HARWANIS 2010 perkasakan wanita untuk teraju kebangkitan ummah
Kaherah, 19 Februari – Dunia itu perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah. Bertepatan dengan itu, Wanita ISMA-Mesir buat julung kalinya telah berjaya menganjurkan Hari Wanita Islam (HARWANIS) 2010. Program yang bertempat di Dewan Malaysia Abbasiyah, Kaherah ini dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK) dan Persatuan Wanita Kementerian Luar Negeri (PERWAKILAN).
Barisan tetamu kehormat HARWANIS 2010
Bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dari Surah Ar-Rahman menjadi pembuka tirai HARWANIS 2010. Diikuti dengan itu ucapan daripada Ketua Wanita ISMA-Mesir, Dr Fatimah Zaharah Rosli yang menyentuh tentang kedudukan wanita yang telah dimuliakan setelah datangnya Islam dan peranan tokoh-tokoh wanita Islam sepanjang zaman. Ucapan seterusnya disampaikan oleh wakil ISMA Pusat, Puan Norlida Kamaruddin selaku Naib Ketua Wanita ISMA Pusat yang berkisar tentang realiti wanita muslimah di Malaysia dan peranan Wanita ISMA dalam memimpin dan menjadi qudwah kepada wanita dan masyarakat. Manakala ucapan perasmian disampaikan Dr. Masitoh Ahmad, isteri kepada Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah yang menekankan tentang tanggungjawab wanita berbekalkan pemahaman agama Islam dalam menerajui kebangkitan ummah masa kini.
Ucapan oleh Puan Norlida, Naib Ketua Wanita ISMA Pusat
Bertemakan ‘Wanita Muslimah Teras Kebangkitan Ummah’, pelbagai aspek telah ditekankan termasuklah aspek kemahiran pengurusan wang dan penetapan keperluan melalui slot Bijak Wang dan Baituna, aspek kreativiti dan kepelbagaian sumber melalui segmen Dari Rumah Khadijah dan demonstrasi jahitan manik oleh PERWAKILAN, serta aspek ibadah, kesihatan dan psikologi melalui pameran-pameran yang diadakan.
Acara kemuncak majlis iaitu forum ‘Wanita Muslimah: Antara Cabaran dan Harapan’ menjadi tumpuan utama. Panelis forum adalah Ustaz Mohamad Ismail; Sekretariat Dakwah dan Sosial ISMA Pusat, Puan Nor Zakiah Zaidon; Pegawai Atase Pendidikan Khas Cawangan Iskandariah dan Naib Ketua Wanita ISMA Pusat sendiri iaitu Puan Norlida Kamaruddin. Forum yang dipengerusikan oleh Saudari Sakinah Mohd Kamil ini dilihat berjaya menyemarakkan semangat para hadirin tatkala sesi soal jawab mendapat sambutan dan respon yang positif dari peserta. Antara persoalan yang diajukan adalah mengenai ciri-ciri seorang wanita muslimah yang menjadi batu ukur dalam mengubah diri ke arah membentuk diri wanita muslim itu sendiri.
Acara ‘Wanita Muslimah: Antara Cabaran dan Harapan’
Majlis yang penuh kemeriahan dan dikunjungi oleh hampir 130 orang peserta ini turut menyaksikan anugerah khas Muslimah Mithali dinobatkan kepada peserta bertuah dari Universiti Ain Shams. Acara penyampaian hadiah turut berlangsung untuk menghargai penglibatan peserta sepanjang majlis pada hari tersebut. Akhir sekali, majlis ditutup dengan persembahan nasyid dari kumpulan Durrah, kumpulan nasyid rasmi Wanita ISMA-Mesir.
Menyebut kepada pemberita, pengarah program HARWANIS 2010, saudari Syafaf Jumiran menyifatkan HARWANIS kali ini berjaya menyampaikan mesej kepada para hadirin namun masih lagi boleh dipertingkatkan kualiti perjalanan majlis dari segenap aspek. “Sama ada objektif berjaya dicapai mahupun tidak, bergantung kepada para peserta dalam mengamalkan kebaikan yang telah diperolehi.”
Sumber: Laman Web ISMA Mesir






[...] Layari detik-detik Hari Wanita Islam (HARWANIS) 2010 anjuran Wanita ISMA-Mesir dengan kerjasama Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK) dan Persatuan Wanita Kementerian Luar Negeri (PERWAKILAN). Baca berita lanjut di sini. [...]