|

Dirikanlah keluarga Muslim

“Dan di antara tanda-tanda kebesaranNya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu perasaan kasih dan sayang. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir,” (Ar Rum: 21)

Antara tanda kebesaran Allah SWT adalah menciptakan manusia itu berpasang-pasangan. Adalah menjadi fitrah setiap anak Adam untuk berkasih sayang dengan kaum dari berlainan jantina. Lalu Islam telah meraikan fitrah ini dengan menghalalkan perhubungan tersebut melalui ikatan perkahwinan. Dan demi menjaga kesucian perhubungan ini serta zuriat yang bakal dilahirkan, maka cinta yang dihalalkan oleh Allah SWT ialah cinta selepas terlafaznya akad nikah.

Dalam amal dakwah yang kita yakini, Hassan Al-Banna telah melakarkan tujuh tangga amal bagaimana untuk kita mencapai cita-cita kita bagi menegakkan kalimah Allah SWT dalam erti kata lain bagaimana untuk memastikan ketuanan bumi ini menjadi milik umat Islam. Maka adalah satu perkara yang menjadi kewajipan untuk kita sebaiknya melaksanakan setiap tangga amal itu. Bermula dengan pembentukan individu muslim, seorang akh atau ukhti itu hendaklah mempersiapkan dirinya dengan ilmu dan kefahaman tentang Islam, seterusnya beramal dengannya. Dari sehari ke sehari berusaha memperbaiki diri dan iman sehingga mampu menjadi seorang akh atau ukhti yang mapan iman, akhlak dan gerak amalnya.

Maka apabila telah berjalan proses ini, tibalah masanya untuk mula memikirkan tentang langkah yang seterusnya pula iaitu untuk mendirikan rumah tangga Islam. Rumah tangga yang didirikan atas dasar mewariskan fikrah yang diyakini ini kepada zuriat yang bakal dilahirkan seterusnya kepada generasi akan datang. Tanpa tangga amal ini mana mungkin dapat menyampaikan kita semua kepada terbentuknya sebuah masyarakat Islam. Maka hendaklah tangga amal kedua ini diberi penekanan dan diambil serius tidak kurang dari tangga amal yang pertama iaitu pembentukan individu Muslim.

Jadi bagi setiap akh dan ukhti yang telah sedia hidup untuk Islam mestilah mula memikirkan tentang perancangan keluarga muslimnya. Eloklah mula merancang dalam usia berapa beliau ingin berkahwin, agar mudah untuk dirancang persediaan dari segi perbelanjaan, melengkapkan diri dengan skil-skil rumah tangga dan sebagainya. Dalam masa yang sama sudah boleh mula beri hint kepada keluarga agar mereka tidak terlalu terkejut bila disuarakan keinginan kita untuk berkahwin. Elok juga diberi sedikit gambaran perkahwinan macam mana yang kita nak contohnya kita tidak mahu bersanding. Sekiranya akh atau ukht itu berasal dari keluarga yang biasa dengan adat bersanding, akan mengambil masa juga untuk yakinkan keluarga tentang hasrat kita yang tidak selari dengan adat kebiasaan keluarga.

Dan apa yang lebih penting dari perkara-perkara logistik di atas adalah tentang dengan siapa kita akan berkahwin. Perkahwinan ibarat dua hati yang bersatu membentuk satu jiwa. Jiwa yang kita mahu adalah jiwa-jiwa yang cintakan Islam iaitu jiwa-jiwa duat.  Jika diandaikan seorang akh atau ukht yang berjiwa duat itu bernilai satu (1), maka apabila dua nilai 1 dipertemukan dalam ikatan perkahwinan, secara idealnya ia akan memberi nilai 2 atau synergi 3. Paling kurang pon bernilai satu, tapi jarang sekali menjadi sifar. Tetapi sekiranya seorang akh atau ukhti memilih untuk berkahwin dengan pasangan yang masih belum duat jiwanya maka di situ ada cabarannya yang tersendiri. Boleh jadi akh/ukhti mampu mentarbiyyah pasangan agar mencintai jalan dakwah ini atau sebaliknya.

Jadi buatlah pilihan. Bukalah mata dan mata hati untuk menilai seseorang melepasi batas rupa dan fizikal, bahkan usia juga bukan penghalang. Moga iman dan dakwah menjadi asas pemilihan ikhwah dan akhawat dalam mencari pasangan.

Dr Norsyarifah bt Hashim,
Biro Baitul Muslim,
ISMA
Cawangan Shah Alam & Klang.
Sumber: Laman Web ISMA Shah Alam & Klang