|

Kita adalah ”Jama`ah minal muslimin” bukan ”Jama`atul Muslimin”

Kenyataan ini ditegaskan semula oleh Dr Muhammad Badi’ Mursyidul Am Ikhwan Muslimin ke-8 dalam ucaptamanya sekaligus mempertegaskan keaslian fikrah Imam al-Banna dalam aspek hubungan luarnya dengan gerakan Islam lain.

Kenyataan ini menjadi asas siyasah luaran Ikhwan dengan wadah-wadah lain selain Ikhwan sejak zaman al-Banna. Ikhwan mengiktiraf wujud perbezaan pendapat dalam memahami manhaj dakwah dan berlapang dada terhadap pejuang-pejuang Islam lain.

Jama`ah minal muslimin bermaksud Jamaah dari kalangan muslimin bukan Jama`atul Muslim yang bermaksud Jamaal muslimin yang hanya layak diberikan kepada khalifah Islam, ahli al-halli wa al-aqdi (ahli syura dalam khalifah Islam) atau ijma’ ulama.

Ikhwan menamakan diri mereka sebagai Jama`ah minal muslimin sebab mereka bukan khalifah Islam, bukan ahli syura khalifah Islam tetapi mereka hanyalah gabungan beberapa orang muslimin yang cintakan Islam dan berusaha untuk mengembalikan hak-hak Islam ketempatnya.

Walaupun Imam al-Banna dikatakan sebagai mujaddid Islam pada zaman ini, dan gerakan Ikhwan mempunyai manhaj amal yang terbaik, Ikhwan tetap mengatakan mereka hanyalah sebahagian daripada umat Islam.

Dr. Muhammad Badi’ mempertegaskan semula konsep ini kerana ingin menyatakan bahawa Ikhwan tidak memonopoli hak memperjuangkan Islam, walaupun Ikhwan organisasi Islam terbesar dan tersebar ke lebih 70 buah negara, mereka tidak menafikan hak-hak organisasi Islam yang lain untuk memberikan jasa dan peranan mereka kepada ummah.

Malah bagi Ikhwan setiap umat Islam berhak untuk melakukan usaha dan aktiviti amal bagi memartabatkan Islam walaupun mencipta organisasi baru dan manhaj baru yang mereka yakini betul bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah.

Prinsip ini menjadikan ahli-ahli Ikhwan tidak pernah merasa iri hati terhadap jama`ah-jama`ah lain yang memperjuangkan Islam. Malah Imam al-Banna menegaskan satu konsep dalam hubungannya dengan organisasi lain;

“Hendaklah kita bertolong-menolong dalam perkara yang disepakati dan saling memberi kemaafan dalam perkara yang tidak disepakati”.

Imam al-Banna menegaskan hakikat ini bukan kerana beliau tidak yakin dengan fikrah dan manhaj amalnya malah bagi Ikhwan manhaj amal mereka diceduk daripada manhaj perjuangan Nabi s.a.w. secara beramal dengan nas bukan perkara-perkara ijtihad yang boleh diperselisihkan. Tetapi penegasan ini dibuat kerana meraikan kemungkinan akan wujud ilmuan Islam yang tidak menyakini manhaj amal Ikhwan dan menubuhkan organisasi islam yang lain.

Sepatutnya fikrah ini diterima oleh semua gerakan Islam. Masing-masing gerakan Islam bergerak berasaskan manhaj dan ijtihad yang diyakininya betul dan menerima ijtihad-ijtihad pimpinan gerakan Islam yang lain secara terbuka dalam aspek-aspek yang mereka berbeza pendapat.

Ketuaan dan keawalan kewujudannya, memiliki ahli yang ramai dan rangkaian di merata dunia tidak dijadikan Ikhwan sebagai hujjah untuk mewajibkan generasi baru menyertai saf mereka.

Sebaliknya mereka hanya menyampaikan fikrah mereka, manhaj amal mereka, matlamat dan maratib amal yang mereka yakini kepada masyarakat dan mana-mana ahli masyarakat beriman dengan fikrah mereka, ikhlas, sanggup beamal dan berjuang kerana Allah , tajarrud dengan fikrah ikhwan sahaja, sanggup berkorban, berjihad, berukhuwwah, taat, dan siqqah kepada pimpinan Ikhwan akan diajak bergabung dengan mereka.

Alangkah baiknya sekiranya wujud ruh saling memahami antara pimpinan gerakan Islam terhadap manhaj saudaranya dan mengambil manfaat terhadap kebaikan yang ada dan memperbaiki kelemahan yang sedia ada.

