Antara Maslahah dan Muslihat
Mengikut logik fiqh hukum terbahagi kepada dua:
Pertama: ta’abudi yang tidak difahami makna. Yang dimaksudkan dengan makna ialah maksud dan tujuan yang selalunya dihurai dengan perkataan maslahah. Contohnya seperti raka’at solat, kenapa Subuh dua raka’at, Zohor empat raka’at dan seterusnya tidak difahami maksud dan tidak boleh dihurai dari segi sebab dan maslahah. Ada perkara-perkara yang diperselisihkan samada boleh diketahui makna atau tidak seperti membersih dengan menggunakan air.
Kedua: muamalati yang difahami makna. Maksudnya dapat diketahui tujuan dan maksud di sebalik pensyariatan hukum tersebut dan boleh dikategorikan mengikut konsep maslahah. Seperti disyariatkan akad untuk mempastikan ketelusan dan kelangsungan dalam muamalah. Sebahagian besar hukum-hakam boleh dihurai dari aspek maslahahnya.
Boleh dikatakan semua perkara berhubung dengan siasah syariah boleh difahami maknanya begitu juga dalam pengurusan dan siasah dakwah seperti penetapan visi, misi, strategi dan kaedah perlaksanaan semuanya berdasarkan maslahah dan boleh difahami makna. Contohnya, kenapa kita menetapkan tarikh 2020. Ia sepatutnya boleh difahami dan boleh dihurai dari sudut sebab, tujuan dan maksud.
Kaedah ini boleh kita anggap sebagai sebahagian dari kanun pemikiran Islam seperti yang diistilahkan oleh guru saya Syeikh al-Marhum Prof. Dr. Abd. Mun’em Qi’e. Beliau mengarang satu kitab yang mengumpul kaedah-kaedah dari segala ilmu usul dan diberi nama Qanun Pemikiran Islam. Saya berpendapat menguasai kanun-kanun ini penting dalam kehidupan seorang da’i kerana dengan itu ia dapat memastikan ijtihad dakwinya mengikut cara fikir Islam yang betul dan tepat dan tidak terjatuh dalam kemelut kekusutan disebabkan oleh pembuatan keputusan yang tidak dapat dijustifikasikan /dirasionalkan.
Saya pernah berbincang dengan seseorang dalam isu seperti ini satu masa dulu. Saya tanya kenapa diletakkan tarikh 2020 dalam visi dan apa rasionalnya? Oleh kerana ia berkaitan dengan siasah dakwah tentu ada logik yang boleh kita bahas dan dengan memahami logik /rasional kita bila ukur sama ada boleh dicapai atau tidak. Dan ahli boleh berbincang dan berhujah samada logik yang dikemukakan munasabah atau tidak.
Saya amat terkejut mendapat jawapan bahawa ia adalah keputusan yang kita letak dan kita berserah kepada Allah bagaimana ia boleh dicapai. Dia dengan itu nampak lebih lebai dari saya. Saya yang ustaz ni yang sepatutnya bercakap tentang tawakal kepada Allah dan dia orang strategi yang sepatutnya bertanya tentang logik, tetapi sebaliknya telah berlaku. Puas saya menjelaskan mantiq fiqh /kanun pemikiran Islam yang saya sebutkan tetapi sukar diterima dan difahami. Jadilah angka 2020 nombor keramat yang perlu diperjuangkan tanpa dapat dijelaskan apa illah atau sebab yang munasabah di sebalik keputusan itu dibuat.
Amat tidak munasabah satu-satu keputusan mengenai siasah dakwah yang tidak dapat dijelaskan maksudnya. Berta’amul dengan perkara yang boleh fahami, dibahas dan hurai tetapi mesti diterima seolah-olah perkara ta’budi. Anggota kena terima sahaja seperti menerima raka’at dalam solat. Orientasi dakwah seperti ini selama-lamanya tidak akan mematangkan organisasi kerana syura sebenar tidak mungkin berlaku. Walhal syura adalah tonggak organisasi.
Dalam bersyura seseorang boleh menilai, mengupas, mengkritik, membuat pandangan balas berdasarkan hujah yang jelas/nyata dan telus. Bayangkan satu perbahasan dalam perkara yang tidak boleh dijelaskan sebab musabab, logik dan maslahah… bagaimana agaknya penghujahan berlaku. Rasanya tak lebih sekadar bermain sentiment sahaja, saya rasa, saya sedih, saya tidak boleh tidur… bla, bla, bla, bla… Memastikan sebab yang jelas dan telus di sebalik keputusan penting dalam memberi kekuatan dalam kelangsungan tindakan.
Saya tidak mengatakan bahawa dalam semua keadaan kepimpinan kena jelaskan sebab dan tujuan kepada anak buah. Itu perkara yang lain. Skop perbincangan di sini ialah bagaimana pembuat keputusan harus berta’amul jenis-jenis hukum dan qarar sesuai dengan tabiat hukum dan keputusan tersebut dari mengikut kategori difahami makna atau tidak. Kepimpinan tidak boleh kata dia mahu jadi begini, tidak kisahlah apa alasan sekali pun.
Kadang-kadang berlaku kes qarar siasi atau pengurusan yang tidak dapat dijelaskan secara rasional dan logik dalam perkara yang sepatutnya jelas dan telus sebab musababnya boleh berlaku kerana tujuan yang terselindung atau saya istilahkan sebagai alasan yang bersifat muslihati. Muslihat ialah menggunakan kaedah yang tidak direct untuk mencapai tujuan yang tertentu /terselindung. Contohnya seperti baiul inah. Helah jual beli barang sebenarnya nak pakai duit. Hukum harus dan haram berdasarkan tujuan di sebalik. Atau ia juga digunakan dengan istilah helah dalam fiqh Islami.
Sebagai contoh, saya membuat andaian satu jamaah yang telah ditubuhkan begitu lama dah mungkin 20 tahun, tanpa semena-mena tiba-tiba qiadah membuat keputusan untuk membubar jamaah tersebut dan masuk dalam jamaah baru. Timbul berbagai persoalan, kenapa nak kena bubar? Dan apa perlunya yang baru? Apakah yang akan dilakukan oleh jamaah yang baru? Tidakkah mereka orang yang sama? Apakah yang akan berbeza? Tiada siapa boleh beri sebab secara rasional.
Atau kepimpinan mengatakan jamah yang sedia ada akan dikecilkan peranannya untuk diberikan kepada jamaah yang baru. Bagaimana ia boleh dijelaskan dan bagaimana boleh dicapai kata sepakat? Walaupun ia keputusan yang berkaitan dengan siasah dakwah tetapi sukar diberi illah secara nyata dan telus. Ia akan menjadi satu perbahasan yang sukar dan mungkin membawa akibat yang tidak baik.
Kes yang seperti ini biasanya berlaku, samada ia disebabkan keputusan itu sendiri bersifat muslihati atau terperangkap dalam keputusan lain yang bersifat muslihati. Namun apa boleh buat, walaupun tidak boleh dijelaskan, ia perlu dilaksanakan kerana ia adalah keputusan.

Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman,
Presiden,
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Blog: Perjalananku

