|

Ceramah Maulidur Rasul singkap hakikat fahaman Syiah

Dr Mahmud Hussin ketika menyampaikan ceramah

Kaherah, 25 Februari – Bersempena bulan kelahiran Rasulullah SAW, Biro Dakwah Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Mesir telah menganjurkan ceramah bertajuk “Hakikat Syiah: Satu Penelitian Ilmiah Berdasarkan Sejarah Islam”.

Ceramah yang diadakan di Dewan Malaysia Abbasiah, Kaherah (DMAK) ini telah disampaikan oleh Dr. Mahmud Mohammad Husin, Pensyarah Kuliah Usuluddin, Jurusan Aqidah dan Falsafah, Universiti Al-Azhar Asy-Syarif di Kaherah.

Para hadirin mula berkumpul di dewan selepas solat Maghrib dan majlis yang dipengerusikan oleh Sdr Bilal Jailani bermula sekitar jam 7.30 petang dengan deklamasi sajak oleh saudara Anas Yusuf dan persembahan nasyid pembukaan dari kumpulan Fetya.

Para hadirin memenuhi ruang dewan

Penceramah berkongsi rasa kagumnya pada hadirin yang sanggup memenuhi dewan sungguhpun dalam keadaan cuaca yang buruk. Beliau mengulas tentang perlunya kita melahirkan rasa cinta kita kepada Rasulullah SAW, tetapi dengan cara yang bertepatan dengan syarak.

Kemudian, beliau mengulas tentang apakah itu Syiah, bilakah ia muncul, hujah-hujah mereka dan apakah pendirian kita terhadap Syiah.

Penceramah bersama barisan JKP ISMA-Mesir

“Jika ditanya pendirian saya tentang Syiah, saya sendiri tak boleh jawab. Kerana dalam Syiah sendiri ada lebih dari 100 pecahan.

Sebelum kita meletakkan sebarang pendirian kita terhadap mereka, mereka perlu menerangkan kepada kita apakah pendirian mereka terhadap perkara-perkara ini; pencelaan terhadap sahabat, penyelewengan Al-Quran dan sifat maksum pada imam-imam mereka.

Sekiranya mereka mengaku bahawa mereka benar-benar melakukan perkara ini, maka jelas kekufuran mereka.”

Sesi soal jawab

Beliau juga menjelaskan bahawa Syiah adalah mazhab yang lemah sandaran hujahnya tetapi mempunyai ramai pengikut kerana pengikut-pengikut mereka dijahilkan dengan hujah-hujah yang tidak benar.

Ceramah yang dikendalikan oleh Sdr Abdullah bin Husen ini telah diterjemahkan secara langsung oleh saudara Ahmad Syamil Mohd Esa dan saudara Ikram Abu Hassan dan dipaparkan pada skrin untuk memudahkan para hadirin memahami ceramah yang disampaikan dalam Bahasa Arab.

Program diteruskan dengan sesi soal jawab yang berjaya memancing soalan-soalan yang menarik dan hangat daripada para hadirin. Program ini berjaya menarik kira-kira 250 peserta dari pelbagai aliran.

Turut hadir bersama para hadirin ialah Pengerusi ISMA-Mesir, Sdr Shuhaib Ar-Rumy bin Selamat, Timbalan Pengerusi, Sdr Salman Al-Farisi bin Selamat, Setiausaha ISMA-Mesir, Sdr Qamarul Naim bin Mohd Faizal serta Bendahari ISMA-Mesir, Sdr Mohd Firdaus bin Salleh Hudin.

Persembahan Kumpulan Nasyid Fetya

Majlis berakhir dengan jamuan ringan dan deklamasi sajak oleh saudara Anas Yusuf bersama saudara Thaaqhib Mohammed dan persembahan selawat dan nasyid penutup oleh kumpulan Fetya.

Sumber: Laman Web ISMA Mesir