|

Dai’e yang mandul

Pertama kali mendengar ‘quote’ ini adalah ketika suatu ketika dahulu sebelum menjejakkan kaki di bumi Manchester ini. Daurah (kursus) yang dirancang bagi memantapkan aqidah dan mempersiapkan para peserta sebelum berkelana ke bumi asing. Masih segar di ingatan bagaimana diri ini bereaksi setelah mendengarkan perkara ini. Termenung seketika menghadam ayat ini. Menarik untuk dikupas dan mengupas apa yang dimaksudkan oleh quote tersebut.

Lumrah seorang insan yang memegang amanah khalifah di atas muka bumi ini (ruj 2:30), dan seterusnya ummat yang menjadi ummat pertengahan, menjadi saksi ke atas sekalian manusia (ruj 2:143), atau dalam bahasa mudahnya seorang DAI’E, akan menyeru apa yang diyakininya kepada orang ramai. Suatu proses yang dinamakan DAKWAH. Semuanya mempunyai tujuan atau harapan yang sama, iaitu melahirkan seorang lagi muslim yang beperwatakan sepertinya, mampu menyeru apa yang disampaikan kepadanya kepada orang lain serta turut sama berada di medan dakwah yang sama.

Ya, seorang dai’e perlu berfikiran sedemikian, melahirkan ‘klon’ bagi dirinya agar tugas menyeru manusia kembali kepada agama Allah ini turut sama dipikul. Namun yang menjadi masalah adalah apabila, ‘klon’ yang diharap mampu untuk dihasilkan tidak juga menampakkan kejayaan. Proses membina (takwin) manusia ini bukan suatu tugas yang senang. Ianya memerlukan usaha yang berterusan daripada seorang dai’e yang tegar jiwanya. Menarik manusia agar kembali menghayati Islam mungkin ‘mudah’ bagi sesetengah dai’e, tetapi apa yang lebih penting adalah proses pembinaan jiwa mad’u (orang yang diseru) itu sendiri.

Kita bukan setakat mahu melahirkan golongan yang hanya mengikuti usrah, tetapi apa yang diharapkan adalah lebih dari itu. Agar mad’u tersebut mampu menjadi murabbi sama seperti naqib atau murabbinya bahkan lebih baik lagi. Ummat benar-benar memerlukan dai’e yang kental semangatnya, tinggi nilai dakwahnya, baik budi perkerti serta akhlaknya, luas ilmu pengetahuannya, serta tegar jiwanya. Jadi tugas ‘melahirkan’ kelompok begini bagi menerusakn rantaian dakwah Nabi jatuh kepada para dai’e yang ada ketika ini. Proses penghasilan dan pembinaan dai’e baru haruslah dilakukan secara efektif serta produktif. Jangan menjadi dai’e yang mandul!

Kepada para dai’e sekalian, jangan hanya mampu berprogram, berJALINAN, berhimpun pada musim sejuk mahupun panas, atau apa program sekalipun, sebaliknya apa yang penting, tindakan susulan selepas itu kerana tugas membina manusia ini, bukannya suatu proses yang pantas. Ianya suatu proses dimana, segala usaha dicurahkan, menggunakan segala kemampuan yang ada dan penyerahan yang total kepada Allah SWT. Janganlah kita menjadi dai’e yang mandul. Tiada ‘klon’ bagi mneruskan tugas murni, menyebarkan Deen ini kepada sekalian manusia.

Semoga Allah membantu usaha menegakkan agamaNya di atas muka bumi ini.

Oleh: Mohd Zol Helmi Md Zuki,
Sumber: Laman Web ISMA Eropah

1 Komen untuk entri “Dai’e yang mandul”

  1. Ahli ISMA-Mesir says:

    Tidak ada daie yang memahami kewajipan dakwah ini mahu menjadi seorang daie yang ‘mandul’.

    Namun hidayah itu di tangan Allah. Seorang daie hanya mampu berusaha dan beramal sedaya upaya, namun jika Allah tidak mengizinkan lahirnya ‘klon’ dari usahanya, itu bukanlah salahnya. Nabi Nuh (juga beberapa nabi lain) merupakan contoh bagi situasi seperti ini. Adakah situasi ini perlu kita gelarkan dengan situasi seorang daie yang mandul?

    Saya tidak setuju dengan penggunaan perkataan ‘mandul’ dalam medan amal. Perkataan ini tidak membawa erti dan maksud yang manis dan sesuai dengan kefahaman dakwah dan amal kita.

    *Sila kaji semula penggunaan kalimah ini dengan kaitan kepada maksud yang ingin disampaikan sesuai dengan ruh, adab, dan kefahaman dakwah kita.

    Wallahu’alam.