|

Kenyataan IM berhubung jenayah Israel terhadap tempat-tempat suci Islam

Di saat kesucian bangsa Arab dan Islam berada di ambang bahaya… Setelah regim Zionis Israel meningkatkan serangan terhadap wilayah dan kehormatan Palestin dengan menumpahkan darah dan menimbulkan kekacauan di sana, mereka meneruskan lagi usaha untuk mengambil alih tempat-tempat suci Islam dan memasukkan Masjid al-Haram al-Ibrahimi dan Masjid Bilal Ibn Rabah ke dalam senarai warisan Yahudi.

Selama seminggu yang lalu, ancaman-ancaman Israel untuk menghancurkan Masjid al-Aqsa yang diberkati semakin menjadi kenyataan, sekaligus mengancam keberadaannya, mencemari kesucian dan memperlekehkan statusnya sebagai kiblat pertama dan masjid suci ketiga Islam. Sementara 1.2 billion penganut Islam menyaksikan kekejaman dan keangkuhan berterusan Israel ini tanpa sebarang campur tangan daripada negara-negara Arab dan Islam.

Apa yang telah terjadi kelmarin dan masih berlaku hingga kini menunjukkan bahawa pencabulan yang dilakukan oleh regim Zionis Israel ke atas Palestin merupakan akibat daripada ketidakpedulian bangsa Arab dan Islam untuk bertindak balas dan mengutuk jenayah yang dilakukan oleh Israel terhadap dunia Arab dan Islam.

Ikhwanul Muslimin mengutuk pencerobohan Masjid al-Aqsa dan serangan ke atas orang-orang yang beriktikaf di dalamnya serta jenayah berterusan di mana seluruh dunia memikul tanggungjawab terhadapnya. Sikap berdiam diri masyarakat dunia, khususnya bangsa Arab dan Islam amat memalukan kerana tindakan-tindakan mereka seperti merestui jenayah regim Zionis Israel yang tidak menunjukkan rasa hormat dan terus melanggar hak-hak orang lain. Israel tidak menghormati hak-hak asasi manusia dan ini menggambarkan bahawa tidak ada sebarang institusi di dunia ini yang mampu berkata “tidak” ke atas tindakan zalim mereka.

Justeru itu, Ikhwanul Muslimin menegaskan perkara-perkara berikut:

1 – Banyak negara Arab dan Islam yang menutup mata terhadap jenayah Israel ke atas Masjid al-Aqsa di saat mereka setidak-tidaknya harus mengungkapkan kemarahan dan mengambil langkah-langkah yang mencukupi untuk menghentikan sejarah kezaliman regim Zionis Israel yang panjang terhadap rakyat Palestin. Mereka tidak boleh meneruskan sebarang bentuk hubungan dengan Israel samada dari aspek spiritual, budaya, politik dan ekonomi kerana dikhuatiri akan bersubahat dalam jenayah yang tidak dapat dimaafkan sama sekali.

2 – Liga Arab dan OIC mesti mengambil pendirian yang padu mewakili dunia Arab dan Islam bagi berhadapan dengan regim Zionis Israel terutamanya selepas pengumuman penjenayah Perdana Menteri Benjamin Netanyahu yang mendedahkan kelemahan pendirian rasmi bangsa Arab dan institusi-institusi mereka. Menteri-menteri luar Arab telah memberikan gambaran negatif semasa pertemuan lepas berhubung tindakan-tindakan musuh dan keupayaan mereka untuk menyatakan pendirian yang sebenar!

3 – Pihak berkuasa Palestin mesti menghentikan sebarang rundingan secara langsung atau tidak langsung dengan pihak penjajah ketika tentera Israel terus mengancam untuk menyerbu Masjid al-Aqsa dan tempat-tempat suci Islam yang lain.

4 – Kehadiran utusan Amerika untuk perdamaian di Timur Tengah adalah sia-sia kerana penjenayah Israel telah membuat keputusan untuk menyambutnya dengan menceroboh Masjid al-Aqsa, yang mendedahkan niat dan rancangan jahat mereka. Oleh kerana itu, ia harus kembali.

5 – Kerajaan Mesir mesti mempertimbangkan kembali tindakannya menutup pintu sempadan dan membina tembok apartheid, terutama selepas berakhirnya ilusi perdamaian yang dicanangkan oleh regim Zionis Israel. Menjadi kewajipan mereka untuk menyokong penentangan bersenjata rakyat Palestin dengan segala cara sehingga mereka berjaya bertahan dan mempertahankan maruah dan kesucian bangsa.

6 – Semua pihak di Palestin harus mengetepikan perbezaan mereka dan mengerahkan semua tenaga untuk berkumpul di Masjid Al-Aqsa bagi melindunginya dan menghalang malapetaka yang mengancam kiblat pertama umat Islam itu.

7 – Semua pertubuhan awam, kesatuan sekerja, persatuan, parti politik dan gerakan Arab dan Islam mesti berinteraksi untuk mengurangkan ancaman terhadap Masjid al-Aqsa melalui segala bentuk aktiviti dengan meningkatkan kesedaran dunia dan mengukuhkan kehendak masyarakat.

8 – Setiap individu muslim harus berusaha untuk mempertahankan Masjid al-Aqsa yang diancam dengan serangan regim Zionis Israel. Sikap berdiam diri oleh kelompok majoriti harus dihentikan dan suara-suara perlu dikumandangkan untuk meluahkan kemarahan terhadap Israel, para penyokong mereka  dan semua pihak yang bersekongkol dengannya.

Sebagai penutup, Ikhwanul Muslimin berazam untuk meningkatkan kesedaran umat Islam berhubung keseriusan situasi ketika ini.  Tindakan berdiam diri pada hakikatnya merupakan pengkhianatan seperti mana yang disebutkan oleh Allah swt di dalam Al-Quran “Jika Allah menolong kamu, maka tidak ada yang dapat mengalahkanmu; tetapi jika Allah mengabaikan kamu, maka siapa yang dapat menolongmu setelah itu? Kerana itu hendaklah kepada Allah saja orang-orang yang beriman bertawakal” (Ali ‘Imran: 160).

“Dan Allah berkuasa ke atas urusan-Nya, tetapi kebanyakan manusia tidak mengerti” (Yusuf: 21).

Cukuplah Allah bagi kita dan Dia adalah sebaik-baik Penolong. Allah Maha Besar. Segala puji bagi Allah.

Ikhwanul Muslimin
7 Mac 2010

Sumber: Ikhwanweb

Penterjemah:
Mohd Firdaus bin Sabturani
Ketua Pengarang
Media ISMA

1 Komen untuk entri “Kenyataan IM berhubung jenayah Israel terhadap tempat-tempat suci Islam”

  1. Syed Abdul Hadi says:

    Dari perjuangan sebagai individu muslim, ana dah lama boikot barangan mereka (Israel), sentisa mendoakan kesejahteraan dan keselamatan agama dan umat Islam keseluruhannya dan melakukan persiapan dan memantapkan fizikal, spiritual, emosi, intelektual, sosial kearah mendaulatkan dan membangunkan syiar Islam di Malaysia. Harapannya usaha ana akan diberkati dan diterima oleh Allah S.W.T dan mudah2an sedikit-sebanyak membantu saudara Islam kita.