|

ISMA-New Zealand raikan pelajar-pelajar baru

Kedatangan semester baru merakamkan antara detik-detik istimewa buat warga Malaysia di New Zealand apabila bumi bertuah ini menerima kehadiran lebih kurang 500 orang pelajar baru dari seluruh pelusuk tanah air. Kehadiran pelajar-pelajar dari pelbagai bidang dan latar belakang ini telah disambut baik oleh semua pelajar Malaysia di New Zealand amnya, dan Ikatan Muslimin Malaysia New Zealand (ISMA-NZ) khasnya.

Wakil-wakil ISMA-NZ di seluruh New Zealand telah menunjukkan komitmen yang jitu dalam membantu pelajar-pelajar baru ini menyesuaikan diri dengan kehidupan di luar negara, sejajar dengan aspirasi ISMA-NZ sendiri untuk membina generasi harapan.

Setibanya di bumi New Zealand, wakil-wakil ISMA-NZ telah membantu MSD dalam pengurusan pelajar-pelajar yang menaiki pesawat penghubung dari Auckland ke kawasan-kawasan lain. Setibanya di lokaliti masing-masing pula, para pelajar disambut mesra dan dibantu dalam pengurusan hal-hal domestik, pendaftaran universiti dan sebagainya melalui sistem ‘buddy’, pengedaran risalah yang mengandungi maklumat penting buat rujukan para pelajar seperti info solat dan makanan halal, program suai kenal antara pelajar-pelajar baru dan pelajar sedia ada, serta menghidupkan budaya ziarah-menziarahi sesama pelajar Malaysia di setiap lokaliti.

Di Dunedin, pelajar-pelajar baru yang berjumlah 80 orang telah berpeluang mengenali pelajar-pelajar Malaysia di Dunedin melalui ‘Explorace Dunedin’ dan juga sesi perkongsian mengenai kehidupan di luar negara, dan juga bagaimana menyesuaikan diri sebagai muslim di luar negara.  Wakil-wakil daripada ISMA-NZ turut diundang untuk menjadi penyampai kepada beberapa slot dalam sesi perkongsian ini. Bagi pelajar wanita di Dunedin pula, sebuah program yang dinamakan ‘Raudhatul Ukhuwah’ atau Taman-Taman Persaudaraan telah berjaya merapatkan hubungan sesama pelajar muslimah baru dan lama.

Sementara itu, sambutan pelajar baru di Christchurch tidak kurang menarik. 30 orang pelajar baru tajaan MARA, JPA, Yayasan Tenaga Nasional (YTN) dan juga sejumlah pelajar tajaan persendirian telah ditempatkan di tiga universiti terkemuka di New Zealand iaitu University of Lincoln, University of Canterbury dan University of Otago,Christchurch School of Medicine. Walaupun pada mulanya pelajar-pelajar di Christchurch ini mengalami kejutan dari segi harga barangan, dan cuaca yang sejuk, namun, hasil perkongsian, nasihat dan tunjuk ajar daripada pelajar-pelajar yang lebih senior, keindahan bandar Christchurch dan keramahan penduduknya sedikit sebanyak melupakan kepayahan yang dialami sewaktu mula-mula sampai.

Pelajar-pelajar baru di Wellington pula disambut baik oleh wakil-wakil ISMA-NZ menerusi Rehlah Ahlan di kawasan lapang berhampiran Duck’s Pond, Botanical Garden pada 7 Mac 2010. Walaupun mengalami masalah logistik pada awalnya, program tersebut berjaya diadakan dengan beberapa slot aktiviti dan sedikit perkongsian bertajuk ‘Merajut Cinta Ukhuwah’ semasa program tersebut berjalan. Kegembiraan jelas terpancar pada wajah-wajah yang hadir ke program tersebut dan program tersebut berjaya mendapat maklumbalas yang menggalakkan daripada para peserta yang hadir.

Sementara itu, bandar Auckland menerima kegembiraan berganda apabila pelajar-pelajar dari universiti lain di New Zealand turut singgah sebentar di lapangan terbang Auckland bagi urusan transit. Selain itu, Auckland sendiri menerima lebih kurang 150 orang pelajar baru dari pelbagai bidang, latar belakang dan kolej persediaan. Kemuncak sambutan pelajar baru di Auckland terletak pada Program Semai Mesra Auckland (SaMA) 2010. Program tersebut telah diadakan pada 6 Mac 2010 di Cornwall Park. Kehadiran seramai lebih kurang 100 orang warga Auckland, termasuk keluarga-keluarga pelajar dari Malaysia Auckland Postgraduate Association (MAPSA) telah membuka peluang sebesar-besarnya bagi pelajar-pelajar baru ini meraih pengalaman daripada pelajar yang lebih lama di Auckland.

Melalui ucapan daripada wakil ISMA-NZ dan MAPSA, para pelajar baru didedahkan dengan kehidupan seorang pelajar di Auckland, hubungan dengan pelajar lain dan juga kepentingan menghormati guru, ibubapa dan rakan-rakan dalam usaha menuntut ilmu. Menerusi SaMA 2010, ISMA-NZ Auckland telah berjaya merapatkan lagi hubungan dengan pelajar-pelajar baru dan menjadi suatu titik tolak yang positif dalam perhubungan dengan persatuan-persatuan pelajar lain di Auckland.

Adalah diharapkan agar segala nasihat, kemesraan dan kasih sayang antara pelajar baru dan lama sepanjang tempoh sambutan pelajar baru ini dapat dikekalkan dalam usaha berterusan membina sebuah generasi harapan.

Sumber: Laman Web ISMA-New Zealand

1 Komen untuk entri “ISMA-New Zealand raikan pelajar-pelajar baru”

  1. shah says:

    salam, ada tak sape2 boleh tolong untuk dapatkan kerja di NZ?