Bagi saya setiap gerakan Islam ada perlembagaan dan undang-undang tubuhnya malah ada mekanisma tertentu untuk menganggotainya. Setiap orang boleh menilai fikrah dan manhaj amal organisasi tersebut melalui undang-undang tubuhnya. Sesiapa yang meyakini manhaj tersebut sebagai manhaj yang hampir dengan sunnah rasul s.a.w dan memilih menyertai organisasi tersebut sayugia menghormati peraturan-peraturan yang ditetapkan dalam organisasi tersebut yang telah ditetapkan oleh pengasasnya.

Sekiranya beliau ada idea pembaikan hendaklah dikemukakan mengikut saluran yang betul dengan meraikan adab-adab mesyuarat dan adab-adab memberi dan menerima pendapat.

Begitu juga tidak sayugia ahli gerakan Islam memaksa sesiapa sahaja menyertai harakahnya sebelum mereka diyakini manhaj perjuangan yang diperjuangkan. Namun apabila mereka diterima sebagai ahli dan dirasai ada di kalangan ahli tidak mentaati peraturan organisasi; ahli tersebut perlulah dinasihati dan diperbetulkan sebelum dimahkamahkan dan dijatuhkan hukuman.

Walaupun untuk menggabungkan tanzim dengan tanzim sesuatu yang sukar; mungkin membentuk persefahaman, tolong-menolong dalam perkara sepakat dan bermaaf-maafan dalam isu yang tidak sepakat tidak terlalu sukar. Imam al-Banna selalu mengingatkan bahawa masa sebahagian daripada proses rawatan.

Namun sekiranya berlaku penggabungan antara dua organisasi; perkara utama dalam proses penyatuan saf adalah penyatuan fikrah dan manhaj berfikir dalam melaksanakan perlembagaan organisasi. Penyatuan fikrah memerlukan satu usaha yang amat berat sebab semua manhaj berfikir sebelum ini perlu dibincangkan satu-persatu sehingga wujud kesepakatan dalam perkara-perkara asas dan utama.

Kecualilah satu pihak bersetuju untuk meleburkan fikrahnya, manhaj dan budaya amal sebelum ini dan menyerap secara total ke dalam organisasi barunya dan mencairkan segala idealisma yang dimilikinya sebelum ini.

Namun secara tabie setiap orang akan membawa bersamanya nostalgia organisasi asalnya, fikrahnya dalam memahami sesuatu isu dan keutamaan langkah kerja, malah disiplin dan budaya kerja mereka. Perbezaan ini tetap menghasilkan perasaan ketidakserasian untuk beramal, hilang perasaan manis yang pernah dirasainya sebelum ini.

Jika sampai satu ketika penyatuan fikrah, manhaj berfikir dalam menentukan keutamaan, budaya kerja dan perasaan tidak berjaya disatukan dan masing-masing merasa tidak serasi dengan pihak satu lagi. Atau satu pihak tidak sanggup idea yang diyakininya dan didokong oleh mereka sebelum ini lambat laun ditelan dan cair kepihak satu lagi.

Atau mereka merasakan penggabungan ini lambat laun menuju kegagalan maka mereka patut memilih untuk menamatkan penggabungan ini secara baik bukan dengan memburuk-burukkan mana-mana pihak sebab asalnya mereka adalah dua organisasi yang bergabung. Apabila penggabungan tidak dapat diteruskan dan membawa kepada kegagalan disebabkan perkara yang tidak boleh dielakkan ia hendaklah ditamatkan secara berakhlak.

Sikap memburuk-burukkan seorang individu mungkin ada logiknya jika individu itu ternyata takbur dan gagal akur dengan keputusan mahkamah yang dijatuhkan ke atasnya setelah terbukti wujud dalil bukti kesalahannya dan dia gagal dalam membela dirinya.

Tetapi memburuk-burukkan satu kumpulan manusia, satu organisasi atau satu tanzim yang dahulunya dijemput untuk bergabung secara musyawarah adalah tidak masuk akal sama sekali.

Malah syarak juga menegaskan bahawa sekumpulan orang yang beriman tidak mungkin berpakat di atas perkara kesesatan.

Kecualilah semasa penggabungan itu semua organisasi yang mereka asaskan sebelumnya dibubarkan dan mereka benar-benar mencipta tanzim baru dan bergabung semua sekali, berinteraksi dan bertukar-tukar fikrah dan manhaj tarbiyyah bersama-sama dan melupakan segala perbezaan lama; ketika itu jika ada pihak cuba menghidupkan tanzim lama beliau perlulah disekat dan dimahkamahkan.

Sebaliknya jika penggabungan hanya dilakukan terhadap beberapa orang tertentu sebaliknya majoriti ahli tanzimnya yang dianggotainya tidak tahu dan tanzim tidak dibubarkan, malah dibiarkan bergerak mengikut manhaj amal terdahulu bukan manhaj amal baru yang disepakati maka ia bukan penggabungan yang sebenarnya dan kegagalannya tidak patut dipertanggungjawabkan kepada sebelah pihak sahaja, diburuk-burukkan dan dipersalahkan.

