakah ahli biasa gerakan Islam yang terlibat berpuluh tahun lalu sudah berjaya mendidik isteri dan anak-anak mereka atas inisiatif pimpinan atau mereka mencari sendiri dengan usaha mereka?
Menjadikan tarbiyyah sebagai manhaj perubahan bermaksud setiap ahli perlu melalui proses tarbiyyah sebelum menjadi pimpinan dalam gerakan Islam. “Jundiyyah tariq ila al-Qiyadah”. “Tafaqqahu qabla an Tasudu”. Tidak ada istilah lompat dalam gerakan Islam kerana orang baru perlu membuktikan kefahaman, keimanan, keyakinan dan implimentasi terhadap fikrah perjuangan sebelum mereka boleh dilantik menjadi pemimpin. Gerakan Islam memilih mentarbiyyah ummah sebagai manhaj perubahan kerana inilah sunnatullah dalam membangunkan ummah ke arah objektif Islam sebagaimana musuh Islam juga menggunakan manhaj yang sama dalam meruntuhkan ummah dengan meruntuhkan kefahaman mereka dan menjuzuk-juzukkan amalan hidup mereka antara Islam dan jahiliyyah.
Idea ini sayugia difahami dengan tidak menafikan keperluan terlibat dalam pilihanraya sebagai wahana dakwah dalam proses menasihati pemerintah melakukan yang terbaik untuk ummah.

Oleh: Ustaz Annuar Salleh,
Yang Dipertua ISMA DHL
Sumber: Renungan2u


Terang lagikan bersuluh….
jika kita lihat apa yg mereka bawa tak lari daripada ISLAM….
tetapi KITA NAK ISLAM YANG TERBAIK DAN SEMPURNA DIFAHAMI
….Pimpinan gerakan Islam yang membiarkan pengikutnya yang memberi masa, wang ringgit, tenaga dan berkorban apa sahaja untuk perjuangannya tetapi tidak mengambil berat urusan agamanya, kefahamannya, ketakwaannya dan kehidupannya dibimbangi tidak akan dimasukkan ke syurga bersama mereka….. syukran us.
Jika gerakan Islam hanya menjadikan pilihanraya sebagai manhaj perubahan akan menjadikan umat Islam akan berjuang 4 tahun sekali secara berkempen… dan merayu undi!!!
Gerakan Islam yang mana ustaz maksudkan? PAS ke? Jangan sebarangan mengatakan orang berjuang 4 tahun sekali.. kerja PAS bukan berkempen sahaja..atau rayu undi. cuba fikirkan kalaulah dari dulu semua orang Pas macam ustaz, hari ini tak ada satu negeri yang dapat diperintah oleh org lain selain UMNO. Bukan apa..main tuduh saja akan mengundang rasa kecil hati orang dan lebih parah lagi rasa marah. Ustaz cubalah fikirkan cara-cara bagai mana nak tangani gejala sosial hari ni, ISMA buat program boleh kami ikut dan ambil contoh. ISMA tengok sahaja politik kat Malaysia ke? Setahu saya al-Banna pun masuk pilihanraya…..
setahu saya juga, hasan albanna masuk pilihanraya pada masanya…..
Ustaz, jgn ingat keputusan utk menyertai pilihanraya ni dibuat dgn mesy seminit dua…depa pun ada ahli syura, jgn ingat kita je yang pandai usul fiqh, depa pun ulama’ yang kita tak dapat nafikan ilmunya. Apa pendekatan yang nak digunakan oleh Isma sebenarnya?? Nak revolusi ke???
Jazakumullahu khairan epada semua yang memberi pendapat:
Saya sedar semua kata-kata dan pendapat manusia boleh diterima dan ditolak melainkan al-maksum rasulullah s.a.w.
Terpulanglah kepada pembaca untuk menilai semua yang saya tulis, jika ada kebenaran ia daripada Allah dan jika ada kesilapan ia adalah daripada nafsu saya dan kejahilan saya.
