|

Sambutan Maulidur Rasul ISMA-Mesir Mansurah meriah

Para tetamu yang hadir

Mansurah, 26 Februari – Bersempena ulang tahun kelahiran Nabi Muhammad SAW pada tahun ini, ISMA-Mesir Cawangan Mansurah telah menganjurkan satu program yang bertajuk “Andainya Kau Masih Ada”.

Program ini bertujuan untuk menanamkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW di dalam diri mahasiswa di samping untuk memberi kefahaman kepada mereka tentang peranan dan matlamat sebagai seorang pelajar Muslim. Selain itu, melalui program ini juga mahasiswa dipupuk agar menjadikan Rasulullah sebagai sumber motivasi dalam kehidupan.

Khusyuk mendengar

Program ini telah diadakan di pejabat ISMA-Mesir Cawangan Mansurah dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada mahasiswa yang rata-ratanya ialah pelajar perubatan ataupun ”bakal doktor” yang menuntut di Universiti Mansurah.

Majlis bermula pada pukul 4.45 petang dengan ucapan alu-aluan daripada pengerusi majlis dan diteruskan dengan sesi talkshow (bicarawara) yang dihoskan oleh Ustaz Shairawi Bin Muhammad Noor. Talkshow ini membicarakan tentang cara-cara untuk mencintai Rasulullah SAW dan bagaimanakah adaptasi kehidupan Rasulullah SAW dalam kehidupan pelajar Muslim kini khususnya pelajar perubatan.

Ustaz Isfahmi ketika sesi talkshow

Ustaz Mohd Isfahmi Bin Mohd Nordin sebagai ahli panel pertama telah mengupas dengan baik tentang cara-cara untuk mencintai Rasulullah SAW dan dimeriahkan juga dengan perkongsian pandangan daripada tetamu yang hadir. Beliau menyatakan kita seharusnya tidak melebihkan cinta kita kepada orang lain berbanding cinta kita kepada Allah dan Rasul-Nya di samping tidak menafikan fitrah kemanusiaan yang mencintai diri dan nyawa. Kenyataan beliau itu ialah berdasarkan hadis tentang kemanisan iman yang dikecapi oleh seseorang yang melebihkan cintanya kepada Allah dan Rasul.

Turut ditampilkan Saudara Abdullah Tahir Abdul Rahim sebagai ahli panel kedua mengupas tentang adaptasi kehidupan Rasulullah SAW dalam kehidupan pelajar Muslim kini khususnya pelajar perubatan.

Selain talkshow, tetamu turut dihidangkan dengan jamuan dan halwa telinga yang disampaikan oleh trio istimewa Ustaz Haidar Mahmud, Ustaz Hanif Mohd Salleh dan Ustaz Mohd Fuad Bin Jamil.

Penyampaian hadiah kepada pemenang

Tetamu turut dilibatkan dengan aktiviti kuiz dan permainan yang diadakan secara berkumpulan yang bertujuan untuk menguji pengetahuan berkaitan sirah dan pengetahuan am serta memberi kesedaran tentang kepentingan untuk mengetahui sirah Baginda SAW.

Majlis berakhir pada pukul 8.30 malam dengan penyampaian hadiah dan sesi fotografi.

Sumber: Laman Web ISMA Mesir