|

ISMA-Mesir (Tanta) anjur ziarah kubur untuk ingat mati

Tanta, 11 Mac – ISMA-Mesir cawangan Tanta telah mengadakan ziarah kubur di kawasan perkuburan berhampiran Universiti Tanta yang terletak di kawasan Siberbay. Program ini telah dikendalikan oleh Unit Sukan dan Aktiviti Luar di bawah tanggungjawab saudara Munawwar Abd Rahman.

Menurut pengarah, objektif yang ingin dicapai adalah mengingati mati, membezakan ziarah makam dan ziarah kubur, dan merapatkan ukhuwwah sesama peserta yang hadir. Pihak penganjur merasakan bahawa mahasiswa di Mesir jarang sekali memahami hasrat Nabi s.a.w ketika mengharuskan ziarah kubur selepas pengharamannya, iaitu untuk melembutkan hati dan mengingatkan kepada akhirat sepertimana yang terdapat dalam nas hadis sohih.

Perkara ini berlaku kerana kebiasaannya mahasiswa pergi menziarahi makam-makam para auliya’ dan ulama’ yang masyhur di bumi Mesir ini, dengan niat untuk bertawassul dan mengambil berkat di tempat-tempat tertentu. Justeru pihak ISMA-Mesir (Tanta) merasakan perlu untuk memberikan satu sudut pandangan yang kurang diberi perhatian dalam perkara ini.

Seramai 11 orang peserta bertolak pada pukul 4.30 petang dari Darul Rasyid (Pejabat ISMA-Mesir Tanta) ke kawasan perkuburan dengan berjalan kaki. Satu sesi tazkirah ringkas telah disampaikan oleh saudara Munawwar Abd Rahman yang berkisar mengenai kematian. Kemudian dibuka sesi perkongsian bagi sesiapa yang ingin menyatakan pandangan dan lintasan hati masing-masing.

Selepas itu semua peserta menuju ke Junainah yang merupakan sebuah taman buah-buahan (secara khususnya buah anggur) yang dijaga rapi. Para peserta berkumpul di sebuah pondok di taman tersebut dan berbuka puasa di situ seterusnya menunaikan solat Maghrib secara berjemaah. Program tamat kira-kira pukul 7.30 petang dan peserta semua bersurai setelah tiba di perhentian bas Siberbay.

Sumber: Laman Web ISMA-Mesir Cawangan Tanta

2 Komen untuk entri “ISMA-Mesir (Tanta) anjur ziarah kubur untuk ingat mati”

  1. Ustaz Ahmad Azhari NS says:

    Program ziarah kubur sesuatu yang kurang di paparkan kepada masyarakat,TAHNIAH.Inilah diantara proses Pendidikan / Tarbiah yang disebutkan oleh Rasul SAW secara jelas,yang sepatutnya diberikan pehatian yang serius oleh semua orang-orang Islam,tambahan pula jika dilaksanakan semasa saat seseorang yang sedang berpuasa terutama pada detik-detik akhir kita berpuasa kerana disaat itu dalaman tubuh manusia telah berada pada posisi yang stabil/matang dan jiwa akan dapat berfikir dengan rasional,tenaga yang ada hanya digunakan untuk fikiran ,hati menjadi lembut dan mengerisik serta airmata akan mudah mengalir.TAHNIAH!

  2. UstazHazizi says:

    Barakallahu fikum. Pemuda yang mengingati mati adalah pemuda yang berwawasan kerana menyedari jangka hayat yang pendek di dunia ini adalah penentu nasib bagi hayat di akhirat yang jangka masanya abadi.