Sebenarnya tulisan saya sudah diakhiri dengan:
“Idea ini sayugia difahami dengan tidak menafikan keperluan terlibat dalam pilihanraya sebagai wahana dakwah dalam proses menasihati pemerintah melakukan yang terbaik untuk ummah.”
Sebenarnya selagi kita ikhlas Allah akan bukakan hati kita untuk menerima teguran daripada sesiapa sahaja.
Allah pernah menegur nabi s.a.w. dalam surah Abasa, Surah al-Anfal, surah al-Tahrim dan sebagainya. Sahabat juga ada memberi pandangan kepada nabi dalam peperangan Badar, Khandak dan lainnya.
Nabi s.a.w. pernah menegur Abu Dzar dengan teguran yang pedas.
Teguran adalah nasihah dan agama itu nasihah, maka teguran adalah tuntutan agama.
Buat apa saya berniat menyakitkan hati sahabat2 PAS mereka adalah ayah dan ibu saya, mertua saya, abang dan adik saya. Saya dibesarkan di dalam perjuangan yang dipelopori oleh PAS sejak 1980an. Malah ramai pimpinan PAS adalah sahabat dan senior saya di sekolah yang sentiasa berkomunikasi dalam egroup atau facebook. Kalau saya berjumpa bukan sekadar bersalaman malah kadang-kadang berpelukan. Mereka lebih saya kasihi daripada sesetengah orang-orang beriman kerana mereka adalah pejuang.
Saya memang tahu ada ulama-ulama dalam PAS menjadi pimpinan dan yang tidak menjadi pimpinan kehulu dan kehilir, berceramah menyusun perogram Tarbiyyah. Jadi tulisan saya memperkukuhkan perjuangan mereka.
Sebenarnya isu bekerja 4 tahun sekali semasa pilihanraya saya tidak tujukan kepada PAS tetapi kepada baki umat Islam yang lebih 14 juta yang tidak berbuat apa2 kecuali mengundi dimusim pilihanraya.
Saya masih teringat bagaimana Abdullah bin Mubarak menegur sahabatnya Fudhail bin Iyad;” Wahai ahli Ibadah di al-Haramain, jika kamu melihat kami nescaya kamu akan mengetahui bahawa kamu bermain-main dalam ibadah kamu”.
Sedangkan Abdullah bin Mubaraklah antara orang yang selalu menyara Fudhail yang menjadi guru di al-Haramain.
Apabila wujud Jamaah Tabligh, Arqam, ABIM, JIM, HALUAN, PAS, ISMA dan lain-lain lagi menunjukkan wujud beberapa perbezaan dalam memahami sunnah nabi s.a.w dalam berdakwah dan ber`amal soleh bagi menegakkan Islam. Cuma fikrah dan perbezaan itu tersebar dikalangan ahli-ahli masing dan sekiranya ada komen-komen terhadap gerakan Islam yang lain komen-komen itu dilakukan secara tertutup dan tidak di dengar oleh pihak yang dikomen. Alangkah baiknya jika komen-komen itu dilakukan secara terbuka dan pihak yang dikomen berfikir jika ada kebenaran. Tetapi betulkah budaya kita yang amat menjaga hati sehingga kadang-kadang menyembunyikankan kebenaran dan tidak sanggup menegur jika melihat kesilapan dan kalaupun menegur terlalu berkias-kiasan.
Saya berpendapat gerakan-gerakan Islam ini perlu mengemukan ijtihad masing-masing mengenai manhaj dan metodologi untuk menegakkan Islam di Malaysia secara terbuka dan membenarkan gerakan Islam lain memberi pandangan dan bermuhasabah secara hujjah dan hikmah sehingga kita menemui titik-titik persefahaman dan perselisihan.
Fikrah yang saya tulis ini sudah saya imani sejak saya mengenal Ikhwan tahun 1980an lagi dan antara tokoh yang memperkenalkan fikrah Ikhwan ini adalah ulama-ulama dalam PAS, ABIM, JIM dan HALUAN melalui buku-buku terjemahan mereka.
