|

ISMA Shah Alam & Klang fokus lahirkan generasi harapan yang terbilang

Dr Amiruddin Abd Wahab, YDP ISMA Shah Alam & Klang

Shah Alam, 13 Mac – Remaja adalah generasi pewaris, penyambung harapan dan wawasan dan pemimpin masa depan. Kesinambungan sesuatu bangsa dan tamadun bergantung kepada kualiti remaja yang dihasilkan oleh generasi terdahulu. Melihat kepentingan melahirkan remaja yang memahami perjuangan Rasulullah serta sirah Baginda, bersemangat, ikhlas, mempunyai kekuatan rohani dan jasmani, berketrampilan dan memiliki ciri kepimpinan, maka ISMA Shah Alam & Klang telah merangka beberapa program yang menerapkan semua ciri-ciri tersebut.

Menurut Yang Di-Pertua ISMA cawangan Shah Alam & Klang, Dr. Amiruddin Abd Wahab, remaja perlu diisi masa lapangnya dan perlu disalurkan tenaganya yang banyak ke arah yang betul. Jika tidak remaja akan terjebak dengan gejala sosial.

Beliau seterusnya menambah “Remaja ibarat benih yang perlu disemai, dibaja dan disiram agar dapat menghasilkan buah yang sedap, segar dan bermutu. Sekiranya kita mengabaikan salah satu daripada aspek penjagaannya maka natijah pasti sebaliknya”.

“Selain aspek fizikal seperti kesukanan dan aktiviti luar, ISMA melalui KRIM turut memberi penekanan yang seimbang bagi aspek kerohanian dan pemikiran dengan pelbagai aktiviti lain seperti qiamulail, seminar, kem jatidiri, kem motivasi dan sebagainya,” tambah beliau lagi.

Beliau yang ditemui selepas upacara perasmian Karnival Sukan Remaja Islam (KASRIM) Futsal yang dianjurkan Kelab Remaja ISMA (KRIM) Shah Alam & Klang seterusnya memuji usaha yang dilakukan oleh pihak KRIM yang turut menjemput Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) mengadakan pameran Bahaya Penagihan Dadah. Karnival setengah hari tersebut berlangsung di Real Sport Arena, Klang.

Oleh: Mohd Azizuddin Sahiddin

Wartawan/Jurufoto

Media ISMA