Apatah lagi jika kesalahan itu dicipta, direka, dipaksakan atau disengajakan oleh konspirator dan diada-adakan tanpa bukti yang meyakinkan lalu hukuman dijatuhkan tanpa memberi hak langsung untuk membela diri di mahkamah yang adil.

Sebaliknya jika hati mereka sama-sama ikhlas, saling menghormati tetapi fikrah mereka berbeza maka mereka perlu memilih jalan masing-masing dengan baik dan meraikan adab perselisihan dengan baik, sehingga fikrah mereka dapat disatukan semula setelah melalui pengalaman, bertambah ilmu dan proses-proses perbincangan.

Bagi saya sikap ini lebih manis, lebih adil dan ‘gentlemen’ dan membuka ruang penyatuan di masa-masa hadapan. Mungkin generasi berikutnya boleh bersatu dan mereka akan merasa bangga dengan sejarah kematangan harakah yang mereka lalui daripada warisan yang ditinggalkan oleh ibu bapa mereka. Kalau tidak sejarah hitam itu tetap akan terukir dalam lipatan sejarah.

Seseorang mungkin boleh menipu seorang pada satu-satu masa tetapi mereka tidak mungkin menipu semua orang di setiap masa.

Nabi Yusuf bersabar menunggu sehingga dirinya dewasa untuk menyatukan semula saudaranya yang berselisih dengannya. Ahli tafsir menyatakan punca perselisihan mereka kerana sebahagiannya mengikuti tipudaya syaitan. Apabila suasana terdesak dan manusia kembali kepada Allah, syaitan pun tewas, ketika itu hati manusia akan kembali bersatu.

Oleh: Ustaz Annuar Salleh,
Yang Dipertua ISMA DHL
Sumber: Renungan2u

3 Komen untuk entri “Kita adalah ”Jama`ah minal muslimin” bukan ”Jama`atul Muslimin””

  1. ABU AMIRAH says:

    jazakallah ! ustaz ana bersyukur mempunyai akh seperti anta. moga kekal bersama dakwah.

  2. fatah UM says:

    sungguh rugi jika kita berpecah…

  3. faris husaini says:

    1.apa contoh2 ‘fikrah’ dan dasar perjuangan sehingga berlakunya kewujudan banyak organisasi Islam dalam satu2 wilayah orang muslim?

    2.dari apa yg saya fahami, konsep jama’ah minal muslimin ini utk menerangkan bahawa Ikhwan muslimin dan gerakan2 Islam lain spt Jama’at Islami, JamaatunNur dll gerakan didunia hanyalah mewakili subset umat Islam. dan konsep itu juga menegaskan betapa subset2 (gerakan Islam) itu hanya berperanan mengikut waqi’ di tempat ia berada sahaja. tidak patut peranan mereka melangkaui sempadan wilayah sehingga berlakunya pertindihan peranan dgn gerakan Islam di tempat lain. konsep ini dipelajari dalam kisah Hasan al-Banna rahimahullah bertemu dengan almalik Faisal. dalam pertemuan itu, Hasan alBanna berhasratkan agar kerajaan arab saudi bernaung di bawah pimpinan Ikhwan Mesir. tetapi alMalik menolak dengan ungkapan cantik – ‘seseungguhnya orang ditempat kami lebih kenal dengan denai2 kami berbanding orang Mesir’. Hasan al-Banna memahami maksud ungkapan itu dan beliau berlapang dada tidak meneruskan hasrat ‘menaungi’ kerajaan arab saudi. dalam masa sama ia bermaksud yg albannan menyerahkan tugasan ‘memperbaharui’ (tajdid) umat kepada orang2 di Arab Saudi.

    3.ini jelas menunjukkan betapa konsep berbilang jemaah itu bermaksud:
    -tidak berlaku pertindihan peranan dikalangan jemaah Islam (ie gerakan2 Islam itu bersifat mutually exclusive, not overlapping).
    -tidak wujud lebih dari satu ‘jama’ah minal muslimin’ di satu2 tempat.

    4.justeru, jika telah ada satu gerakan Islam yg bersifat syumul, walaupun gerakkerjanya tidaklah terlalu efektif dan baik (ongoing to be perfect), kenapa perlu wujud lagi gerakan Islam lain di tempat itu?.

    5.bukankah pertindihan peranan itu menyebabkan perpecahan? dan bukankah jika sudah ada gerakan Islam yg prinsip gerakkerjanya syumul, maka apa yg sepatutnya dilakukan adalah bersama-sama memantapkan gerakkerjanya?

    mohon penjelasan. terima kasih