Dahulu fikrah ini hanya tersembunyi dan berlegar dikalangan mereka yang mendapat tarbiyyah di dalam usrah, katibah, daurah, rehlah, mukhayyam dan muaskar sahaja. Kini fikrah ini disebarkan melalui blog, laman web, konvention, seminar dan sebagainya.
Dalam hati saya semua umat Islam di Malaysia adalah saudara saya seaqidah dan seagama sama ada PAS atau UMNO. Bagi saya kebenaran Islam lebih tinggi daripada PAS mahupun UMNO.
Berleluasanya gejala sosial dikalangan generasi remaja kerana dakwah tidak sampai kepada mereka, mereka tidak ditarbiyyah dan dibimbing sedangkan ada ahli gerakan Islam hanya melihat penyelesaian masalah hanya dengan meruntuhkan kerajaan yang memerintah sama ada PAS atau UMNO. Maksud saya UMNO berusaha meruntuhkan pemerintahan PAS begitu juga sebaliknya sedangkan siapa sahaja yang memerintah tetap mendukung perlembagaan Lord Reid.
Menyedihkan pula majoriti umat Islam tidak berdakwah, tidak kembali mempelajari al-Quran dan memahaminya. Kalau umat Islam menganggap BN itu jahiliyyah maka perlu ditumbangkannya.
Maka cara menumbangkannya adalah dengan memastikan pelapis-pelapisnya adalah generasi Islam yang ditarbiyyah. Apabila jahiliyyah sudah tidak ada pelapisnya Islam akan kembali memerintah.
Apakah kita sanggup mendidik anak-anak ahli UMNO jika mereka tidak bersama kita dalam saf? ISMA membuka pintu kepada semua umat Islam termasuk anak-anak PAS, UMNO dan sesiapa sahaja.
Sebelum saya meninggal dunia sekurang-kurangnya saya menyampaikan fikrah dan kefahaman yang saya fahami. Terpulanglah kepada umat Islam yang mempunyai akal waras untuk menilainya tetapi mereka yang tidak mampu mengawal ammarahnya maka sikap takbur akan memusnahkan mereka.
Tujuan tulisan saya adalah menyeru semua ahli gerakan Islam benar-benar kembali membaca al-Quran dan memahaminya seayat demi seayat dan mengajak anak-anak dan isteri sama-sama menghayatinya dan menjadikan memahami al-Quran dan al-Sunnah sebagai agenda utama sekurang2nya dalam usrah mingguan.
Tujuan kedua supaya setiap ahli gerakan Islam berusaha memartabatkan diri mereka dengan mempelajari ilmu-ilmu Islam sehingga setiap umat Islam adalah ustaz-ustaz yang menjadi al-Quran berjalan di atas bumi.
Ketiga supaya semua umat Islam yang tidak menyertai mana-mana gerakan Islam, mula menilai diri mereka dan laluan hidup mereka kesyurga atau sebaliknya dan mula memilih mana-mana gerakan Islam untuk disertai, seterusnya membina identiti khalifah dalam diri.
Ketika itu barulah sistem Khalifah tertegak kerana setiap rakyat adalah pemerintah dan polis pada diri sendiri.
Sekarang kita hidup dizaman orang memperjuangkan kebebasan bersuara, kebebasan memberi pendapat dan mengkritik. Berapa ramai orang-orang kampung, menghilangkan ego mereka dan datang ke akademi fantasia, mentor, akademi al-Quran, idola kecil dan sebagainya hanya untuk dikritik. Kita juga lihat betapa kritikan-kritikan itu menjadikan mereka bintang.
Kita lihat betapa ahli-ahli Parlimen bersuara mengemukakan pandangan dan kritikan dan dengan kritikan itu kerajaan lebih berhati-hati dan generasi baru mula berubah.
Malangnya kadang-kadang ahli-ahli syura dalam gerakan Islam akan disisih keluar daripada saf syura malah dari gerakan Islam sendiri disebabkan kritikan dan fikrah mereka berbeza dengan pimpinan majoriti.
