|

Seminar Keluarga Dakwah lahirkan rumahtangga muslim proaktif

Antara peserta yang hadir

Kota Bharu, 27 Februari – Satu Seminar Keluarga Dakwah anjuran Biro Wanita ISMA Kelantan bertemakan “Keluarga Cakna, Dakwah Perkasa” telah berlangsung bertempat di Dewan Kasturi, Hotel Raudah, Seramai 55 orang peserta telah menghadirkan diri mereka ke seminar ini.

Program ini dilaksanakan atas dasar untuk memberi penekanan terhadap keperluan keharmonian dalam rumah-tangga bagi melancarkan perjalanan dakwah serta membentuk generasi “Rabbani” dalam kesinambungan dakwah. Antara objektif utama seminar ini ialah untuk melahirkan rumah tangga muslim yang pro-aktif dalam dakwah dan mampu menjana komunikasi berkesan dalam rumah tangga dakwah serta sebagai persediaan ke arah melahirkan generasi pelapis yang memahami tugas dan tanggungjawab dakwah.

Program  dimulakan dengan bacaan al-Quran oleh adik Mohd Faris bin Sidek dan seterusnya disambung dengan ucapan alu-aluan daripada Ketua Wanita ISMA Kelantan, Ustazah Wan Azilah binti Wan Abdullah.

Ustaz Sharipudin ketika merasmikan Seminar Keluarga Dakwah

Majlis seterusnya menjemput Ustaz Sharipudin Abd Kadir selaku YDP ISMA Kelantan untuk merasmikan seminar ini. Dalam ucapannya, beliau menyentuh tentang mentaliti masyarakat Melayu kita terhadap anak-anak mereka. Kebiasaannya ibu bapa tidak suka kesusahan yang mereka alami dahulu berlaku kepada anak-anak mereka. Oleh itu, mereka meletakkan harapan agar anak mereka tidak perlu bersusah-susah dan bekerja keras macam mereka.

Sebenarnya pengharapan sebegini adalah silap. Sekiranya ibu bapa berpenat lelah dalam berdakwah, maka kenapa tidak anak mereka juga berpenat lelah dalam hal yang sama. Tidak boleh tidak untuk kita membiarkan anak-anak kita bersenang lenang dan terbiarkan tanpa tarbiyah Rabbani.

Beliau turut menekankan aspek tarbiyah anak-anak semenjak daripada kecil lagi. Umur kanak-kanak manusia adalah paling panjang berbanding makhluk-makhluk lain ciptaan-Nya, inilah masa yang sangat efektif untuk melakukan proses tarbiyah. Tempoh dua tahun menyusu yang diberikan Allah kepada kanak-kanak sepatutnya digunakan sepenuhnya oleh ibu bapa sebagai persediaan kepada anak-anak mereka di masa depan.

Ustazah Norakhilah ketika membentangkan slot Komunikasi Berkesan Dalam Rumah Tangga Dakwah

Sejurus selepas masjlis perasmian, penceramah jemputan iaitu Ustazah Norakhilah binti Baharin yang merupakan  Ketua Wanita ISMA Perak mengambil alih majlis untuk membentangkan slot pertama iaitu “Komunikasi Berkesan Dalam Rumah Tangga Dakwah”.

Antara penekanan yang amat menarik daripada pembentangan beliau adalah perlunya hubungan kasih sayang yang erat antara suami dan isteri. Bertukar-tukar hadiah boleh menjadi salah satu daripada cara yang berkesan untuk mengukuhkan hubungan kasih sayang suami isteri. Beliau juga turut menyelitkan aktiviti menarik yang telah dibuat semasa pembentangan beliau di mana setiap peserta yang telah berumah tangga mesti menulis empat sifat pasangan masing-masing yang disukai dan juga tidak disukai. Kemudian kertas yang berisi luahan peserta tanpa nama diserahkan kepada beliau. Seterusnya beberapa isi cebisan kertas terpilih telah dibaca di hadapan. Aktiviti ini sangat membuka mata peserta untuk menilai dan membaiki diri masing-masing agar keluarga yang dibina kekal utuh.

Setelah tamat pembentangan beliau, majlis berehat seketika dengan jamuan makan untuk peserta. Seterusnya majlis dihangatkan lagi dengan acara forum. Saudara Aiman Bustamin wakil daripada Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) telah dijemput bagi mengelolakan forum terbabit.

Ustaz Fadzlan dan isteri beliau Ustazah Norakhilah ketika menjawab soalan peserta seminar

Ahli panel forum terbabit adalah terdiri daripada Ustaz Sharipudin Abd Kadir, Ustaz Fadzlan Shahidi Ghazali (YDP ISMA Cawangan Perak Tengah) dan juga isteri beliau Ustazah Norakhilah Baharin. Antara isi penting forum terbabit adalah penekanan kepada keutuhan institusi kekeluargaan dalam membentuk jati diri anak-anak. Tidak dinafikan bahawa insan-insan yang cemerlang dilahirkan daripada keluarga yang cemerlang. Suasana Rabbani dalam rumah dapat membantu dalam membentuk peribadi anak-anak.

Setelah tamat pusingan ketiga forum, persoalan dibuka kepada semua peserta untuk bertanyakan sebarang persoalan. Akibat kesuntukan masa, majlis terpaksa memendekkan masa untuk menjawab setiap persoalan. Sekitar jam 1.10 petang, penggulungan forum dibuat dan majlis tamat sejurus tamatnya forum terbabit.

Sememangnya seminar ini banyak membuka mata peserta dan menjadi ruang untuk mengingatkan kembali kepada peserta agar terus utuh dalam membina suasana Rabbani di dalam rumah tanpa menjejaskan aktiviti dakwah di luar.

Sumber: Laman Web ISMA Kelantan