|

Karnival Sukan ISMA-Mesir semarak ukhuwwah dan persahabatan

Mesir, 5-6 Mac – Berobjektifkan kesihatan dan kecergasan fizikal selain merapatkan ukhuwwah dan persahabatan di kalangan mahasiswa Malaysia di Mesir, Biro Sukan dan Kesenian ISMA-Mesir telah menganjurkan Karnival Sukan ISMA (KSI) bagi tahun 2010.  Berbeza dengan tahun sebelumnya, karnival tahun ini telah dilangsungkan secara berasingan untuk peringkat Kaherah dan Mufahazah.

Bagi peringkat Mufahazah, karnival diadakan pada 5 Mac 2010 di Perkampungan Sukan Universiti Mansurah. Bertemakan “Sihat untuk Ummah”, karnival ini telah menghimpunkan para peserta yang terdiri daripada kalangan mahasiswa perubatan dan pengajian Islam yang menuntut di universiti-universiti sekitar luar Kaherah seperti Tanta, Iskandariah, Dumyat dan Mansurah sendiri.

Senaman ringan sebagai pembuka acara

Program mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dengan pendaftaran mencecah 120 orang peserta. Karnival ini telah dirasmikan oleh Ketua Biro Muhafazah ISMA-Mesir, Ustaz Mohd Suhail Bin Mohd Sufian merangkap Ketua Perhubungan ISMA-Mesir Cawangan Iskandariah. Dalam ucapannya, beliau menyeru para peserta untuk memahami Islam secara benar dan kepentingan pembentukan peribadi Muslim. Beliau turut mengajak para peserta agar menjadikan Rasulullah sebagai contoh terbaik di dalam setiap peringkat kehidupan hatta ketika bersukan. Ketika berucap, beliau turut memberikan penerangan ringkas berkenaan ISMA dan matlamatya iaitu membina generasi harapan. Di akhir ucapan, beliau mengharapkan agar para peserta bersukan seikhlas mungkin dan membina ikatan persaudaraan bagi meraih keredhaan Allah SWT.

Para peserta telah dibahagikan kepada lapan kumpulan dan berentap dalam dua acara utama yang dipertandingkan pada sebelah pagi iaitu futsal dan bola tampar. Pada sebelah petang pula para peserta berpeluang untuk bersukaneka bagi merapatkan lagi hubungan persaudaraan antara ahli kumpulan dan peserta lain.

Antara acara menarik sepanjang karnival iaitu tarik tali

Keseluruhan acara selesai dipertandingkan kira-kira pada pukul 6.00 petang dan diakhiri dengan majlis penutup dan penyampaian hadiah. Ketika majlis penutup, Ketua Perhubungan ISMA-Mesir Cawangan Mansurah, Ustaz Muhd Izzuddin Bin Selamat telah memberikan sedikit tazkirah ringkas berkisar mengenai kepentingan pemuda sebagai aset kebangkitan dan pendokong umat Islam serta usaha-usaha ISMA-Mesir untuk memenuhi hasrat kebangkitan ini.

Karnival ini turut dihadiri oleh Ketua Perhubungan ISMA-Mesir (Tanta), Ustaz Mohd Fuad Zaki bin Hisham. Beliau yang juga Timbalan Pengarah Karnival Sukan pada tahun ini turut bersama-sama ketua perhubungan yang lain menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Penyampaian hadiah ketika majlis penutup

Karnival pada tahun ini menyaksikan kumpulan Laksamana telah merangkul kejuaraan dengan kutipan mata sebanyak 4930 mengatasi kumpulan-kumpulan lain. Selain hadiah berkumpulan, beberapa Anugerah Individu turut dipertandingkan, antaranya Anugerah Peserta Terbaik yang telah dimenangi oleh saudara Mohd Fahd Bin Mohd Sham dari muhafazah Tanta.