Bagi saya pimpinan gerakan Islam patut berani dikritik walaupun dikhalayak ramai sebagaimana Umat r.a. ditegur dengan pedang terhunus.
Setakat pengalaman peribadi saya.. jika saya bersalah dan ditegur memang akan terasa pedasnya teguran itu tetapi jika saya tidak bersalah dan ditegur saya masih boleh tersenyum dan membetulkan kesilapan itu dengan hati yang terbuka..
” Tidak dinamakan nasihat melainkan akan menyakitkan..kerana nasihat asalnya membakar bijih emas bagi memisahkan emas yang tulen daripada bijihnya”.
” Ya Allah, kurniakanlah kepada kami isteri dan anak-anak yang sejuk mata memandang dan jadikanlah kami pemimpin kepada rakyat yang bertakwa”.
Wallahu a’lam.
sabor je le..
Salam Ustadz.. Terbaik!.. Komen penuh teladan dan antara ter”cool”pernah ana baca.. Kalaupun ana bukan ahli ISMA laa ni… Memang ana sokong penuh komentar (of course plus tulisan) ustadz ni…
Lapang dada + Penjelasan penuh hikmah… Moga kita tidak jatuh dalam perangkap kritik dengan amarah dan bukannya mencari kebenaran.
Buat pemerhati dan rakan ISMA… amal dan perbaiki jika ianya mendatangkan manfaat.. tinggalkan ruang tidak berfaedah jika rasa ia lebih memudaratkan… Orang umum di atas pagar membaca dan menilai anda.. Kritikla dengan penuh mahabbah dan spirit yang mendatangkan kebaikan buat ummah.. Buat ahli ISMA, nah hadamkan dan teguhkan pendirian atas jalan yang kamu pilih!!
Allahu’alam
A.K.
Alhamdulillah kalau itu penjelasan ustaz, bukan apa saya sebagai saudara seagama cuba mengingatkan. Saya nampak pas sudah berpengaruh di kalagn rakyat Malaysia cuma cara kerja yang agak tidak kena.. kalau begitu alangkah baik ustaz menyerap masuk dalm pas juga untuk membetulkan apa-apa yang tidak kena supaya kerja2 Islam terus dapat diperkasakan.
Idea ustaz ttg kerja2 yang perlu dilakukan oleh gerakan Islam memang benar sekali.Melambangkan seorang yang amat memahami fiqh harakah. Tapi ada satu fakta yang saya agak musykil: Tulisan yg menyebut ttg ahli2 syura dalam gerakan Islam yang disisihkan dari saf syura malah dari gerakan Islam sendiri”. Apakah di sana ada penyisihan atau mereka yang sengaja menyisihkan diri sendiri atau memilih untuk menyisihkan diri? Itu adalah perkara yang perlu difikirkan sedalam-dalamnya seblm ustaz membuat anggapan bahawa pemimpin gerakan Islam takut untuk menerima kritikan. Saya tahu selagi masing2 merasakan diri berada di pihak benar akan sentiasa merasakan pihak lain tidak benar. Kita bukan berada di zaman Rasulullah saw yg akan menunggu wahyu turun dari langit untuk ‘membuat penentuan’. Tapi kita masih lagi berada di lingkungan ‘ulamak mu’tabar’ yang bersifat mujtahid dan mereka mampu berijtihad untuk menentukan ‘perkara ini’. Tapi adakah kita merasakan diri kita juga sudah sampai ke tahap ‘mujtahid’ yang mampu mengeluarkan ijtihad sendiri dengan mengenepikan ijtihad para ‘ulamak mu’tabar’ tadi? Oleh kerana saya sayangkan saudara seagama yang begitu gigih dalam melaksanakan usaha dakwah seperti ustaz, so sukalah saya mengajak ustaz dan mereka yang turut sama membaca blog ini agar kita fikir2kan semula ‘perkara ini’. Kalau rasa memerlukan petunjuk yang kuat dari Allah swt, sama2 kita memohon Allah swt tunjukkan, mungkin melalui solat istikharah yg perlu kita lakukan. Sekiranya Allah swt telah tunjukkan melalui istikharah yg kita lakukan(sepenuhnya kita serahkan padaNya tanpa ada bias pd mana2 pihak) kita perlu pula berjumpa dgn ‘saudara kita’ (yang kita mendakwa telah menyisihkan ahli syura tadi) untuk berbincang mencari titik persamaan. Apa salahnya kita sebagai orang Islam dan berstatuskan ‘pendakwah’ merendahkan diri untuk berbincang mencari kata sepakat. Itu saya rasa jalan yang paling baik dari terus menulis sesuatu yang kadang2 saya merasakan bukan satu pencerahan malah sesuatu yg makin mengusutkan lagi keadaan. Terserah pada Allah swt untuk menilai keikhlasan kita dalam berjuang. Seperti mana juga bagi pihak yang berijtihad, betul dapat dua pahala, tak betul dapat juga satu pahala. Apa yang kita bimbang…takut semua berdosa.
