Betulkah kefahaman anda tentang kepimpinan?
Kepimpinan atau orang putih kata “leadership” adalah kemahiran yang unik pemberian Ilahi. Dalam Islam, ia amat dituntut sehingga Rasul SAW pernah bersabda mafhumnya, setiap kamu adalah pemimpin dan setiap orang akan ditanya tentang orang yang dipimpinnya. Sekalipun ianya amat dituntut Islam, namun tidak semua umat Islam benar-benar menguasainya. Maka berlakulah krisis kepimpinan daripada unit yang kecil seperti keluarga dan jawatankuasa surau atau masjid hinggalah kepada kepimpinan tertinggi dalam sesebuah negara.
Ada orang kata kepimpinan ini adalah warisan, maka cuma orang-orang tertentu sahaja boleh memimpin. Ada sesetengah yang lain pula mengatakan ia boleh dipelajari dan diasah. Saya bukanlah orang yang bijak memimpin, tetapi melalui pengalaman yang tak seberapa dan pembacaan saya, kepimpinan ini adalah sesuatu yang boleh kita pelajari.
Persoalan mungkin timbul iaitu siapakah sebenarnya yang memimpin? Adakah pemimpin perlu berada di posisi paling atas dalam sesuatu organisasi, kemudian baru dia boleh digelar pemimpin dan layak memimpin? Maka jika teori ini benar, maka amat sedikit benarlah pemimpin dalam sebuah organisasi kerana hanya “ketua” boleh memimpin.
Buku “The 360o Leader” karangan John Maxwell (JM) yang saya baca membicara isu ini, malah mengatakan inilah kesalahfahaman pertama tentang konsep kepimpinan. Beliau menamakannya “Kesalahfahaman Berkaitan Kedudukan (Position Myth); Saya Tidak Boleh Memimpin Jika Tidak Berada Di Atas”.
JM mengatakan, orang yang memiliki kesalahfahaman ini apabila berada dalam satu pasukan, mereka akan sentiasa berasa tidak selesa jika tidak diberikan sesuatu jawatan tertentu yang meletakkan mereka sebagai “ketua” pada pandangan ahli-ahli lain dalam pasukan tersebut. Di sebalik cuba mebina hubungan dengan ahli yang lain dalam pasukan dan mendapatkan kepercayaan mereka secara natural, orang seperti ini akan menunggu diberikan jawatan tertentu untuk mereka mula bertindak sebagai pemimpin. Bagi mereka, hanya dengan berada di ataslah baru beliau boleh memimpin. Kesilapan ini mungkin menjadi igauan ramai daripada kalangan kita.
Kesalahfahaman yang kedua adalah “Berkaitan Destinasi (Destination Myth); Apabila Saya Sampai Ke Posisi Tertinggi, Di Situ Saya Akan Belajar Untuk Memimpin”. Saya kira, kesilapan ini tidaklah terlalu sukar untuk kita fahami. Jika kita bercita-cita untuk mendaki Gunung Kinabalu, sudah tentu kita tidak boleh belajar mendaki gunung pada tarikh pendakian. Sewajarnya kita memerlukan tempoh masa dan latihan khusus seperti mendaki puncak gunung yang lebih rendah, menjaga pemakanan,berjogging secara konsisten 6 pusingan padang setiap hari dan sebagainya.
Begitu jugalah dengan kepimpinan. Ianya dipelajari sepanjang hayat. Jika kita tidak mencuba memimpin dan membuat keputusan dalam urusan atau program yang kecil, kemungkinan untuk membuat kesilapan di peringkat yang lebih tinggi adalah besar yang mana impak kesilapan tersebut buat organisasi juga besar. Kesilapan di peringkat bawahan mudah untuk diperbaiki. Kesilapan apabila sudah berada di puncak boleh memberikan kesan jangka panjang untuk organisasi serta menjejaskan kredibiliti seorang pemimpin.
Jadi, janganlah menunggu untuk anda sampai ke posisi tertinggi untuk memimpin. Mulakan dengan skala kecil, bila mana kesilapan kecil masih boleh kita perbaiki dan pelajari sebelum kita memimpin di skala lebih besar. Janganlah kita menolak mengatakan belum layak jika kita diberikan peluang sebagai AJK Promosi bagi program remaja kita contohnya. Gunakan kesempatan tersebut sebaiknya untuk mengasah bakat kepimpinan kita.
