Lanjutan perbincangan kalimah Allah
Oleh kerana ada pertanyaan tentang isu ini, saya jawab komen salah seorang pembaca di dalam penulisan kali ini. Moga bermanfaat untuk semua. Persoalan yang ditimbulkan:
- Dr Yusof Qardhawi dan Dr Wahbah Zuhaili membenarkan penggunaan kalimah Allah. Kenapa orang Malaysia tak benarkan?
- Fiqh dalam konteks Malaysia mengatakan tidak sesuai orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah. Tetapi bagaimana pula pandangan syariat?
1. Bila kita bincang ttg hukum fiqh, ada satu proses namanya ‘tahrir mahal niza’ iaitu menentukan noktah perbincangan khilaf. ‘Bolehkah orang bukan Islam menyebut kalimah Allah’, itu tidak boleh jadi hukum fiqh. Hukum fiqh adalah seperti ‘bolehkah orang Islam membenarkan orang bukan Islam menyebut kalimah Allah’. Sebab kita sedang membincangkan tentang sikap kita, orang Islam bukan tindakan orang bukan Islam.
2. Dalam bab ni, noktah perbincangan khilafnya adalah ‘bolehkah orang Islam membenarkan orang bukan Islam menamakan tuhan-tuhan mereka dengan Allah’ atau ‘bolehkah orang Islam membenarkan majalah Harold Catholic menggantikan perkataan Jesus @ God di dalam rujukan Kristian dengan perkataan Allah’.
3. Apa yang disebut oleh Dr Yusof Qardhawi dan Dr Wahbah Zuhaili di luar dari konteks perbincangan yang saya utarakan. Mereka menyebut tentang orang bukan Islam menyebut kalimah Allah secara umum dan bukan khusus kepada isu Harold Catholic dan yang seumpamanya. Kalau nak tahu pandangan mereka tentang isu Harold Catholic, kena tanya kepada mereka ‘bolehkah orang Islam di Malaysia membenarkan majalah mingguan gereja, Harold Catholic menggantikan perkataan Jesus @ God di dalam mafhum Kristian dengan perkataan Allah?’ Yang ditanya kepada Dr Wahbah di dalam dialog yang saya hadiri adalah satu soalan ringkas: ‘bolehkah orang bukan Islam sebut Allah’. Sudah tentulah dia akan jawab ‘boleh’ sebab soalan itu adalah soalan umum. Malangnya selepas itu sebahagian orang Islam Malaysia gunakan kata-katanya untuk menyokong penggunaan kalimah Allah di dalam risalah terbitan gereja.
4. Kelemahan kita di sudut methodologi pengeluaran hukum dari nas al-Quran dan Hadis amat ketara apabila kita berbincang tentang isu kalimah Allah. Dalil entah ke mana, wajhu dilalah entah ke mana, istidlal tidak kena, istinbat lari dari konteks, tahrir mahal niza’ tidak berlaku, asbab nuzul nas al-Quran tidak tahu, asbab wurud hadis pun tidak kuasai, kaedah dhomir di dalam bahasa Arab pun tidak kuasai. Lepas tu sedap-sedap sahaja keluar fatwa. Kalau kita tidak tahu istilah yang saya sebutkan di atas, jangan sesekali berani mengeluarkan fatwa.
5. Apa beza fiqh dan syariah? Ada bezanya, panjang untuk saya ulas di sini. Kebanyakan orang Malaysia menyamakan fiqh dengan syariah. Saya tidak sempat untuk huraikan di sini perbezaan dan persamaannya. Apa yang jelas adalah tidak akan berlaku pertentangan antara keduanya. Sebab tu bila kita kata hukum fiqh mengatakan tidak boleh, maka syariah juga akan mengatakan tidak boleh. Tidak pernah berlaku fiqh kata tak boleh, syariah kata boleh.
6. Hukum fiqh mesti spesifik kepada permasalahan dengan merujuk kepada segala persekitarannya. Saya pernah dengar ada orang menyebut: ‘hukumnya harus tapi kita kena larang kerana tidak sesuai dengan realiti semasa’. Apabila saya mendengarnya, saya tahu orang yang menyebutnya itu tidak ada asas di dalam syariah. Kalau harus, kita tidak boleh larang. Kalau kena larang, maknanya tidak harus. Kalau realiti semasa membawa kepada tidak harus, maka sebenarnya istilah yang betul adalah: ‘hukumnya haram berdasarkan nas sekian-sekian’, nas akan menghuraikan hukum tertentu berdasarkan realiti semasa tertentu.
7. Pernah juga saya membaca satu tulisan yang mengatakan bahawa berdasarkan kaedah sadd zaraie’ (menutup jalan berlakunya kerosakan, dengan cara melarang sesuatu atas pertimbangan mudharat yang dijangkakan akan berlaku di masa akan datang jika perkara tersebut tidak dilarang) penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam tidak boleh dibenarkan. Tetapi nas di dalam al-Quran mengatakan boleh. Dia merujuk kepada surah al-Hajj ayat 40. Jadi menurut beliau nas mengatasi sadd zaraie’. Saya tidak pasti adakah orang itu terlalu cerdik atau sebenarnya dia tidak tahu apa-apa tentang syariah. Sadd zaraie’ adalah kaedah mengeluarkan hukum dari nas. Ia adalah salah satu bentuk qias untuk mengeluarkan hukum dari nas. Nas tidak boleh difahami bersendirian, tapi sebaliknya mesti difahami dengan kaedah pengeluaran hukum. Kadang-kadang dalam bentuk mantuq atau mafhum muwafaqah atau mafhum mukhalafah atau qias atau lain-lain kaedah lagi.
Apa yang beliau sebutkan dengan ‘nas’ adalah mantuq nas; iaitu makna dan maksud nas yang diambil secara langsung dari susunan ayat tanpa menggunakan kaedah-kaedah lain. Itu hanya salah satu dari kaedah memahami dan mengeluarkan hukum dari nas.
Sadd zaraie’ sebagai salah satu kaedah memahami nas, adakalanya akan diutamakan lebih dari mantuq nas (makna nas yang diambil secara langsung dari susunan ayat). Jadi istilah ‘nas’ mengatasi sadd zaraie’ tidak pernah timbul dalam perbincangan fuqaha’ kerana mantuq nas tidak semestinya didahulukan dari sadd zaraie’.
Dan satu lagi, ayat 40 surah al-Hajj juga tidak menyokong dakwaan beliau. Lain yang ditunjukkan oleh ayat, lain hukum yang dikeluarkan dari ayat. Istidlal fi ghairi mahal niza’.
8. Saya berharap kita dapat bincangkan isu fiqh dengan menggunakan methodologi fiqh dan bukan dengan cara lain dari itu. Setiap ilmu ada disiplinnya. Kalau kita tidak tahu, lebih baik jangan terlalu berani mengeluarkan fatwa.
Wallahu a’lam.
Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Naib Presiden II,
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Blog: Satu Perkongsian



Terima kasih dengan penjelasan Ustaz yang jelas. Ini yang perlu kita beri fahaman pada masyarakat.