Kepada ameenummah,
Kita sudah merdeka berapa tahun? Tak silap saya 53 tahun. Dan walaupun sudah merdeka selama itu, dan lebih kurang 60% rakyat Malaysia mengaku Islam, akan tetapi kenapakah Malaysia masih belum menjadi Islam sepenuhnya? Bukankah itu tanda-tanda bahawa majoriti rakyat Malaysia masih belum mantap asas-asas Islamnya? Kenapakah Rasulullah SAW, walaupun baginda hanya seorang sahaja yang Islam pada peringkat mula, boleh menegakkan sebuah negara Islam di Madinah dalam masa 13 tahun sahaja, walaupun beliau tidak berpolitik sepanjang 13 tahun berada di Mekah?
Bukankah contoh Rasulullah SAW menunjukkan bahawa dakwah itu lebih berkesan daripada berpolitik dalam menegakkan sebuah negara Islam? Saya hairan kenapa kita sebagai umat Islam mencontohi Rasulullah SAW dari segi aqidah, akhlak, dan fiqh ibadah, tapi dari segi fiqh dakwah dan politik, kita taknak ikut. Pada zaman Rasulullah SAW, tidak wujud sistem kepartian dan demokrasi seperti hari ini, tetapi tertegak jer negara Islam. Bukankah itu menunjukkan bahawa kita tidak memerlukan politik ala Malaysia untuk menegakkan sebuah negara Islam?
Mungkin anda akan bertanya pula, adakah saya berkata PAS tak jalankan dakwah? Sudah tentu PAS menjalankan dakwah, tetapi nampak gaya kesan dakwah PAS masih amat kurang jika sudah 53 tahun PAS sudah berdakwah+berpolitik, tetapi berdasarkan kepada keputusan pilihanraya yang amat tidak stabil, nampak gaya macam lambat lagi objektif PAS nak tercapai. Kalau nak salahkan kerajaan Malaysia, kerajaan Mesir lagi teruk daripada kerajaan Malaysia, tetapi kenapa dakwah Ikhwan di Mesir berkembang lebih subur daripada dakwah PAS di Malaysia?
Pada pendapat saya, ade tiga kelemahan kaedah PAS berbanding dakwah Rasulullah SAW dan ikhwanul Muslimin – 1) terlalu fokus kepada politik sehingga tarbiyyah ahli dan masyarakat secara berkesan diabaikan, 2) memasuki politik dalam keadaan ahli-ahli serta majoriti masyarakat masih kurang mantap kefahaman Islamnya, dan 3) memasuki politik untuk merampas kuasa, dan bukan untuk berdakwah secara ikhlas kepada parlimen. Kalau nak tahu ikhlas ataupun tidak senang jer – kalau kalah pilihanraya, ahli PAS sedih tak? Kalau sedih, maknanya niat anda masuk pilihanraya adalah untuk menang semata-mata dan bukan kerana dakwah. Kalau anda ikhlas, anda takkan kisah anda menang ataupun tidak, yang penting aktiviti dakwah berjalan secara biasa.
