|

Diari di Bumi Kanggaro

Bersama barisan penggerak dakwah di Australia

Pada 20 -22 Februari yang lalu saya telah mengadakan lawatan singkat ke bumi kanggaro Australia bagi mwewakili Biro Pembangunan Sumber Manusia ISMA Pusat. Objektif lawatan ini ialah melihat perkembangan dakwah dan tarbiyah di sana serta melunjurkan perancangan strategik bagi memperkasakan amal tarbawi dan amal takweeni di bumi kanggaro.

Tempoh yang singkat itu saya kongsikan pengalaman dakwah dan tarbiyah bersama  generasi muda (GY). Saya cukup teruja dengan hamasah (semangat) dan ihtimam (kepedulian) mereka terhadap agenda dakwah dan tarbiyah ini. Sinergi antara hamasah as-syabab wa hikmatuh syuyukh adalah jalur penting yang digala dari madrasah Ikhwan Muslimin.

Ada 3 perkara yang saya fokuskan dalam usaha menggarap amal di bumi kanggaro iaitu:

  1. Tajmik wa Intiqo’ (mengumpul dan memilih anasir dakwah)
  2. Takween (pembentukan)
  3. Tarsyid Amal (memimpin amal dan perubahan)

Proses memimpin amal tidak akan berjaya melainkan 2 perkara yang atas tadi terlaksana. Ini kerana usaha perubahan dan penggarapan ini memerlukan rijal. Rijal merupakan tonggak asasi kepada agenda perubahan. Kaedah menyatakan ‘iza wujida ar-rajulu as-solih wujida asbab an-najah..’.

Usaha dakwah ISMA tidak akan terlestari tanpa mengukuhkan pasak-pasak tarbawi ini. Maka memfokuskan kepada agenda tarbiyah dan pembinaan dalaman yang kukuh adalah aset bagi melaksanakan tugas penggarapan umum atau takungan meluas. Pengalaman dakwah yang lama boleh dijadikan tajribah bagi menekuni usaha dakwah di bumi kanggaro.

Pengerusi ISMA Australia menyampaikan sumbangan ISMA untuk tabung wakaf ISMA Seremban

Saya sempat singgah bermalam di rumah Dr. Zaki Pengerusi ISMA Australia. Turut bersama Dr. Ihsanuddin Abbas Timbalan Pengerusi ISMA Australia. Banyak perkara yang dibualkan, namun apa yang menarik perhatian ialah bahawa seorang murobbi itu perlu kreatif dan inovatif dalam melaksanakan proses mendidik mutarabbi. Kaedah simulasi merupakan teknik terbaik bagi menyemai ma’ani tarbawi tersebut. Dari cerita-cerita dakwah dan tarbiyah yang sama-sama kami kongsikan dapat meningkatkan kompetensi sebagai murobbi.

Para murobbi harus dan wajar bertemu, berkongsi pengalaman, ziarahlah para qudamak dan timbalah ilmu dan pengalaman mereka agar momentum dakwah kita tetap segar dan bugar. Pertemuan-pertemuan ini akan membangkitkan ghairah dakwah di samping menghilang kekusutan dan kesulitan di dalam perjalanan yang panjang ini agar yang kering dibasahkan kembali, yang malap dicerahkan semula dan yang layu dibugarkan kembali.

Saya pulang ke Malaysia dari Lapangan Terbang Adelaide tepat jam 3.30 petang waktu tempatan dan tiba jam 8.00 malam di KLIA. Perjalanan yang singkat ini memberikan seribu satu makna erti persaudaraan dan pengorbanan.

Photobucket

Ustaz Mohd Azizee bin Hasan,
YDP ISMA Seremban

Blog: Petunjuk Sepanjang Jalan