|

Fard Muslim asas binaan Tamaddun Islam

Setelah puas berusaha, akhirnya orang Cina ini berjaya mencari saya dan memulangkan handphone anak saya yang dijumpainya. Foto di depan Terminal One, Seremban.

Apabila kita berkata asas amal dakwah ini ialah membina Fard Muslim (individu Islam), kemudian membina keluarga Islam dan masyarakat Islam, sesetengah orang mengatakan ianya jalan yang lambat, sedang musuh telah menguasai parlimen, negara bahkan dunia. Ia mungkin pandangan dari ahli akademik dan penyelidikan sosial kemasyarakatan, atau mungkin juga dari mereka yang telah jauh berkecimpung dalam arena sepak terajang politik kepartian di tanahair kita. Bukan kita menafikan kepentingan teori akademik mahupun penglibatan politik kepartian, namun artikel ini mengajak para doktor menyelami asal penyakit apabila berdepan dengan pesakit yang pelbagai, lalu memutuskan ubat yang tepat dan bukan sekadar merawat tanda dan ruam di kulit semata-mata.

Suatu hari sedang saya minum di kedai, seorang Cina menelefon katanya, “Saya mahu pulangkan handphone awak. Mana saya boleh jumpa awak?”. Pada awalnya saya belum dapat menangkap maksud beliau kerana handphone saya ada di tangan saya ketika itu. “Saya kurang faham apa awak cakap. Itu handphone apa? Siapa punya?”. Dia menjawab, “Ini mungkin anak awak punya”. Rupa-rupanya dia menjumpai handphone anak saya, Kak Ngah di tempat letak kereta Jusco, Seremban. Dia pergi berbincang dengan kawannya, seorang penjual handphone untuk mengetahui bagaimana cara terbaik mencari tuan punya handphone tersebut. Akhirnya mereka sepakat untuk menelefon nombor yang paling banyak digunakan oleh anak saya, iaitu yang tertulis “Baba”.

Ketika berbual dalam telefon, dan ketika bertemunya untuk mengambil kembali handphone tersebut, hati saya terharu atas kejujurannya, dan terasa berat tanggungan di atas bahu ini untuk mendidik umat Melayu Islam agar memiliki akhlak yang sama. Beliau:

  1. Berusaha memulangkan kembali handphone mahal milik orang lain yang dijumpainya.
  2. Tidak menunggu sehingga tuannya sendiri memanggilnya melalui handphone yang hilang itu.
  3. Berusaha terus secara berbincang dengan rakannya yang lebih mahir untuk mengetahui siapakah yang paling patut dihubungi, lalu mereka memutuskan untuk menelefon “Baba”.

Hampir setiap subuh beberapa orang wanita Cina berjogging di sekeliling taman perumahan kami. Suatu pagi dua orang dari mereka singgah ke rumah kami. Saya dan isteri bertemu mereka di pintu rumah. Rupanya mereka terjumpa wallet isteri saya yang dibuat seperti barang mainan oleh anak-anak kecil kami dan mereka tinggalkannya di tepi jalan. Di dalamnya ada wang tunai beribu ringgit, kutipan yuran tadika isteri saya. ”Ini wallet puan kami jumpa tepi jalan. Wah, manyak uwang itu dalam. Uyo kalau olang jumpa nanti hilang o”, kata mereka yang khuatir wang yang banyak itu akan diambil orang yang tidak amanah. Yang mengkagumkan lagi, tidak ada alamat kami di dalam wallet itu kerana kad pengenalan isteri menggunakan alamat lama. Rupanya mereka bertanya dari rumah ke rumah sehingga jiran yang mengenali isteri saya menunjukkan di mana rumah kami.

Dua kisah di antara orang Cina dan saya di atas adalah di antara banyak kisah-kisah lain yang boleh dijadikan teladan kepada umat Islam. Belum lagi kisah ramai orang Cina yang mempunyai dedikasi tinggi dalam perniagaan, pembuatan barang mahupun menuntut ilmu dunia berbanding sebahagian umat Islam. Ketika saya berdepan dengan 2 kisah di atas, fikiran saya turut melayang memikir nasib umat Islam di aspek akhlak dan keperibadian mereka.