Cuba bandingkan kesan dakwah PAS dengan kesan dakwah Ikhwanul Muslimin di Mesir, dimana Ikhwan berjaya memenangi lebih separuh daripada kerusi yang dipertandingkan (walaupun hanya 1/3 kerusi parlimen sahaja yang dipertandingkan). Dan ingat bahawa Ikhwanul Muslimin hanya memasuki politik untuk menyampaikan dakwah kepada parlimen, dan bukan untuk merampas kuasa! Amat jelas daripada buku-buku rujukan Ikhwan bahawa Ikhwanul Muslimin tidak pernah beriman dengan cara demokrasi dan parlimen untuk menegakkan sebuah negara Islam. Mereka beriman dengan cara dakwah dan tarbiyyah yang mantap! Memasuki politik hanya merupakan satu wasilah untuk menyampaikan kefahaman Islam yang sebenar kepada parlimen dan rakyat Mesir. Dan ikhwan hanya memasuki politik apabila ia betul-betul kuat dan yakin bahawa aktiviti politiknya tidak akan menjejaskan tarbiyyah ahli-ahlinya serta masyarakat.
Kejayaan Rasulullah SAW dan Ikhwanul Muslimin sudah jelas menunjukkan bahawa ade sesuatu yang tak kena dengan cara PAS di Malaysia. Bukankah sudah sampai masanya untuk PAS melihat kepada perbezaan antara dakwah serta politiknya dan dakwah serta politik Rasulullah SAW dan Ikhwanul Muslimin, supaya ia boleh memperbaiki kelemahan-kelemahannya?
Wallahua’lam
10 tahun di madinah dan 13 tahun di makkah
Salaam
Ana ‘ter’setuju dengan pendapat Nazif sejak sekian lama.
>> Pada pendapat saya, ade tiga kelemahan kaedah PAS berbanding dakwah Rasulullah SAW dan ikhwanul Muslimin – 1) terlalu fokus kepada politik sehingga tarbiyyah ahli dan masyarakat secara berkesan diabaikan, 2) memasuki politik dalam keadaan ahli-ahli serta majoriti masyarakat masih kurang mantap kefahaman Islamnya, dan 3) memasuki politik untuk merampas kuasa, dan bukan untuk berdakwah secara ikhlas kepada parlimen.
‘Ala kulli hal, niat yang pertama akan menentukan segalanya.
Bekerja ikhlas untuk agama dan ummah, insyaAllah barokah.
Allahu’alam
Isu sisih menyisih dalam sesetengah gerakan Islam mungkin tidak dirasai oleh sesetengah ahli gerakan Islam yang terkesan dengan budayakerja parti politik yang menggunakan kaedah lobi dalam pilihanraya, orang yang lama tak datang usrah bertahun-tahun akan datang masa pilihanraya memilih pimpinan dan mengundi berasaskan pilihan senior-senior mereka atau kumpulan yang pernah mentarbiah mereka.
Sedangkan dalam perlembagaan ikhwan seseorang yang terputus usrah lebih 3 bulan tanpa sebab perlu dinilai semula keikhwanannya, mereka sebenarnya tidak layak mengundi dan diundi.
Isteri-isteri terkesan dengan lobi suami atau suami dengan sengaja melobi isteri dan mengundi walaupun tidak amat-amat mengenali orang yang diundi, golongan senior dan berpengaruh akan menyenaraikan semua calun-calun pilihan mereka kemudian menutup pencalunan agar nama-nama lain yang mereka tidak setuju tidak dicalunkan. Kadang-kadang dengan sengaja mailing list digunakan untuk membuat kempen agar tidak mengundi seseorang atau undi seseorang adalah amalan lobi yang bercanggah dengan budya amal ikhwan pada pengalaman saya dan mungkin bagi sesetengah ahli gerakan Islam anggap ia tidak salah.
