|

Ahli ISMA diminta terus fokus dengan gerak kerja yang telah disusun

Shah Alam, 28 Mac – Gesaan tersebut dibuat oleh Presiden ISMA, Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman semasa Majlis Lawatan Barisan Jawatankuasa (JKP) ISMA ke Selangor yang diadakan di Dewan Kompleks Kesenian Islam di sini.  Kira-kira 200 orang penggerak dari 3 cawangan ISMA iaitu ISMA Cawangan Gombak, Hulu Langat dan Shah Alam-Klang telah menghadiri pertemuan selama 2 jam tersebut.

“Keadaan masyarakat yang boleh kita ibaratkan seperti orang yang sedang lemas dengan pelbagai permasalahan seperti kebejatan sosial remaja, kepincangan keluarga, hilangnya nilai agama dalam hidup dan sebagainya amat memerlukan penyelamat. Dan kita ahli-ahli ISMA adalah penyelamat itu” demikian tegas Ustaz Abdullah Zaik.

Beliau seterusnya memetik pendapat Imam Haramain yang menyatakan bahawa semua ulamak bersependapat, sekiranya kita melihat seorang manusia yang sedang lemas, maka sesiapa yang tahu berenang wajib tampil ke depan untuk menyelamatkannya.

“Atas dasar inilah ISMA menyusun gerak kerja melakukan pembaikan suasana masyarakat tanpa perlu mendapat keizinan sesiapa” tambah beliau lagi.

Pertemuan ini merupakan salah satu siri taklimat yang bertujuan memberi gambaran yang jelas tentang halatuju ISMA di tahun-tahun mendatang melalui pembentangan polisi, matlamat serta peta amal dakwah ISMA kepada ahli-ahli dan mereka yang berminat untuk melibatkan diri dengan amal dakwah ISMA. Kunjungan ini merupakan sebahagian daripada siri lawatan kerja JKP ke cawangan-cawangan ISMA di seluruh tanahair.

Oleh: Mohd Azizuddin Sahiddin
Wartawan/Jurufoto
Media ISMA