|

Welcoming BBQ ISMA Australia meriah

Peserta-peserta Welcoming BBQ anjuran ISMA NSW

Australia, 28 Februari – Sebagai usaha untuk mempertautkan kemesraan antara pelajar-pelajar yang baru menjejakkan kaki di bumi Australia dengan pelajar-pelajar senior, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Australia telah menganjurkan majlis ‘Welcoming BBQ’ di dua lokasi berbeza, iaitu di Sydney dan Adelaide.

Di Sydney, cuaca redup sepanjang hari benar-benar menyebelahi majlis ‘Welcoming BBQ’ anjuran ISMA Australia cawangan New South Wales (NSW) yang bertempat di Centennial Park. Program asal yang dijadualkan untuk berlangsung di Pantai Maroubra telah ditukar ke Centennial Park atas sebab keselamatan memandangkan amaran Tsunami yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa NSW. Walaupun berlaku perubahan tempat di saat-saat akhir, sambutan yang diterima amat menggalakkan.

Bermula seawal jam 9.00 pagi, majoriti pelajar tahun pertama telah menghadirkan diri dalam majlis ini. Majlis ini turut dimeriahkan dengan kehadiran penasihat-penasihat pelajar dari Jabatan Perkhidmatan Awam – Puan Haslina Abdul Hamid, Petronas – Puan Zaidah Md Zain, dan MARA – Puan Nik Noraizah Hassan, yang datang bersama ahli keluarga masing-masing. Dalam program ini, Saudara Mohd Anas bin Mohd Yusuf, Naib Pengerusi ISMA Australia cawangan NSW telah menyampaikan ucapan alu-aluan.

Antara intipati penting yang telah disampaikan oleh saudara Anas dalam ucapannya ialah betapa banyak pengalaman yang boleh ditimba oleh para pelajar, khususnya pelajar-pelajar baru, ketika berada di bumi Australia ini. Beliau juga mengingatkan bahawa komuniti pelajar dan orang Malaysia yang berada di Sydney inilah ‘keluarga’ yang paling hampir dengan para pelajar ketika ini. Oleh itu, amat baik untuk para pelajar baru menjadikan mereka yang telah lama berada di Sydney sebagai tempat rujukan untuk sebarang masalah yang dialami.

Majlis ini juga turut dimeriahkan dengan aktiviti-aktiviti yang menarik sementara menunggu hidangan utama ayam BBQ  disediakan. 3 kumpulan pelajar lelaki telah berentap dengan sengit sekali dalam permainan ‘War Game’ yang menyaksikan gelaran juara disandang oleh kumpulan Tsunami, naib juara disandang oleh kumpulan Isma dan tempat ketiga dimenangi oleh kumpulan Kabut. Para pelajar perempuan pula telah berhibur dengan permainan ‘Pass The Parcel’ yang menyaksikan beberapa orang pelajar membawa pulang hadiah dalam permainan tersebut.

Sebahagian peserta Welcoming BBQ anjuran ISMA South Australia

Di Adelaide pula, lebih 100 pelajar dan keluarga Malaysia menghadiri ‘Welcoming BBQ’ di Marshmallow Park anjuran ISMA Australia cawangan South Australia dengan kerjasama MyPSA (Malaysian Postgraduate Student Association) bagi menyambut kedatangan pelajar-pelajar baru ke Adelaide baru-baru ini.

Majlis telah dimulakan pada jam 11 pagi di Marshmallow Park. Kesempatan berkumpul beramai-ramai ini digunakan sepenuhnya oleh para hadirin untuk berkenalan mesra sambil menjamah makanan seperti ayam bakar, sosej, dan daging bakar yang telah disediakan pihak penganjur. Tambah meriah, para hadirin turut sama membawa juadah untuk dikongsi bersama.

Majlis tersebut disempurnakan dengan ucapan alu-aluan Ketua ISMA SA Saudara Umar Faruq Shamsuddin dan Pengerusi MyPSA Dr Kamarul Arifin. Dalam ucapannya, Umar Faruq mengalu-alukan kehadiran warga baru Adelaide dan mengharapkan hubungan sesama masyarakat muslim Malaysia di sini terjalin erat dan sentiasa berkekalan.

Dr Kamarul Arifin juga turut mengalu-alukan kehadiran para penuntut universiti Adelaide yang baru. Di samping itu, beliau mewakili postgraduates tidak teragak-agak untuk menjalinkan sebarang kerjasama melalui perkongsian ilmu dan pengalaman dengan golongan muda undergraduates.

Turut sama dalam majlis adalah Mohd Omar Mohtar; Pengerusi Islamic Student Society of University of Adelaide (ISSUA) dan Mohd Munir Omar; Pengerusi Malaysian Student’s Council of Australia (MASCA).

Pertandingan mewarna kanak-kanak juga telah diadakan untuk menghiburkan kumpulan anak-anak yang hadir. Hadiah kepada para pemenang telah disampaikan oleh Dr Farrah Nadia Najib, Ketua Wanita ISMA-SA.

Secara keseluruhan, objektif ‘Welcoming BBQ’ ini telah tercapai dengan jayanya iaitu para pelajar dapat saling mengenali antara satu sama lain, antara pelajar baru dan lama, juga silaturahim di antara para pelajar dan pegawai penasihat pelajar dapat dieratkan. Pihak ISMA mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua tetamu yang hadir dan insyaAllah kita bertemu lagi dalam program-program yang akan datang.

Sumber: Laman Web ISMA Australia