Taklimat IEP – Usahawan Dirancang sasar lebih ramai usahawan Melayu Islam
Peserta menunjukkan kesungguhan tinggi untuk menjadi usahawan berjaya.
Bandar Baru Bangi, 7 Mac – Sesuai dengan tekad untuk melahirkan seramai mungkin usahawan Melayu Islam yang berjaya, Urusetia ISMA Enterpreneurship Program (IEP) mengambil inisiatif menganjurkan satu sesi Taklimat IEP – Usahawan Dirancang. Seramai 30 orang peserta yang terdiri daripada ahli-ahli ISMA dari seluruh negara telah menyertai taklimat tersebut.
Taklimat ini mendedahkan peserta kepada peluang-peluang perniagaan dan institusi-institusi yang boleh dihubungi untuk mendapatkan khidmat nasihat yang berkaitan. Selain itu peserta juga diberikan panduan untuk memulakan perniagaan, membuat pinjaman dan kemahiran yang diperlukan untuk menjadi seorang usahawan.
“Tekad dan semangat yang ditunjukkan oleh peserta taklimat telah mendorong kami untuk mengadakan pertemuan bersiri dwi-bulanan yang lebih memfokuskan kepada sesuatu bidang”, ujar En. Abdul Rahman bin Mt. Dali, Timbalan Presiden ISMA yang juga merupakan Pengarah Urusan Pusat Rawatan Islam Az-Zahrah. Beliau seterusnya melahirkan rasa bangga dan berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan oleh para peserta sepanjang program.
En. Khalid berkongsikan pengalaman beliau dalam bidang keusahawanan.
Selain En. Abdul Rahman, taklimat setengah hari ini turut diseliakan oleh Tuan Haji Aminuddin Yahaya, iaitu Setiausaha Agung ISMA dan Bendahari Agung ISMA iaitu En. Khalid Zakaria. Ketiga-tiga tokoh ini merupakan usahawan yang berjaya dalam bidang masing-masing.
Di penghujung program Taklimat IEP – Usahawan Dirancang ini juga, En. Abdul Rahman telah mengumumkan penubuhan ISMA Business Club (IBC) sebagai platform untuk melahirkan tokoh-tokoh usahawan di kalangan ahli-ahli ISMA.
Oleh: Mohd Azizuddin Sahiddin
Wartawan/Jurufoto
Media ISMA




saya cadangkan kita baca buku dr. fadillah kamsah, kerana ia bahan rujukan sangat baik bagi kita untuk menjadi usahawan muslim cemerlang.
bila kita jadi usahawan muslim kita kena beri contoh yang baik, kalau kita bersikap tidak baik, ianya akan menimbul banyak fitnah pada islam. sebagai usahawan muslim kita kena jaga betul-betul interaksi dengan pembekal, pelanggan, pekerja malah siapa sahaja yang berurus niaga dengan kita. ikutlah cara rasul kita keseluruhan bukan sekadar kata-kata sahaja. ini adalah amanah yg besar yg harus kita jaga sebagai usahawan muslim. kejayaan usahawan muslim tidak di ukur dengan kenderaan mewah yang kita ada, yang lebih penting barakah dari usaha kita. bukan dato dan tan sri yang beri kita projek, semua rezeki datang dari Allah.