|

Wanita ISMA-Mesir budayakan sukan di kalangan mahasiswi

Kaherah, 5 Mac – Selepas kejayaaan Hari Wanita Islam 2010 pada 19 Februari lalu, Wanita ISMA-Mesir kembali lagi kali ini dengan menganjurkan Karnival Sukan ISMA, sebuah temasya sukan yang menjadi acara tahunan yang dikendalikan sepenuhnya oleh Biro Sukan dan Kebudayaan Wanita ISMA-Mesir.

Bertemakan “Sukan Dibudaya, Kesihatan Terbiaya”, karnival yang gilang-gemilang ini berlangsung di Stadium Kaherah, Solah Salem dan menerima kehadiran 170 orang peserta merangkumi mahasiswi jurusan Pengajian Islam dan Perubatan dari Kaherah serta muhafazah Tanta, Mansurah dan Iskandariah. Karnival sukan ini turut diserikan dengan kehadiran Puan Habsah Omar, isteri pegawai Rumah Negeri Sembilan, Kaherah.

Karnival bermula seawal jam 8 pagi dengan menerima kedatangan peserta untuk sesi pendaftaran dan pembahagian kumpulan. Peserta dibahagikan kepada 3 kumpulan iaitu kumpulan HIPINK, JINGG QOISE dan CREAM MAS. Bacaan doa membuka tirai karnival diikuti dengan sesi aerobik yang mendapat sambutan hangat dari peserta.

Kumpulan HIPINK (Hitam + Pink)

Selepas itu, sedikit taklimat keselamatan disampaikan dan karnival diteruskan dengan acara balapan. Antara acara balapan yang dipertandingkan adalah lari 100 meter, 200 meter, 400 meter, 4 X 100 meter, 4 X 200 meter dan jalan kaki 400 meter. Acara balapan yang sememangnya mendapat tumpuan ini dihangatkan lagi dengan sorakan semangat untuk menyokong peserta dari kumpulan masing-masing.

Kemeriahan karnival diteruskan lagi selepas itu dengan acara sukaneka yang dibahagikan kepada beberapa kategori penyertaan termasuk kategori ibu mengandung. Karnival berhenti rehat selepas itu untuk solat Zohor. Gerai jualan oleh Biro Ekonomi ISMA-Mesir turut dibuka dengan pelbagai jenis makanan dijual untuk hidangan tengah hari para peserta.

Selepas rehat, setiap kumpulan menghantar wakil dari kumpulan masing-masing untuk mempersembahkan “cheerleading” atau sorak berkumpulan. Acara ini menyerlahkan kretiviti para peserta dengan setiap kumpulan mempersembahkan persembahan yang hebat dan mendapat tepukan gemuruh dari para hadirin.

Pasukan bola jaring ISMA-Mesir & Negeri Sembilan

Acara kemuncak yang dinanti-nantikan iaitu perlawanan bola jaring menyusul selepas itu dan menyaksikan 4 kumpulan berentap untuk merebut Piala Pusingan Serikandi ISMA-Mesir. 4 kumpulan tersebut adalah kumpulan tuan rumah iaitu ISMA-Mesir, wakil dari Rumah Negeri Sembilan, wakil dari pelajar Tahun 1 Perubatan Universiti Kaherah dan wakil dari pelajar Tahun 1 Perubatan Universiti Al-Azhar. Perlawanan yang berlangsung secara kalah mati ini akhirnya menobatkan kumpulan bola jaring dari Negeri Sembilan sebagai juara dan melayakkan mereka membawa pulang Piala Pusingan yang menjadi rebutan.

Kehangatan Karnival Sukan ISMA tidak berhenti setakat itu dan diteruskan lagi dengan acara Kawad Formasi. Setiap kumpulan telah mempersembahkan kawad dengan formasi-formasi yang mantap dan memukau para penonton.

Karnival Sukan ISMA beransur melabuhkan tirainya dengan sedikit tazkirah berkisar wanita dan kecergasan yang disampaikan pengarah program, Saudari Madihah Ahmad. Juga diikuti ucapan daripada Ketua Wanita ISMA-Mesir, Dr. Fatimah Zaharah Rosli. Dalam ucapan penutup ini, beliau mengingatkan para peserta untuk menjaga kesihatan dengan bersukan dan melazimi aktiviti riadhah mingguan untuk mengekalkan kesihatan jasmani.

Penyampaian hadiah Johan Keseluruhan oleh Dr Fatimah

Akhir sekali, majlis penyampaian pingat dan hadiah turut berlangsung sebagai menghargai kegigihan dan semangat kesukanan para peserta sepanjang karnival sukan. Kumpulan HIPINK telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan bagi Karnival Sukan ISMA Mesir pada tahun ini.

Semoga dengan penglibatan peserta dalam Karnival Sukan ISMA kali ini sedikit sebanyak menterjemahkan semangat mahasiswi Malaysia dalam bentuk praktikal untuk membentuk wanita Islam yang seimbang dari sudut ruhi, jasmani dan daya intelektualnya.

Sumber: Laman Web ISMA Mesir