Potluck Iftar Jamaie tautkan hati ahli-ahli ISMA-Tanta
Sekitar majlis Potluck Iftar Jamaie ISMA-Tanta.
Tanta, 1 Mac – ISMA-Mesir cawangan Tanta telah menganjurkan Potluck Iftar Jamaie untuk ahli-ahli ISMA di Tanta, bertempat di Darul Rasyid yang merupakan pejabat ISMA di peringkat cawangan tersebut.
Program ini telah disertai oleh 5 buah rumah yang dihuni oleh semua ahli ISMA-Tanta dengan bilangan peserta yang hadir seramai 17 orang. Setiap ahli rumah masing-masing membawa makanan dari rumah sendiri yang dikongsikan bersama. Antara hidangan yang menarik ialah ayam tandoori, pizza, makronah, sayur goreng dan telur sambal serta buah limau sebagai pencuci mulut.
Pengarah program, Saudara Fuad Zaki Hisham yang juga merupakan Ketua Perhubungan ISMA-Mesir Tanta telah menjelaskan beberapa objektif yang ingin dicapai iaitu merapatkan ukhuwwah di kalangan ahli serta menyediakan medium untuk saling menasihati di antara satu sama lain.
Bersiap sedia untuk berbuka puasa.
Program dimulakan pada pukul 5.40 petang dengan bacaan ma’tsurat yang diketuai Saudara Meor Azim dan seterusnya solat Maghrib secara berjemaah. Selepas itu jamuan makan untuk mengisi perut yang kekosongan. Acara berikutnya disusuli dengan tazkirah daripada Saudara Meor Azim yang berkisar sejarah ringkas mengenai sambutan Maulid Nabi s.a.w dan juga peranan kita dalam menelusuri jalan Baginda S.A.W sebagai seorang daie. Beliau turut menayangkan sebuah klip-video ringkas yang berkisar mengenai perkembangan populasi umat Islam di negara Barat.
Seterusnya program diserahkan kepada Saudara Fuad Zaki di mana beliau telah membuka sesi lontaran pandangan dan sebarang kata-kata dari para hadirin. Program berakhir dengan doa dan tasbih kifarah serta Surah al-Asr.



