Projek Wakaf Lot Bangunan Pejabat ISMA Seremban
Assalamulaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah SWT kerana dengan izinNya Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Seremban sedang berusaha ke arah memiliki bangunan sendiri sebagai pejabat operasinya.
ISMA Seremban merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dakwah yang bergerak aktif di tengah-tengah masyarakat untuk menangani permasalahan sosial terutamanya di kalangan remaja mahupun yang lebih dewasa dan prihatin terhadap isu-isu yang membabitkan masyarakat masa kini.
ISMA Seremban mula beroperasi pada tahun 2004 dan pendaftarannya telah diluluskan secara rasmi pada tahun 2008. Semenjak ditubuhkan, ISMA Seremban telah berjaya melaksanakan pelbagai program yang menjurus kepada penghayatan kehidupan beragama dan mengamalkannya di dalam kehidupan seharian.
Program-program ISMA Seremban merangkumi seluruh lapisan masyarakat termasuk golongan kanak-kanak, remaja, belia, dewasa, wanita, fakir miskin, saudara Muslim, pesakit-pesakit di hospital dan sebagainya.

Dalam menggalas tanggungjawab yang semakin besar, berpanjangan dan secara profesional, keperluan kepada pejabat operasi sendiri adalah amat mendesak. Kewujudan pejabat ini akan melicinkan lagi gerak kerja ISMA Seremban sebagai wadah mendidik dan berbakti kepada masyarakat.
Menyedari hakikat ini, kini ISMA Seremban sedang berusaha untuk membeli sebuah bangunan dua tingkat yang terletak di Pusat Perniagaan Taman Kayu Manis, Jalan Seremban-Jelebu, Seremban. Pembelian bangunan sebagai pejabat operasi ini melibatkan anggaran kos sebanyak RM350 ribu.
Sebagai usaha untuk menampung kos pembelian bangunan ini, ISMA Seremban telah melancarkan Projek Wakaf Bangunan untuk mengumpulkan dana daripada orang ramai. Dengan nilai wakaf RM100.00 sekaki persegi, tuan-tuan dan puan-puan boleh memilih salah satu daripada pilihan-pilihan yang ditawarkan:
* Wakaf lot Abu Bakar (RM 1000 = 10 kaki persegi)
* Wakaf lot Umar (RM 500 = 5 kaki persegi)
* Wakaf lot Uthman (RM 100 = 1 kaki persegi)
* Wakaf lot Ali (RM 50 = 0.5 kaki persegi)
* Sumbangan tunai (sebarang nilai)

Justeru itu, saya amat berharap agar tuan-tuan dan puan-puan dapat menyokong usaha murni ISMA Seremban ini dengan membeli wakaf lot tersebut supaya hasrat untuk membeli bangunan ini akan menjadi kenyataan. Semoga sumbangan tuan-tuan dan puan-puan akan diterima sebagai amal jariah yang berkekalan dan sebagai saham akhirat di sisi Allah SWT.
Saya mengucapkan jazakumullahu khair di atas sumbangan dan sokongan daripada semua pihak. Sekian, terima kasih.
”Perumpamaan orang yang membelanjakan hartanya di jalan Allah seperti sebiji benih yang tumbuh darinya tujuh tangkai, setiap tangkai itu ada seratus biji, dan Allah melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang Dia kehendaki.”

Ustaz Mohd Azizee bin Hasan,
YDP ISMA Seremban

