|

Sang Buaya yang beriman

Tersebutlah kisah Sang Kancil yang teringinkan untuk memakan buah-buahan yang sedang masak ranum. Namun sayang pohon buah-buahan tersebut berada di seberang sungai. Maka termenunglah Sang Kancil, yang tidak pandai berenang di sungai yang deras itu, mengidam-idam untuk memakan buah yang sedang masak meranum. Sambil Sang Kancil itu mengelamun memandang buah-buahan tersebut maka terfikirlah olehnya untuk memanggil Sang Buaya.

Maka menyerulah Sang Kancil kepada Sang Buaya; “Wahai buaya-buaya sekalian, aku diperintahkan oleh Sang Singa (Raja Binatang) untuk membilang semua haiwan-haiwan di hutan ini. Sekarang tiba giliran kamu untukku bilang.”

Begitulah seruan Sang Kancil ini. Maka dengan rasa patuh maka timbullah semua buaya-buaya di sungai menghadap kancil.

“Nah, sekarang aku hendak engkau semua berbaris satu persatu dari hujung sini sampai ke hujung sungai sana supaya senang untuk kubilang” laung Sang Kancil. Maka sekali lagi semua buaya dengan penuh taat mengikut arahan Sang Kancil.

Setelah semua buaya berbaris maka Sang Kancilpun memulakan perjalanannya dengan menaiki belakang Sang Buaya sambil membilang “Satu… dua… tiga… dan seterusnya” sehinggalah sampai ke seberang sungai.

Cuma agak malang, apabila saja Sang Kancil sampai di seberang, ia ketawa berdekah-dekah sambil memperbodohkan Sang Buaya. Ini membuatkan Sang Buaya begitu marah dan kembali menyelam ke dasar sungai.

Apa yang digambarkan kepada kita hanyalah sekadar bagaimana cerdiknya Sang Kancil dan bodohnya Sang Buaya. Benarkah begitu?

  • Kita tak diberitahu bagaimana ketaatan Sang Buaya kepada arahan ketua (Sang Singa) sehingga sanggup menahan perasaan dan nafsu untuk memakan Sang Kancil.
  • Kita tak dicerita kerjasama yang wujud yang memungkinkan Sang Kancil menyeberangi sungai.
  • Kita tak dicerita bagaimana Sang Buaya sanggup berkorban dari kerehatan di dalam sungai dan terpaksa timbul ke permukaan.
  • Kita juga tidak diceritakan keikhlasan Sang Buaya.
  • Kita juga tidak diceritakan kehebatan ketua Sang Buaya yang mampu meyakinkan buaya-buaya yang lain sehingga semuanya patuh berbaris.
  • Kita tak dicerita keberanian Sang Kancil mengambil risiko berjalan di atas badan Sang Buaya yang menanti masa untuk memakannya.

Begitulah kecelaruan dalam cerita Kancil dan Buaya.

Antara Mampu dengan Tidak Mampu

Nah, dalam meniti jalan dakwah ini sudah pasti kita berdepan dengan pelbagai masalah yang membebankan. Ada yang mampu menghadapi, ada yang merasakan ia terlalu berat untuk dipikul. Bagi yang mampu, maka sudah pasti ia menjadi aset kepada dakwah dan masa depan dakwah akan bergantung kepada mereka. Kita berdoa mudah-mudahan mereka akan terus iltizam.

Namun ramai juga  yang masih teragak-agak untuk memberikan masa dan tenaga kepada dakwah. Alasannya, mereka merasakan tidak berkemampuan, samada kekurangan ilmu mahupun pengalaman. Akhirnya mereka akan tinggal di rumah dan melihat dari jauh kepada mereka yang bekerja. Memang tidak dinafikan ada manusia yang ditakdirkan Allah hanya memiliki sedikit kemampuan jika dibandingkan dengan orang lain.

Golongan ini akan selalu terlepas pandang dek ketua. Mereka juga jarang mahu bersuara, mungkin kerana malu, mungkin jugak kerana takut mendapat tugasan. Mereka akan duduk di hujung-hujung majlis sambil memerhati yang lain. Mereka puas hanya sekadar menghadirkan diri, tidak lebih dari itu. Kalau namanya dicalonkan untuk apa-apa kerja, mereka selalu menjadikan alasan “tidak mampu”. Saya bersimpati dengan mereka.

Kepada golongan ini saya teringat kata-kata seorang ulamak bahawa jika kita tidak mampu menjalankan kerja-kerja dakwah, cukuplah sekadar menjadi jambatan yang membantu menghubung kepada pendakwah lain. Mungkin dengan hanya sekadar “membuka jalan” akan memberikan pendakwah lain peluang yang luas.

Apabila saya katakan ini kepada seorang teman, beliau telah menjawab bahawa kalaulah jadi jambatanpun tak larat maka cukuplah jadi seperti seekor buaya yang timbul sekali-sekala dan kemudian menyelam kembali ke dasar sungai. Mungkin peranannya kecil tetapi sudah cukup membuatkan Sang Kancil berjaya menyeberang sungai mencapai cita-citanya. Sang Kancil tidak harus berbangga dengan kecerdikannya dan memandang sepi kemampuan dan keihklasan Sang Buaya. Mungkin Sang Buaya lemah tetapi kejujuran dan ketaatannyalah yang menyebabkan misi Sang Kancil berjaya.

Dalam hal ini, ketualah yang harus menjadi pemangkin ke arah gandingan tenaga tersebut, tanpa mengecilkan peranan sesiapa, bagi memastikan setiap individu dalam organisasi MAMPU memberikan yang terbaik mengikut apa yang ada di sekeliling mereka.

Aminuddin Yahaya,
Setiausaha Agung,
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Blog: Suara Dari Gunung

1 Komen untuk entri “Sang Buaya yang beriman”

  1. bujang says:

    kancil hanya pandai berbicara, membuat buaya tertipu oleh kata-kata indah. buaya nampak bodoh tapi awasi jangan ia mengganas.