Ini adalah budaya parti politik yang bukan budaya gerakan Islam. Jika melalui budaya ini berlaku pemilihan ahli syura maka ia bukan budaya ikhwan muslimin. Apabila golongan majoriti dari aliran yang sama membuat lobi dikalangan mereka menjadikan satu aliran minoriti tersisih maka inilah saya maksudkan penyisihan dengan cara konspirasi bagi saya bercanggah dengan budaya Islam dan menjadikan ahli syura yang dilantik tidak syar`ie pada pandangan saya dan mungkin budaya yang syarie pada pandangan orang lain.
Perbezaan budaya ini lebih dahsyat daripada perbezaan Imam al-Syafie dengan manhaj Imam Maliki dan al-Hanafi sehingga beliau membuat mazhab sendiri.
Saya tidak bersetuju dengan kenyataan bahawa jika kita berkeyakinan dipihak benar menyebabkan kita menyangka pihak satu lagi berada dipihak salah. Ini bukan adab khilaf yang syarei.
Kita wajib mengikut dalil-dalil dan hujjah yang kita yakin benar berdasarkan kefahaman kita dan dalam masa yang sama menganggap pihak lain juga mungkin benar. Cuma bila bertembung antara dua budaya sudah pasti kita perlu ikut budaya yang lebih hampir dengan manhaj perjuangan kita yakin benar dan apabila bertembung antara dua fatwa antara halal dan haram maka dalam isu ini tidak boleh bertolak-ansur terutamanya dalam isu-isu yang berkaitan nas-nas yang qat`ie.
Dalam isu taqlid kepada ulama’ muktabar atau tidak bukan isu besar kecualilah ulama-ulama muktabar itu berijmak dalam sesuatu isu selagi isu itu isu khilaf bukan ijmak maka umat Islam boleh memilih fatwa yang lebih diyakininya hampir kepada kebenaran.
Kemudian isu istikharah;
Istikharah ialah memilih antara dua perkara setelah dilakukan kajian, penyelidikan kemudian yakin dengan keputusannya berdasarkan hujjah-hujjah akal dan syarak. Maka apabila beliau ingin membuat keputusan barulah beliau beristikharah agar Allah memudahkan pilihannya atau menghindarkannya daripada keburukan akibat pilihannya.
Isu meminta saya berbincang dengan sesiapa ia adalah isu menghubung silaturrahim tidak menjadi isu. Bagi saya bukan isu putus ukhuwwah dan hilang hubungan silaturrahim yang diharamkan Islam . Ia adalah isu perbezaan aliran mazhab dalam cara bekerja. ISMA hanya mengetengahkan fikrah-fikrah ISMA sebagai dakwahnya kepada masyarakat dan kemungkinan fikrah ini tidak sama dengan golongan lain..
Sekurang-kurangnya masyarakat mengetahui fikrah ISMA dam masyarakat boleh menilai sama ada menyokong atau menolak.
Golongan Tabligh bercakap mengenai fikrahnya, ABIM, PAS, UMNO, SIS, Hizbu Tahrir dan sebagainya.. Masyarakat perlu menilai dan memilih.
Jika pimpinan gerakan Islam tidak menulis, menceritakan ideanya, fikrahnya, wawasannya bagaimana beliau akan dapat menggerakkan jentera dakwahnya.
Sebenarnya fokus pimpinan ISMA lebih kepada ahli-ahlinya dan dikongsikan kepada ummah. Jika pimpinan gerakan Islam lain merasakan tulisan, idea dan fikrah pimpinan ISMA bercanggah dengan Islam mereka wajib memberi pandangan mereka. Malah bukan idea pimpinan ISMA sahaja tetapi idea semua orang. Namun kadang-kadang ulama menganggap isu yang ditimbulkan adalah isu pendapat dan ijtihad boleh diterima dan ditolak maka mereka tidak membuat apa2 komen.
Yang penting amal dan aktiviti yang kita jalankan memberi kebaikan kepada ummah.
Wallahua’lam.