Brothers Sports Day meriah, rapatkan ukhuwwah
Henley Beach, 10 April – ISMA-South Australia telah mengadakan Brothers’ Sport Day. Hari yang bersejarah ini adalah acara tahunan ISMA-SA dalam usaha untuk merapatkan ukhuwwah antara ISMA dan golongan pelajar Malaysia yang belajar di Adelaide, Australia. Tahun ini, acara tersebut telah diadakan di Henley Beach yang mana aktiviti-aktiviti yang diadakan termasuklah Bola Tampar dan Frisbee.
Acara ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Kira-kira 50 orang hadir seawal jam 10 pagi lagi. Seusai sarapan, acara dimulakan dengan warming-up yang dikendalikan oleh Pengarah Program, Mohamad Taufik. Sedikit taklimat ringkas mengenai perjalanan program pada hari itu diberikan dan proses pembahagian kumpulan bermula. Terdapat enam kumpulan yang terdiri daripada pelajar-pelajar seniors, juniors dan juga golongan yang sudah bekerja! Permainan bola tampar dimainkan secara liga dan santai. Manakala, frisbee dimainkan oleh kumpulan-kumpulan yang menunggu giliran untuk berlawan dalam arena bola tampar.
Format acara ini adalah santai, tiada kumpulan yang menang atau kalah diisytiharkan. Konsep kebersamaan itu lebih dititikberatkan. Walaupun tiada hadiah yang dijanjikan, kesemua pemain menunjukkan kesungguhan bermain seperti dalam satu pertandingan bola tampar di peringkat antarabangsa!
Kira-kira jam 12.30 tengah hari, riak-riak kepenatan jelas kelihatan pada wajah-wajah para pemain dan permainan dihentikan. Kesemua hadirin dijamu dengan makanan tengah hari yang cukup menyelerakan hinggakan ada yang ingin menambah! Kira-kira jam 1.00 tengah hari, kami bertolak pulang setelah mengemaskan kawasan permainan secara gotong-royong.
Pihak ISMA-SA mengucapkan jutaan terima kasih kepada peserta-peserta yang telah mengambil bahagian dan tidak dilupa kepada pihak penganjur, Biro Sukan, Reakreasi dan Kebudayaan ISMA-SA. Kami berharap acara-acara seperti ini dapat dilakukan lagi pada masa akan datang demi melahirkan masyarakat yang sihat tubuh badan, cerdas pemikiran dan tinggi sikap kerjasama.
Oleh: Media ISMA Australia
Sumber: Laman Web ISMA Australia