Di Malaysia, banyak penyelewengan dan gejala yang berlaku adalah turut melibatkan bahkan dijuarai oleh umat Islam seperti penagihan dadah, buang anak, mat rempit, keciciran dalam pelajaran, pecah amanah, kahwin lari, curi tulang, melewat-lewatkan bayaran hutang dan lain-lain lagi. Ini belum lagi dibandingkan dengan umat Barat dalam aspek-aspek positif mereka seperti ketepatan masa (punctuality), kerajinan membaca, mengambil berat apa yang berlaku di dalam masyarakat, ketekunan dalam bekerja, mengurus negara dengan sistematik dan seumpamanya.

Ramai menyangka isu umat Islam hari ini hanyalah semata-mata isu mendaulatkan syariah dan penegakan negara Islam yang masih belum tercapai, penindasan dan serangan Barat ke atas umat Islam serata dunia. Ini tidak kita nafikan. Namun hakikatnya isu umat ini adalah jauh lebih parah dan dan jauh lebih asas dari itu semua, iaitu isu hilangnya syahsiyah (jatidiri) sebagai seorang Islam (Fard Muslim) itu sendiri. Oleh itu mundurnya umat Islam dalam banyak aspek berbanding dengan umat Barat, juga berbanding umat Cina di Malaysia adalah sebenarnya mundurnya mereka di aspek jatidiri, akhlak insaniah (peribadi asas seorang manusia), jiwa dan ruh.

“Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum itu sehinggalah mereka merubah apa yang ada di dalam diri (peribadi, syahsiyah, aqidah, pegangan, prinsip dll.) mereka sendiri” (Al-Quran).

Ini adalah tafsiran paling tepat kenapa orang Cina lebih terkedepan dalam banyak arena berbanding dengan umat Islam di Malaysia. Oleh itu, usaha dan agenda memaju dan menjayakan umat Islam di Malaysia mestilah fokus kepada pembinaan keperibadian Islam dalam diri dan jiwa mereka terlebih dahulu. Inilah jalan tarbiyah yang kita menyeru ke arahnya. Adapun melaungkan slogan Melayu di satu tempat, dan di tempat lain pula membuka pintu seluas-luasnya generasi Melayu kepada serangan budaya Barat melanda mereka yang telah sedia lemah dan jahil, jalan politik licik seperti ini tidak akan membawa kepada kemajuan dan kejayaan hakiki yang diinginkan oleh Islam, bahkan ia terus menghanyutkan umat Islam jauh dari dapat bersaing dengan bangsa-bangsa lain di luar dan dalam negara.

Tanpa Fard Muslim (individu Islam hakiki), banyak berlaku keruntuhan institusi keluarga, anak-anak terbiar, membesar dengan acuan Barat sehingga tersebar gejala sosial yang melata. Tanpa Fard Muslim, budaya Barat yang ganas menyerang umat Islam tidak mampu dibendung lalu selebriti artis mengatasi selebriti ulamak pewaris para Anbiyak, pakaian seluar ketat bertshirt lebih ketara di jalan-jalan raya hari ini berbanding baju kurung.

Tanpa Fard Muslim, banyak projek ekonomi umat Islam terbengkalai atau tidak berdaya saing kerana sikap acuh tak acuh lagi tidak amanah, maka berlaku kecurian ratusan jutaan ringgit dari tabungan-tabungan wang simpanan umat Islam yang terkenal di tanahair. Projek perumahan di beberapa ekar tanah strategik kelolaan sebuah yayasan Islam di Seremban terbengkalai sedang projek perumahan ribuan ekar tanah hutan oleh Matrix Concept Berhad, IJM Berhad berjalan lancar lagi agresif mengikut jadual dan memberi manfaat kepada bani insan. Tanpa Fard Muslim, banyak pertubuhan orang Islam terpaksa memilih mati tanpa meninggalkan sejarah atau hidup samada bercakaran sesama sendiri atau mengeksploitasi kealpaan masyarakat untuk mengaut kekayaan peribadi.

Hakikatnya, tanpa Fard Muslim sebagai asas yang kukuh, akan lahir pelbagai penyakit kronik di dalam jiwa umat. Jangan diimpikan dari tubuh sesebuah umat yang sedang nazak, akan lahir sebuah negara Islam hakiki, apatah lagi sebuah Tamaddun Islam yang mampu memimpin dan membimbing umat Barat, Amerika, Eropah dan Rusia.

