|

KRIM Kelantan jayakan majlis sambutan Maulidur Rasul

Rantau Panjang, 11 Mac – Satu majlis sambutan Maulidur Rasul secara besar-besaran telah diadakan di Masjid Al-Hikmah, Taman Bakti, Rantau Panjang. Majlis ini merupakan anjuran bersama antara Masjid Al-Hikmah dan Kelab Remaja ISMA (KRIM) Kelantan. Majlis dimulakan pada petang hari lagi dengan penyediaan makanan oleh penduduk taman.

Majlis yang cukup meriah ini dihadiri oleh sebilangan besar penduduk taman dan ahli-ahli ISMA sendiri sehingga masjid dipenuhi jemaah. Majlis bermula secara rasminya dengan solat maghrib secara berjemaah. Kemudian disusuli dengan bacaan ayat suci Al-Quran yang dibacakan oleh Ustaz Mohd Al-Hadi bin Muhamad (AJK ISMA Kelantan) dan seterusnya diikuti dengan ceramah Maulidur Rasul yang bertajuk ‘Kelahiran Rasulullah Merubah Tabiat Manusia’ yang disampaikan oleh yang berbahagia Ustaz Othman bin Muhamad iaitu Naib Yang Dipertua ISMA Kelantan.

Antara isi utama yang dapat dipetik dari ceramah beliau adalah ‘kelahiran Rasulullah s.a.w mengubah tabiat manusia’. Dalam dakwah baginda selama 10 tahun di Mekah, baginda telah berjaya mengubah aqidah orang Mekah dari aqidah batil kepada aqidah yang benar.

Orang Mekah pada ketika itu berada dalam jahiliyah yang menyembah berhala telah berubah kepada menyembah yang berhak disembah yakni Allah s.w.t. Pada ketika itu Nabi telah menawan hati semua penduduk Mekah untuk memeluk Islam iaitu agama yang sebenar-benarnya. Nabi Muhammad s.a.w juga telah mengubah orang ramai daripada pengabdian sesama manusia kepada pengabdian kepada Tuhan sekalian alam.

Antara ahli jemaah yang hadir

Selesai ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Othman, majlis kemudian disambung dengan solat isyak berjamaah. Seterusnya diikuti dengan persembahan nasyid oleh ahli-ahli KRIM Kelantan dan dengan bacaan salawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w secara beramai-ramai yang diketuai oleh imam masjid. Majlis diakhiri dengan jamuan makan.

Sumber: Laman Web ISMA Kelantan