Bagi peringkat Kaherah pula, karnival sukan  ini telah diadakan di Nadi Syabab, Hayyu Asyir, Kaherah. Karnival ini dimeriahkan dengan kedatangan hampir 100 orang peserta dari pelbagai jurusan pengajian yang kemudiannya dibahagikan kepada 6 kumpulan iaitu: Jersi Hijau, Canoe Wave, Bola Taqwa, Gol Sokmo, Panah Gergasi dan Pedang Emas. Setiap kumpulan diberi peluang untuk menentukan nama pasukan masing-masing.

Aksi peserta ketika perlawanan bola tampar

Karnival dimulakan tepat pukul 8.45 pagi dengan ucapan pengarah karnival, saudara Amin Abdul Rahman. Dalam ucapannya, beliau menekankan objektif program dengan memetik mafhum hadis Rasulullah SAW yang masyhur, “Mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada mukmin yang lemah”.

Selepas itu, peserta bersarapan pagi sambil bersuai-kenal dengan ahli kumpulan masing-masing yang kebanyakannya baru pertama kali berjumpa. Acara bola sepak dan bola tampar kemudiannya dipertandingkan secara serentak tepat pada pukul 9.25 pagi. 6 buah pasukan dibahagikan kepada 2 kumpulan, kumpulan A dan B bagi melicinkan perjalanan program. Kedua-dua permainan menyerlahkan kesungguhan dan semangat berpasukan setiap pasukan.

Karnival tahun ini turut menampilkan sedikit kelainan dengan pertambahan beberapa acara permainan seperti bola keranjang dan bola baling yang dipertandingkan sejurus selepas tamat perlawanan bola sepak dan bola tampar. Walaupun dalam cuaca panas terik, setiap peserta tetap kelihatan begitu bersemangat dan mempersembahkan permainan yang sengit dan menarik.

Timbalan Pengerusi ISMA-Mesir, Sdr Salman ketika sesi Medical Check-up

Karnival sukan pada tahun ini menyediakan sesi Medical Check-up secara percuma kepada setiap peserta. Sesi ini menilai ketangkasan peserta selain dari penilaian kesihatan seperti tekanan darah dan tahap gula dalam darah.

Selepas solat Zohor dan makan tengah hari, karnival diteruskan lagi dengan acara sukaneka. Beberapa permainan baru seperti Frisbee dan Lontar Belon Air menghangatkan lagi kemeriahan acara sukaneka pada tahun ini. Acara sukan bagi karnival pada tahun ini ditutup dengan pertandingan tarik tali yang merupakan acara tetap Karnival Sukan ISMA Mesir.

Penyampaian hadiah Juara Keseluruhan oleh Pengerusi ISMA-Mesir, Sdr Shuhaib

Karnival ini diakhiri dengan sesi penyampaian hadiah kepada kumpulan yang berjaya. Kumpulan Gol Sokmo yang diketuai oleh Bilal Jailani berjaya menggondol hadiah Juara Keseluruhan dan diikuti kumpulan Bola Takwa di tangga kedua. Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Pengerusi ISMA Mesir, Sdr Shuhaib Ar-Rumy bin Selamat dan Timbalan Pengerusi, Sdr Salman Al-Farisi bin Selamat.

Selain hadiah berkumpulan, beberapa anugerah individu turut memeriahkan sambutan karnival pada tahun ini Antaranya anugerah The Fittest Man: Saifullah (Canoe Wave), Atlit Paling Ceria: Anas Yusuf (Panah Gergasi), Atlit Harapan: Amiruddin (Gol Sokmo), Ketua Kumpulan Terbaik: Bilal Jailani (Gol Sokmo) dan Peserta Paling Menyerlah: Mohd Himam Syafiq (Bola Taqwa).

Sumber: Laman Web ISMA Mesir

1 Komen untuk entri “Karnival Sukan ISMA-Mesir semarak ukhuwwah dan persahabatan”

  1. ABU AMIRAH says:

    indana zikrayat huna fi hadiqah wa muqawalun. istamir ya syababuna bi fursah azzahabiah hunak !