|

Amukan cuaca dan gejala sosial

Kali pertama masyarakat Malaysia mendengar perkataan El Nino kira-kira 14 tahun lalu, iaitu ketika El Nino yang disifatkan paling teruk melanda negara dan rantau ini. Ia menyebabkan jerebu, kemarau dan kepanasan melampau dengan suhu meningkat melebihi 40 darjah Celsius.

Amukannya menyebabkan cuaca dunia tidak menentu dan tempoh yang sepatutnya disifatkan stabil sebaliknya terus dilingkari keadaan kemarau, banjir dan ribut salji.

El Nino sebenarnya dinamakan anak Jesus dalam bahasa Sepanyol (El Nino bermakna `The Boy’ atau `The Child’ (budak lelaki)) kerana ia mencapai puncak kuasanya sekitar perayaan Krismas.

Lebih membimbangkan, menurut pakar kaji cuaca, El Nino akan terus bertambah buruk bagi tahun-tahun mendatang. Fenomena El Nino yang muncul setiap dua hingga tujuh tahun di selatan Pasifik, menunjukkan tanda-tanda cuaca dunia sudah semakin celaru. Apa tidaknya, kesannya boleh dilihat menerusi kejadian bencana alam di seluruh dunia, merosakkan tanaman bagi dua tahun berturut-turut dan menimbulkan kekecohan dalam pasaran komoditi dunia.

Tahun ini, fenomena yang sama kembali berulang, namun saintis menjangkakan kali ini tidak seteruk 1997-98 kerana ia dikategorikan sebagai El Nino Modoki, iaitu kategori sederhana. El Nino telah menyebabkan sesetengah negara seperti Australia, ada kawasan yang hujan lebat dengan ribut yang boleh membawa banjir dan sebahagiannya pula kering, begitu juga beberapa kawasan di Tahiti dan Amerika Selatan yang mengalami ribut dan banjir. Di Indonesia pula dijangkakan lebih banyak kebakaran hutan akan berlaku selain meningkatkan aktiviti pembakaran terbuka selepas musim menuai berakhir bulan depan.

Awal bulan ini, kira-kira 50 negeri di Amerika Syarikat terus diliputi salji walaupun sepatutnya musim sejuk sudah pun berada di penghujungnya. Seorang penyelidik Universiti Oklahoma, berkata kejadian semua negeri Amerika dilanda salji pada masa ini sememangnya pelik. Ini kerana kebiasaannya, awal Februari hanya 40 atau 50 peratus wilayah negara itu yang bersalji.

Di China, cuaca sejuk dan salji tebal berlaku di tengah dan timur negara berkenaan awal tahun ini. Keadaan cuaca melampau terburuk sejak 16 tahun lalu, menyebabkan kerugian ekonomi berjumlah 311 juta yuan (RM140.5 juta) di wilayah tengah Hubei dan Hunan.

Kebakaran hutan di Seri Gombak merebak hingga menghampiri kawasan perumahan.

Pelbagai teori cuba dikemukakan oleh para saintis dunia dan mereka akhirnya menemui jalan buntu. Dunia yang semakin tidak menentu dan berkecamuk telah menimbulkan tanda tanya adakah kita semua sudah semakin hampir dengan hari pengakhiran dunia ini.

Kebelakangan ini gejala sosial yang semakin meruncing telah memeningkan pelbagai pihak termasuk pihak kerajaan. Mereka telah merangka pelbagai pelan tindakan untuk cuba membasmi peningkatan gejala sosial namun semuanya menemui jalan buntu. Hampir setiap hari dipaparkan berita-berita mengenai kes pembuangan bayi, pembunuhan, pelacuran dan ditambah pula dengan ajaran-ajaran sesat yang dibawa oleh pelbagai pihak.

Keadaan yang makin lelah dihadapi apabila remaja-remaja yang dibesarkan dalam suasana Islam sendiri sudah mula melibatkan diri ke dalam kancah kemaksiatan. Ianya bermula dengan sistem pendidikan yang tidak menitikberatkan nilai-nilai Islam dan lebih mementingkan pencapaian akademik semata serta mencorakkan pemikiran pelajar untuk berfikiran secara liberal dan sekular. Ditambah pula dengan sistem komunikasi yang semakin maju dan menjadi alat kepada para remaja untuk mengakses pelbagai video-video lucah ataupun ianya hanya bermula dengan program “facebook” yang menjadi medan pertemuan dan “ikhtilat” antara remaja. Mereka lebih suka menghabiskan masa untuk saling kenal-mengenali dan mengakses kehidupan peribadi rakan-rakan yang lain daripada mendalami ilmu agama yang boleh mendekatkan diri dengan Allah. Dan akhirnya kita semua hanyut dengan permainan dunia ini.

Sesungguhnya perkara yang hak tidak akan bercampur dengan perkara yang batil dan seterusnya daripada perbuatan yang kita anggap enteng ini telah membawa kepada gejala sosial yang tiada penghujungnya.

Dan jika kita kaitkan fenomena amukan cuaca yang melanda dunia sekarang dengan gejala sosial mahupun kesesatan dan keengkaran manusia yang tidak lagi menyembah Allah dengan hati mereka, sudah tentu kita dapat menemui jawapan itu. Allah telah jelas menerangkan dalam firmanNya dalam surah as-Sajdah ayat 21 dan 22;

“Dan sesungguhnya Kami merasakan kepada mereka sebahagian azab yang dekat (di dunia) sebelum azab yang lebih besar (di akhirat), mudah-mudahan mereka kembali (ke jalan yang benar)”.

Semua yang berlaku sekarang adalah satu peringatan daripada Allah supaya kita semua tersedar daripada lena kita yang sangat panjang.

“Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang telah diperingatkan dengan ayat-ayat Tuhannya, kemudian ia berpaling daripadanya? Sesungguhnya Kami akan memberikan pembalasan kepada orang-orang yang berdosa”.

Sesungguhnya kita tidak dapat melarikan diri apabila maut itu datang menjemput kita pada bila-bila masa sahaja dan jika kita tanya pada diri sendiri adakah kita benar-benar bersedia untuk menghadapinya?

Dalam surah Ahzab ayat 16 dan 17, Allah sendiri telah memperingatkan kita supaya kita sentiasa memelihara diri kita daripada dibelenggu maksiat.

Katakanlah: “Lari itu sekali-kali tidaklah berguna bagimu, jika kamu melarikan diri dari kematian atau pembunuhan, dan jika (kamu terhindar dari kematian) kamu tidak juga akan mengecap kesenangan kecuali sebentar saja”.

Katakanlah: “Siapakah yang dapat melindungi kamu dari (takdir) Allah jika Dia menghendaki bencana atasmu atau menghendaki rahmat untuk dirimu?” Dan orang-orang munafik itu tidak memperoleh bagi mereka pelindung dan penolong selain Allah.

Ayuh marilah kita semua berganding bahu untuk mengeluarkan diri kita dan manusia sekeliling kita daripada belenggu kemaksiatan yang begitu lama melanda umat Islam hari ini. Janganlah kita menjadi golongan zalim yang dinyatakan dalam ayat di atas kerana sekiranya hari kiamat itu datang menghancurkan seluruh dunia ini pada bila-bila masa sahaja, adakah kita ingin menghadap Ilahi dalam keadaan yang lalai dan melakukan kemaksiatan kepadaNya?

Wallahua’lam.

Sumber: Laman Web ISMA Mesir