Academic Day 2010 perkasakan kecemerlangan
Adelaide, 28 Mac – Dengan bertemakan “To Adapt, To Change, To Survive”, Hillcrest Community Centre sekali lagi menjadi lokasi pilihan bagi penganjuran Academic Day, iaitu salah satu daripada proram tahunan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Australia. Academic Day yang diadakan ini mendapat penglibatan yang penuh bersemangat dari peserta yang rata-ratanya terdiri daripada kalangan pelajar.
Turut hadir ialah tetamu-tetamu yang dijemput khas bagi memeriahkan lagi majlis iaitu Dr. Badrul Hisham Muda, En. Raziff Daud dan juga En. Umar Faruq Shamsudin, selaku Presiden ISMA South Australia.
Majlis yang bertujuan untuk berkongsi pengalaman bersama pelajar-pelajar baru di Adelaide ini telah diacarakan oleh saudara Ariff Fadhlan Amin dan majlis telah dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Biro Pembangunan Sumber Manusia ISMA SA, Dr. Rozanizam Zakaria. Dr Rozanizam, dalam ucapan alu-aluannya telah menitipkan nasihat tentang betapa pentingnya usaha di kalangan pelajar-pelajar untuk mencapai kecemerlangan dalam apa jua bidang yang dipelajari.
“Perkara yang tidak boleh dianggap remeh bagi seorang pelajar adalah pengurusan masa secara sistematik selain mementingkan penjagaan diri dan pemakanan yang betul” tegas Dr Badrul Hisham Muda pula dalam ucapannya.
Tambah menarik lagi, Encik Raziff Daud yang mengambil langkah psikologi dengan para peserta yang hadir, berkata “Persoalan-persoalan seperti siapa saya, di mana saya sekarang, ke mana arah tujuan saya dan bagaimana cara untuk menuju ke arah itu, dapat mendorong para pelajar untuk menetapkan matlamat kehidupan masing-masing”
Majlis kemudiannya dihangatkan lagi dengan forum yang membicarakan tentang tema Academic Day itu sendiri iaitu “To Adapt, To Change, To Survive” yang dipengerusikan oleh Saudara Nabil Fikri serta menampilkan tiga orang ahli panel iaitu Saudara Umar Faruq, Saudara Syahrul Fitri dan Saudari Siti Aisyah. Para peserta amat teruja mendengar perkongsian pengalaman ahli-ahli panel terutamanya tentang tips-tips bagaimana untuk menyesuaikan diri dengan sistem pembelajaran yang ada di sini di samping perkongsian pengalaman cara untuk menangani pelbagai masalah sepanjang mereka bermastautin di sini.
Tidak sempurna rasanya Academic Day pada tahun ini jika para peserta tidak diberi peluang untuk beramah-mesra bersama dengan para senior jurusan masing-masing dan bertanyakan soalan-soalan secara langsung kepada mereka. Oleh itu, penganjur telah menyediakan booth-booth khas mengikut jurusan, dan peluang tersebut telah digunakan sepenuhnya oleh para pelajar untuk mencungkil rahsia kecemerlangan senior-senior mereka. Apa yang menariknya, peluang tersebut juga telah digunakan oleh para senior untuk menjual buku-buku rujukan terpakai dan nota-nota kepada junior mereka.
Bukan itu sahaja, Biro Ekonomi ISMA SA juga turut tidak ketinggalan memeriahkan lagi Academic Day dengan membuat jualan makanan seperti nasi kerabu, nasi ayam paprik, kuih-muih dan juga buah-buahan yang telah mendapat sambutan yang amat meriah dari peserta yang hadir.
ISMA SA mengharapkan program Academic Day ini berjaya menjadi satu medium yang membolehkan pelajar-pelajar berkongsi pengalaman selain membantu para pelajar baru menyesuaikan diri dengan cara kehidupan di bumi Australia ini.
Oleh: Sahidam Sulaiman
Media ISMA Australia
Sumber: Laman Web ISMA Australia




