|

Semua ahli perlu berani ketengahkan agenda ISMA

Presiden ISMA, Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman menyeru ahli-ahli ISMA supaya berani dan tidak teragak-agak untuk mengetengahkan idea dan agenda ISMA ke tengah-tengah masyarakat. Idea perdamaian antara golongan nasionalis dan islamis yang dikemukakan ISMA adalah idea yang boleh diterima oleh pelbagai pihak, justeru yang menjadi persoalan ialah bagaimana untuk mengetengahkan fikrah ini ke dalam masyarakat di mana politik sentimen masih bertunjang kuat.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap dalam rangka lawatan kerja Jawatankuasa Pusat (JKP) ISMA ke cawangan-cawangan ISMA di Zon Selatan yang merangkumi negeri Johor, Melaka dan Negeri Sembilan pada 26-27 Februari yang lepas. Turut hadir ialah Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni (Naib Presiden II), Tuan Haji Khalid Zakaria (Bendahari Agung) dan Encik Zaim Shaari (AJK).

Lawatan JKP ISMA ke Johor.

Ustaz Abdullah Zaik juga mengingatkan semua ahli ISMA akan peri pentingnya setiap aktivis dakwah untuk terus beramal dan bekerja kepada masyarakat dalam usaha untuk menyelamatkan maruah umat yang semakin tercalar. Objektif yang cuba dicapai oleh ISMA ialah untuk membangkitkan semula keperibadian dan jati diri bangsa Melayu agar dapat kembali menjadi umat yang memimpin negara dan rantau ini dengan risalah Islam.

Lawatan kerja JKP ISMA kali ini bertujuan untuk beramah mesra dengan para pimpinan cawangan dan ahli-ahli  di peringkat akar umbi. Antara lain juga untuk menjelaskan perkembangan dan hala tuju terkini ISMA bagi memastikan keselarasan amal berlaku di semua peringkat. Di samping itu, budaya turun padang sebegini mencerminkan qudwah amal yang diharap dapat menyuntik rangsangan dan motivasi untuk para ahli ISMA terus gigih bekerja bagi mengesani masyarakat.

Bersama ahli-ahli ISMA Melaka.

Pertemuan secara berkala ini turut memberi kesempatan kepada pimpinan tertinggi ISMA terutamanya Presiden mendengar sendiri pandangan dan menjawab kemusykilan yang dilontarkan oleh ahli-ahli. Pelbagai persoalan telah dibangkitkan dalam siri lawatan kerja ini termasuk niche dakwah ISMA, relevansi agenda kesatuan Melayu Muslim yang diperjuangkan ISMA, pandangan ISMA terhadap dakwah untuk masyarakat bukan Melayu dan lain-lain lagi.