|

ISMA kerjasama jayakan Career Day di Kolej MARA Banting

Pengarah KMB, En Syed Anwar Aly menyampaikan cenderamata penghargaan kepada wakil ISMA, Dr Arif Nasar

Banting, 20 Februari – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) di bawah Sekretariat Luar Negara ISMA telah berpeluang menganjurkan Career Day di Kolej MARA Banting (KMB) sempena majlis anugerah Honor Roll KMB. Program ini merupakan program kerjasama rasmi pertama antara ISMA dan KMB. Program keseluruhan disempurnakan oleh Pn Hjh Hanisah bt Omar, Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) MARA. Saudara Dr Arif Nasar Sulaiman, yang juga bekas penuntut KMB, tampil sebagai wakil ISMA untuk pertukaran cenderahati antara ISMA dan KMB dalam majlis perasmian tersebut. Cenderahati dari KMB disampaikan sendiri oleh Pengarahnya, Dr. Syed Anwar Aly Bin Mohamed Abu Bakar.

Saudara Arif berkongsi pengalaman tentang kerjaya dalam bidang kejuruteraan

Career Day bermula seawal jam 9 pagi, dengan Career Talk berkenaan Kejuruteraan dan Perubatan yang  masing-masing disampaikan oleh teknokrat-teknokrat ISMA iaitu Saudara Muhammad Arif Hamzah dan Dr Arif Nasar. Kedua bidang ini dipilih untuk dibentangkan secara khusus kerana ia merupakan bidang yang bakal diambil oleh majoriti pelajar KMB.

Sementara itu, pameran kerjaya berlangsung sepanjang hari di dataran blok akademik KMB. Dalam pameran tersebut hampir kesemua aliran kerjaya utama dipaparkan terutama yang diambil majoriti pelajar KMB. Ahli-ahli ISMA yang khusus dalam bidang-bidang tersebut juga berperanan memberi penerangan sambil bermesra dengan para pelajar KMB. Para VIP juga sempat berkunjung ke pameran ini dan menyaksikan  sendiri semangat ahli-ahli ISMA menjawab pertanyaan-pertanyaan yang diajukan dari para pelajar KMB berkenaan bidang-bidang yang dipaparkan.

Pameran kerjaya menjadi tumpuan pelajar KMB

Sesi di sebelah petang pula diteruskan dengan Forum “Road To Success Starts Here” yang menampilkan ahli-ahli ISMA Saudara Muadz Md Zain, Dr Mat Salleh, dan Prof. Madya Dr Norbahiyah Misran sebagai panel jemputan. Forum ini dihadiri lebih 300 penuntut KMB dari Tahun 1 dan Tahun 2. Forum yang dipengerusikan Saudara Ikram Badaruddin ini banyak menyentuh perkara-perkara yang menjadikan seseorang pelajar itu berjaya dalam akademik dan kerjaya. Ahli-ahli panel juga kesemuanya memberi penekanan terhadap keseimbangan kehidupan yang perlu diambil serius oleh para pelajar agar menjadi insan yang berkualiti dan multi-functional. Dr Norbahiyah juga mendedahkan ciri-ciri pekerja yang dicari-cari oleh majikan, terutama swasta, yang lebih tertumpu kepada penampilan, kebolehan, dan aktivisme, bukan sekadar keputusan akademik. Para ahli panel juga sempat berkongsi pengalaman masing-masing ketika menuntut di luar negara.

Barisan panelis forum

Di samping itu, ahli-ahli ISMA berkesempatan makan tengah hari dan bermesra bersama Timbalan Ketua Pengarah MARA, Pengarah KMB dan guru-guru lain. Dalam sesi tersebut, Timbalan Ketua Pengarah MARA menegaskan kepentingan pelajar-pelajar Malaysia di luar negara untuk sentiasa memikirkan dan menginsafi keperluan semasa negara dan pulang ke tanah air bagi mengisi keperluan-keperluan tersebut. Para VIP ini juga kagum dengan usaha-usaha ISMA untuk menganjurkan program seperti Career Day ini untuk memberi kesedaran dan pendedahan awal mengenai akademik dan kerjaya kepada para pelajar KMB yang belum pun terbang ke luar negara.

Secara keseluruhannya, Career Day KMB telah berjalan dengan baik dan mendapat sambutan sangat memuaskan dari para pelajar KMB. Ia juga menjadi satu titik tolak bersejarah antara pentadbiran KMB dan ISMA. Diharapkan kerjasama sebegini dapat berlangsung lagi pada masa akan datang.

1 Komen untuk entri “ISMA kerjasama jayakan Career Day di Kolej MARA Banting”

  1. adil says:

    yes! i like it(~.~)