Isu Melayu Islam: Persoalan-persoalan yang perlu diketengahkan
Isu Melayu Islam telah lama disebut dan dibahaskan, namun ianya menjadi satu isu yang semakin memuncak sejak pasca pilihanraya ke-12 pada bulan Mac 2008 yang lalu.
Banyak pihak prihatin dengan isu ini termasuk NGO-NGO Melayu. Baru-baru ini, 76 NGO telah bersatu dan menubuhkan Majlis Perundingan Melayu (MPM). Tindakan ini timbul akibat dari rasa tidak puas hati dan ketercabaran orang Melayu setelah perkara-perkara sensitif yang menyentuh status agama Islam, hak-hak istimewa orang Melayu dan lain-lain yang termaktub dalam perlembagaan negara telah disentuh dan cuba dicabul.
Saya yang terlibat dalam institusi pendidikan juga tidak lari dari membincangkan isu Melayu Islam ini yang sentiasa bermain di fikiran dan isu ini juga mengusik jiwa saya. Saya ingin mengetengahkan banyak persoalan yang muncul di sebalik isu ini dan antaranya adalah :-
- Sejauh mana peranan isu Melayu Islam akan mempengaruhi atau dipengaruhi oleh konsep 1Malaysia yang diilhamkan oleh YAB Perdana Menteri?
- Apakah kedudukan orang Melayu Islam akan lebih kukuh atau sebaliknya selepas isu ini reda nanti atau berpanjangan hingga ke PRU ke-13?
- Sampai bila perjuangan membela Melayu Islam dianggap satu perkara ‘taboo’ sedangkan suara-suara membela kaum lain semakin lantang? (sebagaimana yang disebut oleh Dato’ Kadir Jasin dalam beberapa artikel dalam blognya, A Scribe Kadir Jasin).
- Apakah dengan memperjuangkan bangsa Melayu bercanggah dengan mesej yang dibawa oleh Islam atau sebaliknya (sebagaimana kupasan dan ulasan dalam blog ‘Perjalananku’ Ustaz Abdullah Zaik, Presiden Ikatan Muslimin Malaysia)
- Akan hilangkah kepentingan membela Melayu Islam jika sistem 2 parti menjadi kenyataan dalam senario politik Malaysia di masa akan datang?
- Perlukah kita kepada satu alternatif lain (parti baru mungkin) untuk memperjuangkan Melayu Islam sekiranya parti-parti politik Melayu Islam yang ada sekarang gagal dalam menangani isu ini? Atau usaha ke arah perpaduan dan kesatuan mereka menjadi agenda utama?
- Berapa banyak atau sejauh mana orang Melau Islam mengambil pengajaran dari apa yang berlaku – ‘lessons learnt’? Adakah sudah terhantuk, baru terngadah?
- Tidak terfikirkah bagaimana masa depan generasi muda yang akan mengambil alih tampuk kepimpinan negara dan persediaan mereka? Adakah mereka akan semakin layu atau sebaliknya dengan isu ‘survival’ Melayu Islam ini?
- Bagaimana Model Ekonomi Baru yang akan dilancarkan tidak lama lagi memberi kesan kepada keadaan ekonomi orang Melayu, yang sekarang ini berdepan dengan cabaran-cabaran yang hebat dalam sektor ini?
- Dan pelbagai persoalan lain…
Persoalan-persoalan di atas akan sentiasa berlegar di kalangan kita dalam jangkamasa beberapa tahun akan datang. Cuma bagi saya, yang paling penting untuk kita yang berbangsa Melayu dan beragama Islam, adalah untuk kita fikirkan bersama perubahan secara menyeluruh untuk mendepani nasib Melayu Islam; tidak semata-mata menyerah nasib kepada situasi yang berlaku.
Kita mesti bangun dari mimpi lena kita dan belajar dari kegemilangan bangsa Melayu yang bertunjangkan Islam pada satu masa dulu dalam memimpin negara dan kawasan-kawasan sekitarnya. Kita kena bangunkan satu bangsa yang berpegang teguh dengan ajaran Islam dan berani ke tengah memimpin dan mengurus dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, pendidikan, politik dan lain-lain. Golongan professional dan golongan berlatarbelakangkan agama perlu sama-sama berganding bahu merencanakan satu ‘blueprint’ projek agenda bangsa yang bukan sahaja akan memastikan ‘survival’ bangsa tetapi menjadi contoh kepada bangsa-bangsa lain sehingga mereka akan menerima Islam sebagai cara hidup mereka sebagaimana generasi gemilang Islam terdahulu.
Oleh: Prof. Dr. Badhrulhisham bin Abdul Aziz,
AJK ISMA Pahang
Sumber: Blog ISMA Kuantan
* Prof. Dr. Badhrulhisham juga merupakan Pengarah Pusat Pembangunan Korporat dan Pengurusan Kualiti, Universiti Malaysia Pahang.


Tahniah Prof, suara cendekiawan yang ditunggu-tunggu. Teruskan menulis.