Skop dakwah harus diluaskan ke segenap pelosok masyarakat
Ahli-ahli ISMA digesa agar sentiasa berusaha untuk meneroka medan dakwah daripada skop yang sempit kepada amal umum yang luas. Menurut Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman selaku Presiden ISMA, perkara ini perlu diambil serius kerana sesungguhnya masyarakat amat dahagakan cahaya Islam sebagai penyelamat kepada masalah-masalah yang menyelubungi umat Islam, khususnya umat Melayu di bumi Malaysia tercinta ini.
“Kita tidak mahu dakwah ISMA sekadar berlegar-legar di sekitar ahli dan segelintir kecil masyarakat sahaja, bahkan skop dakwah harus diluaskan lagi sehingga segenap pelosok masyarakat mendapat kefahaman dan kebaikan Islam”.
“Amal dakwah ISMA harus merentasi sempadan politik sempit dan memperjuangkan hak-hak kaum Melayu selaku tunjang kekuatan Islam di negara ini”, ujar beliau lagi.
Ustaz Abdullah Zaik berkata demikian dalam taklimat yang disampaikan kepada ahli-ahli ISMA sempena lawatan kerja Jawatankuasa Pusat (JKP) ke cawangan-cawangan ISMA di Zon Utara yang merangkumi negeri Perak dan Kedah pada 12-13 Mac yang lepas. Selain beliau, rombongan JKP ini turut disertai oleh Ustaz Abdul Halim Abdullah (Naib Presiden I), Ustaz Hazizi Abdul Rahman (Timbalan Setiausaha Agung) dan Tn. Hj. Khalid Zakaria (Bendahari Agung).
Taklimat ini memberi gambaran yang jelas tentang halatuju ISMA di tahun-tahun mendatang melalui pembentangan polisi, matlamat serta peta amal dakwah ISMA kepada ahli-ahli dan mereka yang berminat untuk melibatkan diri dengan amal dakwah ISMA. Kunjungan ini merupakan sebahagian daripada siri lawatan kerja JKP ke cawangan-cawangan ISMA di seluruh tanahair.


