|

Biro Wanita ISMA-Mesir anjur Program Pengurusan Kewangan

Hayyu Asyir, 5 AprilSetiap hari, kita berhadapan dengan wang, memerlukannya dan menggunakannya. Oleh kerana itu, pentingnya setiap dari kita mengetahui cara pengurusan wang yang betul.

Atas kesedaran ini, Biro Ekonomi Wanita ISMA-Mesir telah menganjurkan satu sesi perkongsian “Pengurusan Wang Yang Ideal Bagi Seorang Muslim” yang menampilkan tetamu khas dari Malaysia, Ustaz Abdul Halim Abdullah.

Beliau yang merupakan Naib Presiden 1 Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) juga seorang usahawan yang mempunyai pengalaman yang luas dan memiliki agensi pelancongan syarikat Haji dan Umrah. Bertempat di Dewan Jawa Barat, majlis yang berlangsung dari jam 2 hingga 5 petang ini disertai oleh hampir 100 orang mahasiswi dari pelbagai jurusan dan muhafazah.

Dalam majlis perkongsian yang ringkas tetapi amat bermanfaat ini, Ustaz Abdul Halim banyak berkongsi pengalaman-pengalaman beliau dalam menguruskan kewangan semasa beliau bergelar pelajar hingga kini. Beliau juga menggalakkan hadirin untuk berjimat cermat, menabung dan tidak boros dalam menggunakan wang sama ada yang diberikan ibu bapa atau wang biasiswa dan zakat. Bukan setakat itu, beliau juga memupuk semangat untuk menjadi peniaga atau seorang usahawan kerana ia pekerjaan yang mulia, amat menguntungkan dan banyak membantu dakwah.

Sesi soal jawab diselang-selikan sepanjang perkongsian berjalan dan mendapat respon yang amat memberangsangkan. Turut diadakan sesi pengurusan perbelanjaan yang bijak untuk tempoh sebulan di mana para hadirin mengemukakan masalah-masalah yang dihadapi dalam menguruskan perbelanjaan dalam seharian. Di akhir sesi perkongsian, Ustaz Abdul Halim melontarkan persoalan yang mana satukah lebih baik, memilih kerjaya sebagai usahawan atau bekerja makan gaji. Para hadirin yang teruja dengan hujah-hujah sebelum ini tentang kelebihan berdikari dan bekerja sendiri telah memberi jawapan kerjaya seorang usahawan adalah yang lebih baik. Namun, beliau telah membawa sepotong ayat Al-Quran dari Surah At-Taubah ayat 24 yang bermaksud:

“Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu dan kaum keluarga kamu dan harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).”


Beliau menerangkan walau apa pun pekerjaan yang kita lakukan sama ada berniaga atau makan gaji, semuanya tidak akan menghalang kita dari mengingati Allah dan berjihad di jalanNya. Jika orang yang makan gaji lebih mengutamakan jihad dan kerja dakwahnya, maka kerja makan gaji itu adalah yang lebih baik dari kerjaya seorang usahawan yang mulia dan begitu juga sebaliknya.

Sebelum menutup majlis, Timbalan Ketua Biro Ekonomi, saudari Nur Sakinah Ismail telah menyampaikan cenderahati kepada Ustaz Abdul Halim sebagai menghargai kesudian beliau berkongsi manfaat dan pengalaman. Kesemua para hadirin amat berpuas hati dengan program yang berlangsung dan pulang dengan azam yang baru untuk lebih bijak dalam menguruskan kewangan.

Sumber: Laman Web ISMA Mesir