Satu kata azimat yang saya kira dalam maksudnya membicarakan isu ini iaitu, “When opportunity comes, it’s too late to prepare” (Apabila peluang tiba, masa untuk kita membuat persiapan sudah terlewat). Jadi, persiapkanlah diri lebih awal, jangan menunggu sehingga kita di posisi tertinggi barulah kita ingin memimpin, apalagi baru ingin belajar memimpin. Ianya sudah terlewat.
Ini membawa kita kepada kesalahfahaman yang ketiga “Berkaitan Mengesani (Influence); Jika Saya Di Atas, Kemudian Orang Akan Mengikut Arahan Saya”. Kita sedia maklum bahawa seseorang boleh dikurniakan dengan posisi tertentu, tetapi kita tidak boleh mengurniakannya kepimpinan. Kepimpinan ialah mengesani orang lain, dan mengesani orang lain bukan suatu kurniaan, ia mesti diperolehi.
Sesuatu posisi yang dimiliki memberi kita peluang. Ia memberi kita kesempatan mencuba ketokohan kita memimpin. Ia memberi peluang orang lain memberikan kepercayaan buat kita di peringkat awal, atau kata orang putih, “benefit of the doubt”. Berlalunya masa, kita akan memperoleh tingkatan kepercayaan orang lain terhadap kita, sama ada semakin meyakinkan atau sebaliknya.
Beberapa lagi kesalahfahaman tentang kepimpinan boleh kita huraikan dalam bentuk yang hampir sama. Kesalahfahaman ini mencakupi:
- Kesalahfahaman 4 – Berkaitan Kurang Pengalaman (Inexperience Myth); Apabila Saya Berada Di Atas, Saya Akan Mengawal Keadaan.
- Kesalahfahaman 5 – Berkaitan Kebebasan (Freedom Myth); Apabila Saya Berada Di Atas, Tiada Lagi Sebarang Kongkongan Untuk Saya.
- Kesalahfahaman 6 – Berkaitan Potensi (Potential Myth); Saya Tidak Boleh Mencapai Potensi Saya Jika Saya Tidak Berada Pada Tahap Tertinggi.
- Kesalahfahaman 7 – Berkaitan Lakukan Semua Atau Tidak Lakukan Apa-apa (Do All or Nothing); Jika Saya Tiada Peluang Ke Atas, Saya Tidak Akan Cuba Memimpin.
Kesimpulan yang ingin kita utarakan di sini ialah keperluan untuk setiap seorang ahli dalam organisasi untuk merasai tangungjawab kepimpinan walau di mana pun posisi anda. Organisasi seperti ISMA sedang mengorak langkah ke hadapan dan memerlukan ramai pemimpin dalam setiap lapis organisasi ini seperti dinukilkan sebagai salah satu prinsip kualiti syarikat nombor satu negara ialah “proactive leadership at all levels”. Ayuh, setiap kita adalah pemimpin, asahlah bakat kepimpinan anda mulai hari ini.
* Disesuaikan daripada buku The 360o Leader, Developing Your Influence from Anywhere in the Organization oleh John Maxwell, 2005.
Oleh: Omar bin Kassim,
Setiausaha ISMA Cawangan Seremban
Sumber: Blog ISMA Negeri Sembilan





satu sinopsis dan konklusi yang menarik. terima kasih !
menarik dan sgt relevan dgn suasana masakini!
Orang putih kata, “Leadership is a choice, not a position”. Tapi Islam letak umatnya lebih tinggi apabila Rasulullah s.a.w. kata setiap kamu adalah pemimpin. Nak ke tak nak, ada jawatan ke tak da jawatan, kita kena memimpin dan bertanggungjawab, barulah akan keluar daripada kalangan kita pemimpin agung yang mampu memimpin seluruh dunia. Pemimpin hebat lahir daripada kalangan pemimpin. Itulah sebenarnya muslimun. Born to lead the mankind.
Leaders without Titles. Tak perlu menjadi qiyadah untuk menjadi seorang Leader. Baru nak tulis enta dah mendahului.
ps – Ana kurang minat tulisan John C Maxwell mungkin sebab dia banyak refer kepada kata2 bible. Boleh ambil apa yang berguna.
menarik akhi… akhirnya, enta dah menulis. mantap pula. blognya bila lagi? =)
An answer to many questions over leadership crises anywhere on earth where Malays reside… What happen here in India or anywhere else where a group of Malays reside is just a microcosm of Malaysian political landscape… ISMA perlu ‘berpolitik’ dengan mengajar orang cara berpolitik..
Terima Kasih~ Info yang menarik,,, Nak baca buku tue payah pulak nak cari + kurang masa~