Warga ISMA-Mesir di Tanta turut hayati hakikat Maulidur Rasul
Sebahagian peserta yang hadir.
Tanta, 28 Februari – ISMA-Mesir Cawangan Tanta telah menganjurkan Sambutan Maulid Rasul peringkat muhafazah Tanta, dengan tema “Bagaimana untuk Hidup Bersama Kekasih dalam Hidup Kita?” bertempat di Darul Rasyid, Siberbay, pejabat ISMA-Mesir cawangan Tanta.
Kehadiran yang mencecah 31 orang peserta yang terdiri dari kalangan pelajar perubatan dan dirasat telah menambahkan lagi kemeriahan majlis. Program dimulakan pada pukul 5.30 petang dengan bacaan Al-Ma’tsurat yang diketuai oleh saudara Meor Azim Meor Aznam sebelum diteruskan dengan solat Maghrib berjemaah.
Slot seterusnya telah menampilkan dua pengacara istimewa, saudara Munawwar Abd Rahman dan saudara Khairul Fatihin Saedal Atas. Sesi taaruf ringkas telah diadakan sebagai pemula majlis. Para hadirin telah diberi 2 risalah kecil (maqtuyat).
Persembahan nasyid oleh kumpulan ‘Teorem Pitagoras’.
Kumpulan nasyid ‘Teorem Pitagoras’ yang diketuai saudara Ihsan Shamsudin membuka tirai rasmi program dengan mempersembahkan nasyid Hijrah dan nasyid salawat. Acara kuiz ringan yang dikendalikan oleh saudara Zharif Abd Razak menyusul dengan belasan soalan sirah kepada para peserta yang terpilih. Sedikit hadiah cenderahati telah disampaikan kepada para peserta yang dapat menjawab dengan betul. Program diselangi dengan kisah-kisah sirah yang menyentuh bab optimis.
Program diteruskan dengan pembentangan tayangan video dan penyampaian ringkas oleh saudara Ahmad Syamil Mohd Esa. Tayangan video yang berkisar ‘Sekiranya Nabi s.a.w berada di kalangan Kita’ atau ‘Lau Kana Bainanal Habib’ telah menyentuh perasaan para hadirin. Pembentangan ini membawakan mesej Cinta dan Optimis dalam peribadi Nabi S.A.W, serta reaksi para sahabat dan tabiin dalam mencintai baginda S.A.W.
Penyampaian oleh saudara Ahmad Syamil.
Bacaan doa oleh saudara Ihsan menutup tentatif program dan hadirin seterusnya dijamu makan malam yang telah disediakan oleh saudara Ishak Azmin dan pembantunya.
Para hadirin telah memberikan kerjasama yang baik dalam program ini, seterusnya menjayakan objektif-objektif yang ingin dicapai. Program berakhir pada pukul 8 malam.
Sumber: Laman Web ISMA Mesir