Di awal abad lalu, ketika bumi-bumi Islam dijajah Barat, dan umat-umat Islam dirobek akidah, akhlak, jatidiri dan kesatuan, mereka dari pelbagai pelusuk dunia mengutus surat kepada seorang tokoh dunia Islam, Asy-Syeikh Amir Syakib Arsalan, mencadangkan agar beliau menghimpunkan ketua-ketua negara Islam dan mengadakan mesyuarat untuk memilih seorang Khalifah. Beliau menjawab, “Hendaklah kita membina dari asas. Adakah kita hendak menghimpunkan angka-angka kosong”.

Mendidik individu demi individu, keluarga demi keluarga, masyarakat demi masyarakat adalah asas kepada sebuah projek pembangunan ummah dan negara yang terbukti berjaya, biar panjang masa yang diambil. Kerananya Rasulullah saw menolak tawaran menjadi raja di Mekah di awal gerak kerjanya, tawaran menjadi Raja yang disibukkan dengan melayan kehendak rakyat siang dan malam, dan bakal menjauhkan Baginda saw dari membina individu-individu Islam yang hakiki yang nanti akan sibuk melayan kehendak Allah dan ajaran-ajaranNya, bukan melayan kehendak keduniaan manusia.

Umur projek pembangunan sesebuah umat bukan diukur dengan umur seseorang yang pendek, akan tetapi ia diukur dengan umur umat itu sendiri. Kita berusaha, Allah menentukan. Allah swt tidak menyoal hasil perjuangan kita tetapi Dia menilai dan membalasi niat, kerja dan Manhaj Taghyir (cara melakukan perubahan masyarakat) kita. Oleh itu aturilah langkah dakwah anda sebaik dan setepatnya. Pastikan anda berada di jalan yang betul.

Oleh: Ustaz Abdul Halim Abdullah,
Naib Presiden I,
Ikatan Muslimin Malaysia
Blog: Ini Jalanku

2 Komen untuk entri “Fard Muslim asas binaan Tamaddun Islam”

  1. Maryam says:

    Salam ustaz…terharu ana membaca kisah si cina ini…
    Ana pernah mengikuti dakwah non-Muslim yg dianjurkan oleh Islamic Information & Services Foundation (IIS)..baru ana dapat tahu ilmu dakwah yg boleh membuka mata ummat bkn Islam akan ajaran Islam yg indah…rupa-rupanya hati mereka lebih lembut untuk tahu ttg Islam brbanding orang Islam yg rasa seolah2 mrk saja tahu ttg Islam…kena caranya, dapat sorang lg saudara Muslim…cari makan ustaz hidup kita ni (dakwah)…(bg mrk yg cndrung pd Islam sajalah)…Wassalam..

  2. omar says:

    Dalam keghairahan untuk berdakwah, meraih undi & sokongan drp non muslim dgn pelbagai tawar menawar & tolak ansur kpd mrk (hinggakan permintaan yg agak snsitivif spt penggunaan kalimah Allah, hak kepimpinan dll), jangan kita lupa nasib & hak umat muslim sendiri.

    Ingatlah kpd datuk nenek, pakcik makcik di ceruk2 kampung yg ikhlas & sanggup berkorban demi perjuangan. Hidup mrk kais pagi makan pagi. Namun sebutlah wang ringgit, gelang rantai segalanya sanggup disumbangkan utk melihat Islam kembali gemilang. Siapakah yg akan membela nasib mrk?

    Lantaran keikhlasan, mrk tidak ghairah meminta itu dan ini spt mana non muslim yg ghairah mengenakan pelbagai syarat dan permintaan.

    Adakah krn mrk ini “Ansor” maka tak perlu kita berikan layanan sbagaimana golongan “Tulaqo`” (rujuk pembukaan Mekah & perang Hunain utk memahami perbandingan ini)

    Atau kita melayan mrk spt “Ibnu Ummi Maktum” krn sibuk melayan kehendak non muslim yg kita anggap berpotensi besar ini.

    Teringat kisah benar yg berlaku kpd peribadi agung Rasul s.a.w. yg ghairah berdakwah kpd pemuka musyrikin mekah yg pastinya memberi untung besar kpd dakwah jika mrk memeluk Islam.

    Tiba2 datanglah si buta, Ibnu Ummi Maktum bertanyakan sesuatu kpd Baginda. Sbg manusia biasa, dlm kesibukan itu, Rasul s.a.w. krg melayan, berpaling dan menarik muka masam kpd si buta yg tdk melihat.

    Lantas turunlah surah ‘Abasa utk menjadi pengajaran kepada duat sepanjang zaman.